SUTERA DALAM LUKISAN

Klon soalan SPM bahagian novel sepanjang 10 tahun yang lepas. Boleh diaplikasikan kepada semua novel mengikut zon.


  1    - Tema yang menarik merupakan pendorong kepada pembaca untuk membaca sesebuah novel. Nyatakan tema novel yang telah anda baca.

       2    - Pengarang menyelitkan beberapa persoalan dalam novel yang telah anda baca. Huraikan tiga persoalan utama dalam novel tersebut.

       3    - Banyak peristiwa yang dipaparkan dalam novel mengandungi nilai murni. Berdasarkan novel yang telah anda baca, bincangkan tiga peristiwa yang membawa nilai murni yang berbeza.

       4    - Cerita dalam novel sememangnya memaparkan latar masyarakat sezaman. Nyatakan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda baca.

       5    - Latar tempat yang terdapat dalan sesebuah novel menjadikan cerita lebih realistik. Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan tiga latar tempat utama.

       6    - Pengakhiran sesebuah cerita dalam novel akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Huraikan pendapat tersebut berdasarkan novel yang telah anda kaji.

       7    - Klimaks merupakan unsur utama dalam plot sesebuah cerita. Daripada novel yang telah anda baca, jelaskan persitiwa yang menjadi klimaks dalam novel tersebut.

       8    - Novel yang telah anda kaji mengandungi beberapa persoalan utama. Huraikan tiga peristiwa yang mendokong persoalan kegigihan dalam novel tersebut.

       9    - Watak adalah unsur penting yang menghidupkan dan menggerakkan cerita. Huraikan tiga perwatakan watak utama dalam novel yang anda baca.

       10   - Watak utama dalam sesebuah novel banyak menghadapai cabaran. Nyatakan cabaran watak utama dalam novel yang anda baca.

       11   - Pembaca novel akan mendapat banyak pengajaran berguna yang boleh dijadikan panduan hidup. Jelaskan tiga pengajaran utama yang dapat anda petik daripada novel yang telah anda kaji.

       12   - Nilai kasih sayang terdapat dalam kebanyakan novel yang bercorak kemasyarakatan. Huraikan tiga nilai tersebut berdasarkan novel kajian anda.

       13   - Konflik yang timbul dalam cerita membuatkan cerita semakin berkembang. Berdasarkan novel kajian anda, nyatakan peranan watak utama dalam menyelesaikan konflik.

       14   - Watak sampingan dalam sesebuah novel juga penting dalam menggerakkan cerita. Nyatakan peranan satu watak  sampingan berdasarkan novel yang telah anda baca.

       15   - Sesebuah novel banyak memaparkan peristiwa yang dapat dijadikan teladan. Berdasarkan novel kajian anda, jelaskan peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca.

       16   - Novel yang telah anda baca mengandungi banyak peristiwa menarik. Nyatakan tiga peristiwa menarik dalam novel tersebut.

       17   - Watak-watak dalam sesebuah novel akan bertentangan dengan sebahagian watak yang lain. Berdasarkan novel yang telah anda baca, nyatakan tiga peristiwa menunjukkan penentangan watak.

       18   - Latar masyarakat yang dipaparkan dalam sesebuah novel mempunyai nilai tersendiri. Huraikan tiga nilai kemasyarakatan dalam novel yang anda kaji.

       19   - Cerita dalam novel menyelitkan banyak nilai murni. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan tiga contoh yang menunjukkan nilai ketekunan.

       20   - Banyak peristiwa yang digambarkan dalam sesebuah cerita mencerminkan persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang. Berpandukan novel yang anda kaji, jelaskan tiga peristiwa yang mencerminkan persoalan maruah.

       21   - Kebanyakan konflik dalam cerita sesebuah novel melibatkan watak utama. Jelaskan cara watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi berdasarkan novel yang telah anda baca.

       22   - Tajuk sesebuah novel amat berkaitan dengan cerita dalam novel tersebut. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan kesesuaian tajuk novel dengan isinya.

       23   - Permulaan yang menarik dalam sesebuah novel akan mempengaruhi pembaca untuk meneruskan pembacaan hingga akhir. Huraikan pernyataan tersebut berdasarkan novel kajian anda.

       24   - Cerita yang menarik dalam sesebuah novel akan meninggalkan kesan perasaan kepada pembaca. Nyatakan tiga peristiwa yang meninggalkan kesan kepada anda berpandukan novel yang anda baca.

       25   - Setiap peristiwa dalam novel berlaku dalam latar masa tertentu. Berdasarkan novel kajian anda, jelaskan tiga latar masa yang penting.

       26   - Watak utama mencerminkan banyak nilai murni. Huraikan tiga contoh nilai ketabahan watak utama dalam novel yang anda kaji.

       27   - Cerita dalam novel memaparkan kisah yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga peristiwa yang menggambarkan  kepincangan dalam masyarakat.

       28   - Plot dalam sesebuah cerita berkembang mengikut peringkat. Huraikan plot novel yang telah anda baca.

       29   - Pengarang telah menggunakan beberapa teknik plot agar penyampaian cerita menjadi lebih menarik. Nyatakan tiga teknik plot yang terdapat dalam novel kajian anda.

       30   - Novel yang telah anda baca adalah sebuah novel yang menarik. Tuliskan sinopsis cerita novel tersebut.










SINOPSIS

BAB 1               Bujei berada di sungai sehingga senja. Dia sudah biasa berada di sungai itu. Bujei sentiasa terkenangkan bapanya yang meninggal akibat kemalangan jalan raya. Dia dan ibunya berpindah ke kampung. Ibunya berkahwin dengan Harun. Akibat daripada sikap buruk Harun, ibunya meninggal dalam tragedi kebakaran rumah mereka.

BAB 2               Bujei pulang ke rumah arwah neneknya setelah hari gelap. Dia menyalakan pelita minyak tanah. Selepas itu dia makan pisang sambil menonton televisyen yang tidak kelihatan apa-apa gambar. Kemudian dia tidur di dalam kelambu yang bertampal-tampal. Menjelang waktu Subuh dia bangun mandi dan bersiap. Dia terus ke simpang jalan dengan harapan ada orang yang akan mengupahnya di kebun getah. Dia tertidur. Dia dikejutkan oleh Kasim dan Husin ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah. Bujei membawa beg mereka dengan upah sedikit makanan dai minuman. Selepas itu dia ke kedai Pak Sulong dengan harapan ada orang yang akan mempelawanya bersarapan. Dia hampa dan tertidur di kaki lima kedai.

BAB 3               Adila melihat Bujei tertidur di kaki lima kedai semasa dia dan Same’ah dalam perjalanan ke bandar. Adila meluahkan rasa simpatinya kepada Bujei. Dia berpendapat bahawa Bujei tidak harus dilayan sebegitu rupa oleh masyarakat kampung. Adila dan Same’ah teringatkan  peristiwa Adila mula-mula berjumpa dengan Bujei. Adila berasa amat takut kepada Bujei.

BAB 4               Alias menyuruh Bujei membersihkan motosikalnya dan berjanji untuk memberi upah satu ringgit. Setelah selesai, Bujei menuntut janji. Alias ingkar malah Bujei mahu ditamparnya. Perbuatan Alias dihalang oleh ibunya sendiri, Mak Som. Mak Som memberikan Bujei minum, sarapan dan wang satu ringgit. Mak Som menasihatkan Bujei agar tidak menurut perintah Alias lagi.

BAB 5               Same’ah dan Adila sedang menyiapkan bunga telur di serambi. Mak Lamah, ibu Same’ah berada di dapur. Sidang Saman, ayah Same’ah pulang dari kebun getah. Dia memberitahu Mak Lamah bahawa Harun, bapa tiri Bujei telah pulang ke kampung itu. Sidang Saman dan Mak Lamah risau. Malam itu Same’ah dan Adila bermalam di rumah ibu saudara mereka, Mak Usu Bakyah. Adila menjelaskan bahawa dia pulang kampung kerana kecewa dengan kekasihnya yang telah berkahwin semasa dia menuntut di England.

BAB 6               Harun datang ke rumah Sidang Saman untuk meminta Sidang Saman memujuk Bujei supaya menyerahkan kuasa terhadap tanah pusaka milik arwah ibu Bujei kepadanya. Harun juga mahu mengambil balik tanah yang dijual kepada Wak Senen. Harun cuba menyogok Sidang Saman.

BAB 7               Bujei telah mendapat tahu tentang kepulangan Harun. Dia cuba mengelak daripada bertemu dengan Harun. Adila meminta Bujei datang ke rumah Sidang Saman. Dengan perasaan malu Bujei bertemu dengan Adila. Mereka berkenalan. Adila menjelaskan tujuannya ingin berbual dengan Bujei. Adila melayan Bujei dengan baik.

BAB 8               Pertemuan Adila dengan Bujei diketahui oleh Alias. Alias marah dan datang ke rumah Sidang Saman lalu menghalau Bujei. Alias berkenalan dengan Adila. Dia memburuk-burukkan Bujei membuatkan perasaan Adila terhadap Bujei terganggu. Setelah meninggalkan Adila dan Alias, Bujei pergi ke sungai dan tertidur. Dia dikejutkan oleh Harun untuk memujuk Bujei menurunkan cap jari pada surat menyerahan kuasa atas tanah pusaka ibunya. Cap jari itu rosak dan Bujei dibelasah oleh Harun hingga pengsan di tebing sungai.

BAB 9               Petang itu Adila menunggu kedatangan Bujei. Namum Bujei tidak muncul. Tiba-tiba Faizal datang untuk berbincang dengan Adila tentang masa depan mereka. Permintaan Faizal tidak dilayan oleh Adila. Faizal pulang dengan hampa. Bujei sedar daripada pengsan setelah hari malam. Dia pulang dan tidur dalam kesakitan. Keesokan harinya dia semakin sakit dan demam. Dia tidak dapat bangkit  hingga ke malam.

BAB 10             Adila risau kerana Bujei tidak datang seperti yang dijanjikan. Namun dia ditenangkan oleh Same’ah. Same’ah menceritakan kenangan lucu tentang Bujei semasa remajanya. Kononnya Bujei jumpa dan membawa bom dalam keadaan marah kepada Alias dan rakan-rakan.

BAB 11             Adila meminta Samsul mencari Bujei. Alias meminta Samsul menyampaikan pesan kepada Adila. Dia ingin berjumpa dan mengajak Adila ke bandar. Sidang Saman telah membawa Bujei pulang pada malam itu. Bujei tidur di bangsal. Dia memberitahu Samsul bahawa Harun telah memukulnya. Keesokan hari Adila membawa Same’ah, Bujei, Samsul dan Saniah ke bandar. Samsul menemani Bujei memotong rambut, membeli radio dan pakaian. Apabila pulang ke rumah, Bujei mengemas rumah dan berjanji pada dirinya untuk berubah.

Pada pagi besoknya Alias datang ke rumah Bujei untuk membuli. Bujei melawan menyebabkan Alias marah dan menghempaskan radio Bujei ke lantai. Bujei amat marah lalu menumbuk dan menyerang Alias dengan parang dan meminta ganti rugi. Alias pulang. Tidak lama kemudian orang kampung datang bersama Sidang Saman. Sidang Saman terpengaruh dengan kata-kata Alias menyebabkan dia memarahi Bujei. Setelah mengetahui perkara sebenar, Sidang Saman memaksa Alias membayar ganti rugi sebanyak RM 80 kepada Bujei.

BAB 12             Perubahan yang berlaku pada Bujei meyakinkan Adila bahawa Bujei boleh dipulihkan. Mak Lamah mengingatkan Adila tentang hubungan dengan Bujei. Mak Lamah takut Adila difitnah. Pak Imam datang ke rumah Sidang Saman untuk merisik Adila bagi pihak Opah Arah, nenek Alias. Adila menolak. Berita itu sampai ke pengetahuan Bijei menyebabkan dia rasa gelisah.

BAB 13             Perasaan Bujei terus gelisah memikirkan hubungannya dengan Adila. Namun dia menyedari dirinya tidak layak bersama Adila. Samsul datang menjemputnya ke rumah Sidang Saman untuk menolong menyiapkan astaka. Keluarga Adila tiba dari Kuala Lumpur. Ayah Adila diperkenalkan kepada Bujei. Pada malam majlis perkahwinan Same’ah, Bujei dijemput untuk menyanyi. Nyanyian yang lancar dan suaranya yang merdu membuatkan hadirin terpegun. Dia meninggalkan majlis selepas nyanyian itu.

BAB 14             Samsul datang membawa makanan kepada Bujei. Dia menyampaikan pesan ayah Adila, Pak Lang Dahlan supaya datang ke rumah Sidang Saman. Di rumah Sidang Saman, Bujei dilayan dengan baik oleh Pak Lang Dahlan. Faizal datang menghantar Adila.

Pada malam itu Wak Senen datang ke rumah Bujei. Dia menjelaskan kedudukan sebenar tentang tanah pusaka ibu Bujei yang dujual oleh Harun kepadanya. Dia ingin menyerahkannya semula kepada Bujei. Dia juga menasihatkan Bujei supaya jangan jual tanah itu.

Pada keesokan harinya Bujei datang ke rumah Sidang Saman untuk membantu Samsul mengemas. Dia bertanyakan Samsul tentang kedudukan Adila dengan Faizal dan Alias. Selepas mengemas mereka makan laksa.

BAB 15             Adila kesunyian setelah Same’ah tiada. Dia memikirkan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun dia keberatan untuk meninggalkan Bujei. Dalam masa yang sama, dia rasa hatinya lebih sakit sekiranya dia kembali ke Kuala Lumpur setelah mengenangkan hubungannya dengan Faizal.

BAB 16             Alias datang ke rumah Bujei. Dia memfitnah Adila. Dia memberitahu Bujei bahawa Adila menghidap penyakit AIDS menyebabkan dia membatalkan peminangannya. Bujei percaya dengan fitnah Alias. Bujei tidak berani lagi untuk pergi ke rumah Sidang Saman. Pada hari yang sama Adila mendapat surat layang yang mengandungi fitnah yang sama. Dia tidak dapat menahan kesedihan dan menangis. Adila pulang ke Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun dia bercadang untuk kembali semula ke kampung.

BAB 17             Bujei menunggu Samsul pulang dari sekolah dan mengikut Samsul ke rumah Sidang Saman. Samsul menjelaskan kepadanya bahawa Adila tidak sakit. Namun Bujei masih ragu-ragu. Bujei menceritakan kenangan semasa dia dibuli oleh Alias di kedai Pak  Sulong.

BAB 18             Dua minggu kemudian Samsul datang ke rumah Bujei. Dia mengajak Bujei ke hospital kononnya untuk melawat Adila yang sakit tenat. Dengan berat hati Bujei datang ke rumah Sidang Saman untuk sama-sama pergi ke hospital. Bujei terkejut berjumpa dengan Adila dalam keadaan sihat di rumah Sidang Saman. Mereka pergi ke hospital untuk melawat Sahak yang cedera kerana kemalangan akibat lumba haram. Adila menderma darahnya kepada Sahak.

BAB 19             Alias datang lagi ke rumah Bujei. Dia sekali lagi menghasut Bujei supaya menjauhi Adila yang dikatakan menghidap AIDS. Alias memberi amaran kepada Bujei tentang penyakit Adila yang akan berjangkit kepada Bujei. Bujei akan dihalau dari kampung itu sekiranya dijangkiti. Bujei mencabar Alias menghalau Adila dari kampung itu. Gagal menghasut Bujei, Alias merancang untuk menculik Adila. Kemudian dia memujuk neneknya Opah Arah mendapatkan ilmu pengasih. Alias menjadi tidak siuman.

BAB 20             Adila memberitahu hasratnya kepada Mak Lamah dan Sidang Saman bahawa dia ingin memilih Bujei sebagai bakal suaminya. Sebagai menghormati pilihan Adila, mereka setuju. Perkara itu masih dirahsiakan daripada orang lain. Sidang Saman menjelaskan bahawa Bujei belum bersedia menjadi suami kepada Adila. Adila menasihatkan Bujei supaya belajar ilmu agama daripada Sidang Saman. Adila pulang ke Kuala Lumpur untuk mula bekerja.



TEMA

Novel Sutera Dalam Lukisan bertemakan kemasyarakatan iaitu pandangan masyarakat terhadap orang yang lemah daya pemikiran atau kurang berakal. Terdapat beberapa pandangan ahli masyarakat terhadap watak utama iaitu Bujei. Sebahagian ahli masyarakat yang menganggap Bujei bodoh. Oleh yang demikian, Bujei menjadi objek buli golongan masyarakat ini. Ia diwakili oleh Alias dan Harun. Alias menganggap Bujei bodoh dan telah mengambil kesempatan untuk membuli Bujei. Dia selalu memaksa Bujei membasahkan pakaian dan melumurkan badan dengan lumpur. Jika tidak, Alias akan memukul Bujei. Alias juga menyuruh Bujei mencuci motosikal tanpa memberikan upah yang dijanjikan. Demikian juga dengan Harun. Bujei takut untuk berjumpa dengan Harun kerana Harun biasa memukulnya. Namun Bujei sempat dipukul hingga pengsan.

Manakala sebahagian daripada ahli masyarakat yang lain hanya melihat kewujudan Bujei sebagai seorang yang kurang berakal. Mereka melayan Bujei sebagai seorang yang kurang berakal juga. Mereka diwakili oleh Mak Som, Sidang Saman serta isterinya Mak Lamah dan Same’ah. Mereka melayan Bujei seadanya dengan memberikan makan dan minum. Mereka tidak cuba menyelami apa yang ada dalam hati dan fikiran Bujei. Mereka hanya menasihati dan mengajar seperti yang dilakukan oleh Same’ah. Malah Same’ah tidak mahu Bujei rapat dengannya terutama setelah dia bertunang. Demikian juga dengan Mak Som dan Sidang Saman. Mereka hanya memberikan nasihat kepada Bujei sekadar yang diperlukan. Malah mereka turut sangsi apabila Adila ingin memulihkan Bujei.

Satu golongan masyarakat lagi amat memahami dan menyelami perasaan Bujei. Golongan ini diwakili oleh Adila. Sesuai dengan wataknya sebagai seorang yang berpelajaran, dia dapat berfikir dan menilai Bujei. Dia sedar bahawa Bujei tidak sebagaimana anggapan orang-orang kampung. Bujei adalah manusia biasa yang normal dan berhak hidup sebagai seorang yang normal. Oleh sebab itulah dia cuba mendekati dan menyelidik latar belakang Bujei. Adila dengan ikhlas mahu menolong Bujei memulihkan imej dan keyakinan dirinya. Dia mengadakan siri pertemuan dan bimbingan di rumah Sidang Saman. Akhirnya Bujei mendapat keyakinan dan hidup sebagaimana ahli masyarakat yang lain. Dia sudah boleh berdikari.






PERSOALAN

Antara persoalan yang diselitkan oleh penulis adalah persoalan keganasan rumahtangga. Persoalan ini penting kerana ia telah memberi kesan kepada ahli keluarga itu sendiri iaitu anak-anak. Persoalan ini ditunjukkan oleh watak Harun manakala mangsa keganasan tersebut ialah Fatimah, ibu Bujei. Fatimah telah kematian suami akibat kemalangan jalan raya. Dia membawa Bujei pulang ke kampung dan berkahwin dengan Harun. Perkahwinan itu membawa malang kepadanya apabila Harun menunjukkan sikapnya yang sebenar. Harun telah mengikis habis duit Fatimah. Fatimah telah didera oleh Harun. Kemuncak daripada penderaan ini, berlaku satu tragedi. Fatimah meninggal dunia apabila rumah mereka terbakar akibat perbuatan Harun. Peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri Bujei menyebabkan emosinya terganggu.

