ASPEK KAJIAN KOMSAS

TEMA
Tema ialah isu utama atau persoalan pokok yang mendasari sesebuah karya sastera. Ia merupakan gagasan pemikiran pengarang yang ingin disampaikan melalaui karyanya.



Oleh yang demikian, hanya terdapat satu tema dalam setiap karya. Ia boleh diungkapkan dengan hanya satu perkataan seperti perjuangan, kemasyarakatan, keagamaan, kecintaan, kemanusiaan dan lain-lain. Tema dapat dikesan dan disarai setelah membaca dan memahami keseluruhan sesebuah karya.

PERSOALAN
Persoalan ialah isu atau pemikiran sampingan yang ingin disampaikan oleh penulis sesebuah karya sastera di samping tema. Ia biasanya dapat dikesan melalui gagasan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sesebuah karya. Terdapat lebih daripada satu persoalan dalam setiap karya.

NILAI
Mengikut Kamus Dewan, nilai merupakan sifat ketinggian pekerti pada diri seseorang. Dalam karya sastera, nilai dapat difahami sebagai unsur ketinggian pekerti yang dapat dikesan oleh pembaca. Ia merupakan rumusan terhadap seseuatu gagasan penulis dan tindakan watak.

PENGAJARAN
Pengajaran ialah unsur teladan dalam sesebuah karya sastera. Sebahagian daripada pengkaji sastera menyebutnya sebagai mesej. Ia dapat dikesan melalui gagasan penulis atau tindakan dan pemikiran watak dalam sesebuah cerita. Pembaca dapat mengesan unsur ini dalam sesebuah karya sastera dengan menggunakan pemikiran positif. Pembaca akan dapat membuat kesimpulan bahawa sesuatu gagasan penulis atau tindakan dan pemikiran watak itu patut diikuti dicontohi atau tidak.

NADA
Nada ialah perasaan yang terdapat dalam sesebuah karya sastera yang berbentuk puisi terutamanya sajak. Perasaan itu boleh terdiri daripada perasaan penulis dengan penggunaan bahasa dan juga perasaan pembaca apabila karya tersebut seperti nada sedih, marah, cinta, patriotik dan lain-lain.

BENTUK
Bentuk adalah pola, struktur atau susunan kata-kata dalam sesebuah karya puisi. Ia akan membentuk irama dan juga membentuk ciri-ciri sesebuah karya puisi.

RIMA
Rima ialah persamaan bunyi suku kata terakhir antara dua baris atau lebih dalam karya puisi. Ia dikenali sebagai rima akhir sekiranya persamaam itu terdapat pada akhir baris puisi. Jika terdapat pada tengah baris, ia dikenali sebagai rima tengah.

GAYA BAHASA
Gaya bahasa ialah pemilihan dan susunan kata-kata yang digunakan oleh penulis. Pemilihan dan susunan itu dipersembahkan dalam karya mereka sama ada puisi atau prosa. Ia merupakan individualiti setiap penulis dalam menyampaikan pemikiran, gagasan atau perasaan mereka. Terdapat beberapa unsur pemilihan dan susunan kata yang biasa digunakan oleh penulis.

(a) Diksi merupakan aspek utama dalam gaya bahasa. Ia merujuk kepada pemilihan dan penggunaan kata oleh penulis dalam karyanya. Kata-kata tersebut dipilih supaya sesuai dengan pemikiran dan maksud yang hendak disampaikan dalam karya mereka.

(b) Hiperbola merupakan perbandingan atau perlukisan melampau. Contohnya;
suaranya bagaikan singa, kesabaran suaminya itu meledak..

(c) Anafora merupakan unsur perulangan kata pada awal baris dalam puisi. Contohnya;
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib memang begitu.

(d) Epifora pula merupakan unsur perulangan kata pada akhir baris dalam karya puisi. Contohnya; kumasuki pasar ini
Kususuri sungai sibuk ini

(e) Inversi merupakan susunan kata dalam ayat yang tidak mengikut susunan yang biasa atau dikenali juga dengan susunan kata terbalik. Contohnya;
Ke negeri Patani berjalan segera
Pada Laksamana ibu saudara

(f) Metafora merupakan salah satu bentuk gaya bahasa kiasan atau perbandingan. Perbandingan itu diungkapkan secara terus menggunakan dua perkataan yang berlainan maksud. Namun dari segi makna, dua perkataan itu membawa satu makna. Contohnya;
ruang hidup
bangku bijaksana
sungai manusia
suara kosong

(g) Simile juga merupakan gaya bahasa perbandingan dengan mengguanakn kata banding seperti, bak, bagai, umpama dan seumpamanya. Contohnya;
… teratur laksana seorang primadona
dia bagaikan gunung berapi pendam

(h) Repitasi merupakan satu lagi gaya bahasa perulangan. Namun pada ia biasanya diaplikasikan dalam karya prosa. Antara aspek yang terkandung dalam unsur bahasa ini adalah perulangan kata dalam satu ayat, perulangan kata serta perulangan ayat dalam perenggan.

