Pengarang telah
menggunakan beberapa teknik plot
agar penyampaian cerita menjadi lebih menarik. Nyatakan tiga teknik plot
yang terdapat dalam novel kajian anda.
Penggunaan plot
dalam sesebuah novel bergantung pada kreativiti seseorang pengarang. Pengarang
biasanya menggunakan lebih daripada satu teknik agar menyampaian cerita menjadi
lebih menarik. Dalam novel Sutera Dalam Lukisan, terdapat tiga teknik plot yang
digunakan oleh pengarang menjadikan novel ini lebih menarik walaupun plotnya
mengikut kronologi.
Teknik plot pertama
yang dapat dikesan dalam novel ini adalah teknik
imbas kembali. Teknik ini mula digunakan oleh pengarang seawal bab pertama apabila
pengarang menceritakan peristiwa yang pernah dialami oleh Bujei. Bapanya
meninggal akibat kemalangan jalan raya. Bujei dibawa oleh ibunya pulang ke
kampung. Ibunya telah berkahwin dengan Harun. Ibu Bujei meninggal dalam
kebakaran rumahnya disebabkan oleh Harun. Selain daripada itu, teknik ini juga digunakan oleh pengarang
untuk menceritakan kisah lucu yang berlaku kepada Bujei. Alias dan orang
kampung takut kepada Bujei kerana dia dikatakan membawa sebutir bom tangan
sedangkan ia sebenarnya sebiji putik nanas. Ia diceritakan melalui imbas
kembali Same’ah yang yang menceritakan kisah itu kepada Adila.
Selain daripada
teknik imbas kembali, pengarang juga menggunakan taknik suspens pada beberapa tempat dalam novel ini. Ia dapat diperhatikan dalam peristiwa Bujei yang
dipukul oleh Harun hingga pengsan. Harun
meninggalkan Bujei seorang diri. Pembaca berasa suspens terhadap apa yang akan
berlaku kepada Bujei. Tambahan pula waktu ketika itu adalah waktu petang. Suspens
pembaca terjawab apabila Bujei sedar setelah hari malam dan pulang ke rumah. Di
rumahnya, Bujei telah terlantar hingga malam keesokan harinya. Tidak seorang
pun yang tahu bahawa dia sedang sakit di rumah tersebut tanpa makan dan minum.
Sekali lagi pembaca berasa suspens terhadap nasib Bujei seorang diri apatah
lagi apabila Bujei membayangkan kedatangan maut kepadanya.
Teknik kejutan juga digunakan oleh pengarang dalam novel
ini. Teknik ini digunakan oleh pengarang pada kemuncak plot dalam cerita ini.
Peristiwa penentangan Bujei terhadap Alias memberikan kejutan kepada pembaca
dan watak Alias sendiri. Pembaca dan watak Alias sendiri tidak menyangka bahawa
Bujei akan menentang Alias secara mendadak seperti itu. Bujei telah menumbuk
Alias apabila Alias menjatuhkan radionya
ke lantai. Bujei telah mencapai sebilah parang dan melibas ke arah Alias hingga
Alias terjatuh. Selain daripada itu, Bujei juga dengan berani telah meminta
ganti rugi atas kerosakan radionya. Bujei juga mengancam untuk membakar motosikal
Alias sekiranya Alias tidak membawa wang ganti rugi yang dituntutnya. Sidang
Saman juga tidak menyangka peristiwa itu akan berlaku.
Kesimpulannya tiga
teknik plot di atas dapat diperhatikan dengan jelas oleh pembaca. Penggunaan
teknik ini menyebabkan pembaca tidak bosan membaca novel ini. Selain daripada
itu, penggunaan teknik ini memberikan kesan perasaan kepada pembaca.
No comments:
Post a Comment