Selain daripada itu, novel ini juga menggarapkan persoalan gengsterisme atau budaya samseng dalam masyarakat. Persoalan ini ditunjukkan oleh watak Alias dan rakan-rakannya iaitu Sahak dan Sani. Alias yang diampu oleh rakan-rakannya bertindak samseng. Tindak-tanduknya menyebabkan penduduk kampung tidak menyenanginya. Dia selalu membuli Bujei dengan memaksa Bujei melumurkan badan dengan lumpur di sungai. Dia akan memukul Bujei jika Bujei enggan. Selain itu dia juga merosakkan kesucian gadis Kampung Batu bersama Sahak. Pemuda di kampung itu digambarkan takut kepada mereka. Alias juga telah memfitnah Adila. Dia telah menghantar surat layang kepada Adila mengatakan Adila dijangkiti AIDS. Perbuatan itu membuatkan Adila bersedih dan pulang ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu.

Persoalan lain yang penting dalam novel Sutera Dalam Lukisan adalah persoalan penyelewengan harta anak yatim. Penyelewengan itu dilakukan oleh bapa tiri Bujei iaitu Harun. Setelah Fatimah meninggal, Harun telah menjualkan tanah pusaka ibu Bujei kepada Wak Senen dengan harga empat ribu ringgit. Walau bagaimanapun Wak Senen menyedari tindakannya salah. Dia telah mengusahakan tanah tesebut dan memberi ganjarannya kepada Bujei. Setelah menghilang beberapa lama, Harun datang kembali ke kampung itu. Dia telah memujuk Bujei agar menandatangani surat menyerahan kuasa tanah tersebut kepadanya. Dia ingin menjual tanah tesebut kepada pembeli lain dengan harga yang lebih tinggi. Dalam usaha untuk mendapatkan cap jari itu, Bujei dipukul oleh Harun hingga pengsan.

Pengarang  juga mengungkapkan persoalan cinta dan kasih sayang pemuda dan seorang gadis. Kedatangan  Adila ke kampung itu telah menarik hati dua orang pemuda iaitu Alias dan Bujei. Selain daripada tertarik kepada Adila, Alias cuba untuk mendapatkan Adila kerana dia ingin menang dalam persaingannya dengan Bujei. Dia cemburu apabila mendapat tahu Bujei semakin rapat dengan Adila dan Adila juga melayani Bujei dengan baik. Manakala Bujei tertarik kepada Adila kerana keikhlasan Adila dalam membimbing dan memberikan kesedaran kepadanya. Bujei telah membayangkan kehidupannya bersama Adila sedangkan pada masa itu Adila tidak mempunyai apa-apa perasaan kepada Bujei. Adila hanya mempunyai perasaan kasih sayang kepada Bujei setelah dia mengambil keputusan tekad memutuskan hubungan dengan Faizal. Adila berhasrat untuk menjadikan Bujei sebagai suaminya.

Watak Adila pula menggambarkan persoalan kekecewaan dalam percintaan. Walaupun dia telah bertunang dengan Faizal, namun dia sudah kecewa dan sudah tidak dapat lagi menerima Faizal dalam hidupnya. Kekecewaan itulah yang menyebabkan Adila lari dari kota dan datang ke rumah Same’ah dan bapa saudaranya Sidang Saman. Adilah mahu melarikan diri daripada Faizal. Dalam menghadapi keadaan itu, Adila tidak dapat pastikan sehingga bila dia akan tinggal di rumah Sidang Saman. Dia juga sanggup menorah getah semasa berada di rumah Sidang Saman.Faizal pernah datang ke rumah Sidang Saman untuk mencari dan memujuk Adila. Namun Adila telah menolak Faizal dalam hidupnya dia nekad untuk memutuskan hubungan mereka. Setelah berbuat demikian, hati Adila telah kosong menyebabkan sedikit demi sedikit telah tertarik dengan Bujei.

