SASTERA DI SEKOLAH RENDAH..?

Pada minggu lepas, terdapat cadangan daripada 'orang-orang sastera' supaya mata pelajaran sastera diperkenalkan di sekolah rendah. Mungkin kerana cadangan mereka agar mata pelajaran sastera menjadi mata pelajaran wajib di sekolah menengah telah ditolak mentah-mentah oleh Kementerian Pelajaran. Apa rasional untuk memperkenalkan mata pelajaran tersebut di peringkat sekolah rendah?

Matlamatnya hendaklah jelas yang mengambil kira kepentingan pelajar sekolah rendah. Jika setakat untuk memperkenalkan mata pelajaran sastera agar pelajar sekolah rendah mengenali sastera lebih awal, pelaksanaan itu akan membebankan pelajar yang sudah sedia menggalas beg sekolah yang besar dan berat. Lagi pula minta pelajar sekolah rendah yang agak terbatas memungkinkan unsur-unsur sastera tidak difahami oleh mereka.

Jika kita melihat perkembangan sahsiah pelajar sekolah rendah sekarang yang sudah jauh ke hadapan berbanding dengan apa yang kita fikirkan, mata pelajaran sastera boleh diperkenalkan kepada mereka. Ini kerana ramai pelajar sekolah rendah sekarang terlibat dengan kegiatan dan perlakuan yang tidak sihat. Mereka tertinggal daripada pendidikan moral dan agama. Dengan memperkenalkan mata pelajaran ini, pelajar boleh diterapkan dengan nilai dan pengajaran daripada cerita-cerita yang disajikan melalui mata pelajaran ini.

Cuma cerita perlulah dipilih agar bersesuaian dengan tahap mereka seperti cerita binatang, cerita jenaka dan cerita kanak-kanak. Unsur sastera perlulah diketepikan agar mereka tidak rasa terbeban dan mereka dapat belajar dalam suasana yang ceria dan terhibur.

No comments:

Post a Comment