Watak adalah unsur penting yang menghidup
dan menggerakkan cerita. Huraikan tiga perwatakan watak utama dalam
novel yang anda baca.
Watak merupakan
salah satu unsur penting dalam sesebuah novel yang bercorak kemasyarakatan. Cerita
tidak akan wujud tanpa watak. Sebagaimana novel yang lain, novel Sutera Dalam
Lukisan juga mengandungi watak utama.
Watak ini mempunyai ciri-ciri atau perwatakan tersendiri sesuai dengan
peranannya dalam cerita.
Watak utama dalam
novel Sutera Dalam Lukisan ialah Bujei. Nama penuhnya ialah Muhamad Hafiz. Dia
hidup sebatang kara setelah ibu dan bapa serta neneknya meninggal.
Perwatakannya berubah mengikut perkembangan cerita dan perkembangan dirinya.
Pada awal cerita Bujei digambarkan sebagai seorang yang bodoh atau tidak matang berbanding dengan usianya. Pengarang
menggambarkan bahawa kadang-kadang kebodohannya seakan dibuat-buat. Keadaan
dirinya yang demikian menyebabkan masyarakat sering mempermainkannya. Orang kampung
tidak mengambil peduli tentang kewujudannya. Alias selalu membulinya. Dia
berkawan dengan orang yang jauh lebih muda daripadanya iaitu Samsul, Husin dan
Kasim.
Selain daripada itu
Bujei juga dilihat sebagai seorang yang
berdikari dalam keadaan dirinya yang tidak matang itu. Dia tinggal seorang
diri di rumah meninggalan neneknya. Walaupun makan dan minumnya tidak menentu,
tetapi dia berusaha untuk mendapatkannya tanpa meminta-minta. Pengarang
menggambarkan Bujei sering bangun awal pagi kemudian bersiap dan menunggu
sesiapa sahaja yang pergi ke kebun getah. Dia akan menerima pelawaan sesiapa
sahaja yang memerlukan bantuannya dengan upah yang tidak pernah ditetapkan.
Upah itu adalah untuk sarapan pada hari tersebut. Dia juga akan memancing dan
membakar ikan di sungai. Selepas mendapat bimbingan daripada Adila, Bujei mulai
yakin dan mula berkebun.
Apabila Bujei
semakin yakin pada diri hasil daripada bimbingan Adila, sifatnya juga telah
berubah. Dalam mengadapi Alias, Bujei telah menunjukkan sifatnya yang berani dalam mempertahankan maruah diri
sebagaimana yang diajarkan oleh Adila. Bujei telah melawan Alias yang datang ke
rumahnya untuk membuli. Bujei amat marah apabila Alias menjatuhkan radionya ke
lantai. Dia telah menumbuk Alias dan menyerang Alias dengan parang menyebabkan
Alias terjatuh. Dengan berani Bujei menuntut ganti rugi sebanyak lapan puluh
ringgit untuk radionya. Lebih lanjut lagi, dia memerintahkan Alias pulang
dengan berjalan kaki dan meninggalkan motorsikal di rumah Bujei. Bujei mengugut
akan membakar motorsikal itu sekiranya Alias ingkar.
Kesimpulannya jelas
menunjukkan perwakatan Bujei berubah mengikut perkembangan dirinya. Sesuai
dengan watak utama yang mendapat kemenangan pada akhir cerita, perwatakan Bujei
berubah ke arah yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment