Contoh Jawapan Novel SDL - Persoalan

Pengarang menyelitkan beberapa persoalan dalam novel yang telah anda baca. Huraikan tiga persoalan utama dalam novel tersebut.

Salah satu aspek pemikiran yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam sesebuah novel ialah persoalan. Ia merupakan isu yang perlu difikirkan oleh pembaca di samping menghayati ceritanya. Demikian juga dengan novel Sutera Dalam Lukisan. Ia mengandungi beberapa persoalan utama yang mengajak pembaca berfikir.


Persoalan pertama yang diselitkan oleh penulis adalah persoalan keganasan rumahtangga. Persoalan ini penting kerana ia telah memberi kesan kepada ahli keluarga itu sendiri iaitu anak-anak. Persoalan ini ditunjukkan oleh watak Harun manakala mangsa keganasan tersebut ialah Fatimah, ibu Bujei. Fatimah telah kematian suami akibat kemalangan jalan raya. Dia membawa Bujei pulang ke kampung dan berkahwin dengan Harun. Perkahwinan itu membawa malang kepadanya apabila Harun menunjukkan sikapnya yang sebenar. Harun telah mengikis habis duit Fatimah. Fatimah telah didera oleh Harun. Kemuncak daripada penderaan ini, berlaku satu tragedi. Fatimah meninggal dunia apabila rumah mereka terbakar akibat perbuatan Harun. Peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri Bujei menyebabkan emosinya terganggu.

Selain daripada itu, novel ini juga menggarapkan persoalan gengsterisme atau budaya samseng dalam masyarakat. Persoalan ini ditunjukkan oleh watak Alias dan rakan-rakannya iaitu Sahak dan Sani. Alias yang diampu oleh rakan-rakannya bertindak samseng. Tindak-tanduknya menyebabkan penduduk kampung tidak menyenanginya. Dia selalu membuli Bujei dengan memaksa Bujei melumurkan badan dengan lumpur di sungai. Dia akan memukul Bujei jika Bujei enggan. Selain itu dia juga merosakkan kesucian gadis Kampung Batu bersama Sahak. Pemuda di kampung itu digambarkan takut kepada mereka. Alias juga telah memfitnah Adila. Dia telah menghantar surat layang kepada Adila mengatakan Adila dijangkiti AIDS. Perbuatan itu membuatkan Adila bersedih dan pulang ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu.

Persoalan lain yang penting dalam novel Sutera Dalam Lukisan adalah persoalan penyelewengan harta anak yatim. Penyelewengan itu dilakukan oleh bapa tiri Bujei iaitu Harun. Setelah Fatimah meninggal, Harun telah menjualkan tanah pusaka ibu Bujei kepada Wak Senen dengan harga empat ribu ringgit. Walau bagaiamanapun Wak Senen menyedari tindakannya salah. Dia telah mengusahakan tanah tesebut dan memberi ganjarannya kepada Bujei. Setelah menghilang beberapa lama, Harun datang kembali ke kampung itu. Dia telah memujuk Bujei agar menandatangani surat menyerahan kuasa tanah tersebut kepadanya. Dia ingin menjual tanah tesebut kepada pembeli lain dengan harga yang lebih tinggi. Dalam usaha untuk mendapatkan cap jari itu, Bujei dipukul oleh Harun hingga pengsan.

Kesimpulannya novel Sutera Dalam Lukisan menyelitkan persoalan penting yang perlu difikirkan oleh pembaca. Ia adalah persoalan sejagat yang berlaku di sekeliling kita. Selain daripada tiga persoalan utama di atas, novel ini juga menyelitkan beberapa persoalan kemasyarakatan lain untuk dikongsi oleh pengarang.

No comments:

Post a Comment