Jika diperhatikan kepada cara hidup Bujei, ia dapat menggambarkan persoalan cara hidup golongan yang lemah daya pemikirannya. Malah pada awal cerita, Bujei digambarkan sebagai seorang yang tidak normal. Dia menontong televisyen yang tidak ada gambarkan dan suara. Gambar dan suara itu hanyalah di dalam imaginasinya sahaja. Keadaan rumahnya juga tidak terjaga. Bujei digambarkan sebagai seorang yang lemah daya pemikirannya apabila dia membiarkan sahaja dirinya dibuli oleh Alias. Dia akan menurut arahan Alias supaya melumurkan lumpur pada muka dan badannya. Selain daripada itu, makan dan minumnya juga tidak menentu. Dia akan makan sekiranya ada orang yang memberikannya makan termasuklah Sidang Saman sekeluarga dan Mak Som. Jika tidak, dia akan memancing ikan di sungai dan memanggang ikan tersebut untuk dimakan.

Melalui watak Bujei juga pengarang telah mengungkapkan persoalan maruah diri yang perlu dipertahankan.  Maruah diri Bujei telah dicalar oleh dua watak iaitu  Harun yang merupakan bapa tirinya sendiri dan juga Alias. Bujei selalu didera oleh Harun. Lebih teruk lagi Harun ingin membolot tanah pusaka peninggalan ibu Bujei. Walaupun tanpa menunjukkan kesedaran yang nyata, Bujei telah mempertahankan maruah diri dan hartanya daripada dirampas oleh Harun. Bujei telah mengotorkan cap jarinya pada surat penurunan kuasa yang disediakan oleh Harun menyebabkan dia telah dipukul hingga pengsan. Semasa berhadapan dengan Alias, Bujei telah mendapat kesedaran daripada didikan Adila. Dia telah bangkit mempertahankan diri daripada terus dibuli oleh Alias semasa Alias datang ke rumahnya. Setelah Alias menghempaskan radianya, Bujei menumbuk dan menyerang alias dengan parang.

Melalui watak Alias pula, pembaca mendapat gambarkan tentang persoalan fitnah dan kesannya dalam masyarakat. Persoalan ini dapat dilihat pada tindakan Alias dalam hubungannya dengan Adila. Dia berminat kepada Adila sejak mula Adila datang ke kampung itu. Namun apabila Adila mula rapat dengan Bujei, Alias berasa cemburu. Sejak dari itu dia  cuba bersaing dengan Bujei dalam memenangi hati Adila. Alias telah memfitnah Bujei dengan memberitahu Adila bahawa Bujei mempunyai penyakit kulit yang berjangkit. Malah Bujei dikatakan sebagai ‘maniac’ yang menyebabkan Adila berasa takut kepada Bujei. Namun setelah usaha itu tidak berjaya dan Adila semakin rapat dengan Bujei, Alias telah menabur fitnah terhadap Adila pula. Dia menulis surat laying dan menyebarkan kepada orang kampung bahawa Adila sudah tidak suci lagi, malah seorang penghidap AIDS. Fitnah itu telah menggugat hati Bujei. Adila pula menangis dan pulang ke Kuala Lumpur.

Watak Sidang Saman dalam novel ini pula menggambarkan persoalan tanggungjawab pemimpin dalam menyelesaikan sesuatu konflik yang berlaku dengan adil dan saksama. Sebagai pemimpim masyarakat Sidang Saman bertanggungjawab untuk menyelesaikan konflik antara Alias dengan Bujei. Pada peringkat awal Sidang Saman tidak mengambil berat konflik tersebut kerana dia juga menganggap Bujei sebagai seorang yang tidak normal. Dia seakan tidak mempedulikan tindakan Alias membuli Bujei. Malah semasa konflik Alias dengan Bujei sampai ke kemuncak apabila Alias datang ke rumah Bujei untuk membuli, Sidang Saman masih mempercayai kata-kata Alias bahawa Bujei telah menyerangnya. Namun setelah mengetahui perkara yang sebenarnya, barulah Sidang Saman bertindak rasional an adil dengan meminta Alias membayar ganti rugi terhadap radio Bujei yang telah dihempaskan oleh Alias.