(i) Personafikasi merupakan pemberian sifat-sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau perbuatan kepada objek-objek lain. Contohnya;
Daun pokok pisang melambai-lambainya…
Pungguk di belakang rumahnya terus merintih…

LATAR
Latar adalah ruang sama ada ruang masa, tempat atau persekitaran iaitu masyarakat yang mendasari sesuatu peristiwa dalam karya prosa. Ia bertujuan menjadikan sesuatu persitiwa lebih konkrit, realistik dan tidak berlaku pada ruang kosong.

(a) Latar Masa merupakan ruang zaman, musim, hari atau waktu sesuatu peristiwa berlaku. Ia dapat dikesan melalui penceritaan penulis, dialog watak atau gambaran suasana ketika itu.

(b) Latar Masyarakat merupakan ruang persekitaran yang terdiri daripada watak-watak dalam sesuatu peristiwa. Ia merujuk kepada ciri-ciri sesebuah masyarakat yang terdapat dalam sesebuah cerita. Watak dalam cerita merupakan wakil untuk menggambarkan masyarakat sebenar. Ia juga dapat dikesan melalui penceritaan penulis, tindakan serta pemikiran watak-watak dalam cerita berkenaan.

(c) Latar Tempat merupakan ruang tampat yang melatari sesuatu peristiwa dalam cerita. Ia boleh terdiri daripada perlukisan tempat semulajadi dari segi geografi dan semulajadi seperti bukit, hutan, sungai, laut dan sebagainya atau tempat yang menggambarkan ciri-ciri budaya seperti rumah, masjid, padang, istana dan sebagainya.

PLOT
Plot merupakan jalinan atau hubungan peristiwa dalam sesebuah karya prosa berdasarkan hokum sebab dan akibat. Ia berkait rapat dengan tindakan dan pemikiran watak-watak dalam cerita tersebut. Sesuatu peristiwa yang berlaku boleh menyebabkan berlakunya satu peristiwa lain yang lebih rumit atau sebaliknya. Perkembangan peristiwa itu boleh dibahagikan kepada empat peringkat utama.

(a) Permulaan / eksposisi merupakan peringkat awal dalam cerita. Pada peringkat ini penulis mendedahkan watak, latar dan juga masalah yang dialami oleh watak berkenaan. Melalui teknik plot yang digunakan oleh penulis, peringkat ini tidak semestinya berada pada permulaan cerita. Ia mungkin berada di tengah atau akhir cerita melalui teknik imbas kembali.

(b) Perkembangan / perumitan merupakan peringkat kedua dalam perkembangan peristiwa dalam cerita. Pada peringkat ini, konflik dan ketegangan telah timbul di antara watak dengan watak utama. Semakin panjang cerita tersebut, konflik menjadi semakin rumit. Dalam perkembangan plot, peringkat ini merupakan peringkat yang paling panjang.

(c) Kemuncak / klimaks merupakan peringkat akhir konflik dan ketegangan. Pada peringkat ini, konflik antara watak dengan watak utama mencapai peringkat paling tegang dan rumit. Selepas peringkat ini, sebahagian besar atau semua konflik selesai.

(d) Pengakhiran / antiklimaks merupakan peringkat penyelesaian konflik dan ketegangan mulai hilang. Biasanya peringkat ini terdapat pada bahagian akhir cerita dan perkembangannya agak pendek.

KONFLIK
Konflik merupakan pertentangan antara watak dengan watak lain atau antara watak dengan alam dan haiwan akibat daripada sesuatu permasalahan yang timbul. Konflik adalah aspek penting dalam perkembangan plot kerana ia membuatkan wujudnya rentetan peristiwa. Ia juga menimbulkan unsur-unsur ketegangan dalam cerita.

TEKNIK PENCERITAAN
Teknik penceritaan adalah cara atau kaedah seseorang penulis menyampaikan cerita dalam karya prosa mereka. Terdapat empat teknik penceritaan yang biasa digunakan oleh penulis.

(a) Pemerian merupakan teknik yang paling tua dan paling banyak digunakan oleh penulis dalam karya-karya mereka. Mengguakan teknik ini, penulis telah bercerita secara langsung tentang apa sahaja sama ada peristiwa, watak dan perwatakan atau latar cerita tersebut.

(b) Dialog merupakan percakapan watak dengan watak dalam cerita. Dua orang watak atau lebih akan berbalas kata. Teknik ini juga banyak terdapat dalam cerita. Melalui teknik ini, penulis menyampaikan cerita secara tidak langsung. Pembaca akan dapat mengetahui sesuatu peristiwa, watak dan perwatakan serta latar melalui dialog antara watak.

