Latar
tempat yang
terdapat dalan sesebuah novel menjadikan cerita lebih realistik. Berdasarkan
novel yang telah anda kaji, huraikan tiga latar tempat utama.
Latar tempat amat
penting dalam sesebuah cerita terutamanya novel. Ia menjadikan cerita dalam
novel tersebut lebih realistik dan berjejak di bumi nyata. Dalam novel Sutera
Dalam Lukisan, terdapat beberapa latar tempat utama yang difokuskan dalam
cerita. Sebahagian besar perkembangan
cerita berlaku di tempat-tempat tersebut.
Salah satu latar
tempat utama yang menjadi sebahagian daripada hidup Bujei ialah rumah Bujei sendiri. Sebenarnya rumah tersebut adalah
rumah neneknya. Setelah ibunya Fatimah meninggal, Bujei tinggal di rumah
tersebut bersama neneknya. Setelah neneknya meninggal dunia, Bujei tinggal di
situ seorang diri. Rumah itu agak jauh dari rumah penduduk kampung yang lain.
Sejak neneknya meninggal, rumah itu tidak terjaga. Terdapat semak-samun di sekeliling
rumah. Keadaan di dalam rumah pula tidak tersusun sesuai dengan kehidupan Bujei
yang dikatakan tidak normal. Di rumah itulah Bujei tidur seorang diri. Dia
pernah terbaring selama sehari semalam kerana sakit akibat daripada dibelasah
oleh Harun. Di situ juga Bujei berubah menjadi berani dan menyerang Alias
kembali apabila Alias hendak membulinya.
Latar tempat lain
yang menjadi sebahagian daripada hidup Bujei ialah di sungai yang terletak di sawah. Terdapat sebuah jambatan yang
merentangi sungai tersebut. Bujei
digambarkan banyak menghabiskan masa di sungai itu. Airnya tidak dalam dan
tebingnya berlumpur. Bujei selalu membasahkan pakaian dan melumurkan lumpur ke
badannya apabila diperintahkan oleh Alias. Jika tidak Bujei akan dibelasah oleh
Alias. Di sungai juga dia banyak menghabiskan masa dengan termenung dan
mengingatkan tragedi yang menimpa ibunya. Kadang-kadang dia akan memancing dan
membakar ikan tersebut di tepi sungai itu. Di sungai itu Bujei pengsan sampai
malam akibat dibelasah oleh Harun. Harun amat marah kerana Bujei telah
merosakkan surat
penyerahan kuasa yang dibuat oleh Harun untuk mengambil alih tanah pusaka
milik ibu Bujei.
Satu lagu latar
tempat yang utama dalam novel ini ialah rumah
Sidang Saman. Rumah Sidang Saman sebenarnya menjadi pusat cerita kerana
banyak konflik dalam cerita berpunca dari rumah tersebut. Manakala sebahagian
besar konflik juga diselesaikan di rumah tersebut. Rumah itu sentiasa
dikunjungi oleh orang kampung untuk mengadu masalah. Antara watak penting yang
terdapat di rumah tersebut ialah Adila yang menjadi kegilaan Alias. Di luar
rumah Sidang Saman terdapat sebuah pangkin. Di pangkin itulah Adila selalu
berjumpa dengan Bujei dalam usahanya untuk memulihkan Bujei. Layanan Adila yang
ikhlas membuatkan Bujei juga menaruh hati kepada Adila. Pertemuan itulah yang
membuatkan Alias berasa cemburu dan semakin marah kepada Bujei. Perasaan
cemburu itu membuatkan Alias mencari pelbagai alasan untuk menjauhkan Bujei
daripada Adila.
Jelas bahawa tiga
tempat tersebut merupakan latar tempat utama dalam novel Sutera Dalam Lukisan.
Di tempat itu berlaku banyak peristiwa yang menggerakkan cerita dalam novel ini.
Di tempat itu juga telah wujud beberapa konflik utama dalam novel.
No comments:
Post a Comment