Banyak peristiwa yang dipaparkan
dalam novel mengandungi nilai murni.
Berdasarkan novel yang telah anda baca, bincangkan tiga peristiwa yang
membawa nilai murni yang berbeza.
Novel-novel yang
bertema kemasyarakatan sememangnya ditulis untuk mendidik ahli masyarakat
terutamanya pembaca. Oleh yang demikian, terdapat banyak nilai murni yang
diselitkan oleh pengarang melalui rentetan peristiwa dalam novel tersebut.
Peristiwa yang mengandungi nilai murni juga banyak terdapat dalam novel Sutera
Dalam Lukisan.
Beberapa peristiwa
menarik yang membawa nilai murni dalam novel ini termasuklah peristiwa Bujei
mencuci motosikal Alias. Peristiwa ini menunjukkan nilai prihatin ahli masyarakat terhadap individu yang lemah dan dikatakan
tidak normal. Alias menyuruh Bujei mencuci motorsikalnya dengan janjikan upah
sebanyak seringgit. Walau bagaimanapun setelah selesai, Alias enggan memberikan
upah tersebut. Malah Alias cuba
menempeleng muka Bujei. Apabila didesak oleh ibunya Mak Som, Alias cuma
memberikan lima
puluh sen kepada Bujei. Mak Som memanggil Bujei ke rumahnya. Bujei kemudiannya
diberi sarapan oleh Mak Som. Mak Som telah memberikan duit seringgit kepada
Bujei. Dia juga menasihatkan Bujei agar tidak melakukan apa-apa yang
diperntahkan oleh anaknya Alias.
Peristiwa lain yang
menarik ialah peristiwa yang berlaku di rumah Bujei sehari selepas Bujei pergi
ke bandar. Dia telah membeli pakaian dan sebuah radio. Alias datang ke rumah
Bujei bertujuan untuk membuli. Alias menuduh Bujei mencuri radio tersebut.
Bujei melawan dan meminta Alias menyerahkan kembali radio itu. Marah kerana
Bujei melawan, Alias telah menjatuhkan radio ke lantai menyebabkan radio itu
rosak. Bujei amat marah lalu menumbuk Alias. Dia mengambil parang lalu
menyerang Alias. Bujei meminta ganti rugi atas kerosakan radionya sebanyak
lapan puluh ringgit. Dengan bantuan daripada Sidang Saman, Alias membayar ganti
rugi tersebut. Peristiwa ini menunjukkan nilai
keberanian Bujei dalam mempertahankan maruahnya sebagai seorang manusia
normal.
Nilai murni juga
dapat diperhatikan melalui peristiwa yang berlaku di rumah Bujei semasa
kunjungan Wak Senen. Pada malam itu Wak Senen menjelaskan segala-galanya
tentang kedudukan tanah pusaka ibu Bujei yang dijual oleh bapa tiri Bujei iaitu
Harun kepadanya. Wak Senen dengan jujur akan mengembalikan tanah itu kepada
Bujei pada bila-bila masa sahaja apabila Bujei mahu. Dia tidak menuntut apa-apa
bayaran daripada Bujei. Dia sedar bahawa dia melakukan kesilapan apabila
membeli tanah tersebut semasa dijual oleh Harun. Selain daripada itu, Wan Senen
juga menasihatkan Bujei agar tidak menjual tanah tersebut. Hanya itu tanah
pusaka yang ditinggalkan oleh ibunya Fatimah. Peristiwa ini mencerminkan nilai kejujuran yang terdapat pada diri
Wak Senen.
Contoh peristiwa
tersebut adalah jelas mengandungi nilai murni yang cuba disampaikan oleh pengarang dalam
novel ini. Terdapat banyak peristiwa lain dalam novel ini yang mengandungi
nilai murni. Pembaca perlu bijak mengesan nilai-nilai tersebut sebagai panduan
dan pengajaran.
No comments:
Post a Comment