(c) Monolog Luaran merupakan percakapan watak dengan dirinya sendiri. Watak berdialog dengan diri sendiri dengan mengeluarkan suara sama ada kuat atau hanya dapat didengari oleh dirinya sahaja. Biasanya penulis menggunakan pengikat kata untuk monolog ini.

(d) Mololog Dalaman merupakan percakapan di dalam minda atau fikiran watak dengan dirinya sendiri. Ia tidak mengeluarkan suara. Sesetengah penulis menggunakan tanda pengikat kata bagi monolog ini manakala sebahagiannya tidak menggunakan tanda pengikat kata.

TEKNIK PLOT
Teknik plot adalah cara atau kaedah seseorang penulis menyusun peristiwa dalam karya prosa mereka. Susunan ini akan menentukan bahawa plot sesebuah cerita mengikut kronologi atau tidak. Terdapat empat teknik plot yang biasa digunakan oleh penulis.

(a) Imbas Kembali adalah penceritaan semula sesuatu peristiwa yang pernah berlaku pada masa lepas. Ia diimbas secara langsung melalui pemerian penulis atau secara tidak langsung melalui pemikiran atau dialog watak.

(b) Imbas Muka pula merupakan bayangan peristiwa yang akan berlaku. Biasanya ia wujud dalam fikiran atau minda watak dalam cerita dalam bentuk angan-angan, mimpi atau jangkaan watak itu.

(c) Kejutan adalah peristiwa yang berlaku secara tidak disangka-sangka sama ada oleh pembaca atau watak dalam cerita tersebut. Kejutan ini membuatkan plot cerita berkembang dengan cepat.

(d) Suspens merupakan keadaan tegang atau cemas dalam sesuatu peristiwa. Ia dapat dirasakan oleh pembaca atau watak dalam cerita yang mengalami peristiwa berkenaan. Keadaan tegang dan cemas itu telah menghasilkan pelbagai andaian peristiwa yang akan berlaku.

WATAK
Watak merupakan pelaku atau pelakon dalam sesebuah cerita. Selain daripada manusia biasa, watak dalam cerita bolek terdiri daripada binatang ataupun makhluk lain seperti jin, peri, raksasa dansebagainya. Setiap watak ini mempunyai identiti mereka tersendiri. Watak terbahagi kepada golongan utama.

(a) Watak Protagonis atau watak utama dalam sesebuah cerita. Ia berkembang mengikut jalan cerita. Watak ini juga dikenali sebagai watak bulat. Pada kebiasaannya wayak ini akan memperjuangkan nilai-nilai positif.

(b) Watak Antagonis merupakan watak sampingan dalam sesebuah cerita. Ia merupakan watak penentang kepada watak utama. Pertembungan watak utama dengan watak antagonis ini akan mewujudkan konflik dan membolehkan plot berkembang.

PERWATAKAN
Perwatakan juga disebut sebagai penokohan merupakan sifat peribadi seseorang watak dalam cerita sama ada sifat luaran atau dalaman. Sifat luaran termasuklah perlukisan tentang bentuk badan, perlakuan atau tindakan dan juga pertuturan.Manakala sifat dalaman termasuklah pemikiran dan perasaan watak. Perwatakan dalam dikesan oleh pembaca melalui pemerian penulis secara langsung, pemikiran watak itu sendiri, dialog watak itu sendiri dan dialog watak lain tertentang watak berkenaan.

SUDUT PANDANGAN
Sudut Pandangan adalah kedudukan penulis dalam mempersembahkan cerita mereka. Penulis boleh berada dalam beberapa kedudukan semasa mempersembahkan cerita mereka. Mereka boleh berada dalam cerita sebagai satu watak atau di luar cerita sama ada sebagai pencerita yang serba tahu atau sebagai pencerita yang objektif.


23 comments:

  1. terima kasih sgt2 , kerana membantu..

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Sy nak Tanya TNG maksud rangkap DLM aspek kajian komsas

    ReplyDelete
  4. Tahniah dan terima kasih cikgu. saya konsikan untuk murid-murid saya, Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  5. Tahniah dan terima kasih cikgu. saya konsikan untuk murid-murid saya, Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  6. syukur alhamdulillah...mohon nak kongsi

    ReplyDelete
  7. terima kasih. saya telah mengambil bahan cikgu untuk kegunaan pelajar saya

    ReplyDelete
  8. omg very long aaa my hand already patah and then got a lot of wrong word yaa

    ReplyDelete
  9. Terima kasih atas kebenaran menggunkan nota ini.

    ReplyDelete
  10. ASSALAMUALAIKUM.. MOHON KONGSI ..

    ReplyDelete
  11. Binaan plot tak ada dalam ni

    ReplyDelete