WATAK DAN PERWATAKAN


   

A)    BUJEI

Bujei atau nama sebenarnya Muhamad Hafiz merupakan watak utama dalam novel Sutera Dalam Lukisan. Dia merupakan anak tunggal kepada Fatimah dan suami pertama iaitu seorang anggota tentera. Bapanya telah terkorban dalam kemalangan jalan raya di Karak. Ibunya Fatimah pula telah terkorban dalam tragedi kebakaran rumah mereka ketika ibunya bersuamikan Harun.  Selepas itu Bujei tinggal dengan neneknya. Setelah neneknya pula meninggal dunia, Bujei hilang tempat bergantung dan tinggal seorang diri di rumah peninggalan neneknya. Dia sentiasa didera oleh Harun dan dibuli oleh Alias.

Dari segi perwatakan, sejak kecil lagi Bujei digambarkan sebagai seorang yang penyayang. Dia amat sayang akan ibunya apatah lagi dia sebagai anak tunggal dalam keluarga. Akibat daripada perasaan sayang yang mendalam kepada ibunya, perasaannya tertekan setelah ibunya meninggal dunia. Tambahan lagi ibunya meninggal dalam tragedi kebakaran rumah mereka yang disaksikan sendiri oleh Bujei. Dia sendiri cuba untuk menyelamatkan ibunya tetapi dihalang oleh orang ramai. Hal itu telah membuatkan perasaan Bujei semakin tertekan sehingga dia dilihat sebagai seorang yang kurang siuman.

Akibat daripada lemah daya pemikiran, tingkah lakunya juga seperti kebudak-budakan dan suka berkawan dengan kanak-kanak. Dia suka berkawan dengan Samsul, Husin, Kasim, Sani dan Sulaiman. Namun dia paling rapat dengan Samsul kerana Samsul bertindak sebagai penghubung antaranya dengan Adila. Bujei menunggu kawan-kawannya pada waktu pagi dan membawa beg mereka ke sekolah walaupun untuk mendapatkan sedikit habuan makanan daripada mereka. Malah mereka juga melayan Bujei seperti kanak-kanak. Samsul sedar keadaan diri Bujei setelah mendapat nasihat daripada Adila.

Bujei tinggal seorang diri setelah kematian ibu dan neneknya. Dalam menjelani kehidupan seharian, Bujei telah berdikari untuk mendapatkan makanan pengalas perut. Dia tidak meminta-minta makanan daripada orang lain. Kalau ada orang yang memberikannya makanan, dia akan ambil. Namun jika tidak, dia akan ke sungai dan memancing ikan. Ikan tersebut disalai di tebing sungai itu juga dan dimakannya. Dia juga makan buah-buahan yang sedia ada seperti pisang dan betik untuk mengalas perutnya. Dia juga melakukan sesuatu untuk mendapatkan upah seperti mengambil upah melakukan sebarang kerja di kebun getah kepada sesiapa yang memerlukan khidmatnya.

Apabila berhadapan dengan Adila, Bujei digambarkan sebagai seorang yang pemalu. Perasaan itu timbul kerana dia sendiri sedar akan keadaan dirinya berbanding dengan Adila. Atas kesedaran itulah dia amat malu untuk bertemu dengan Adila. Dia merasa amat berat untuk menerima pelawaan Adila untuk berjumpa. Dia merasa amat berat untuk mengikut Samsul ke rumah Sidang Saman, tempat Adila menunggu Bujei. Namun atas desakan Samsul, Bujei  gagahkan diri untuk menemui Adila. Dalam pertemuan pertama Bujei malu untuk berbual dengan Adila. Atas kesedaran tentang dirinya juga Bujei malu untuk meluahkan perasaannya kepada Adila.

Sebagai seorang yang lurus dan jujur, Bujei juga amat mudah mempercayai kata-kata orang lain. Bujei mempercayai janji Alias untuk memberikan upah setelah dia mencuci motosikal Alias walaupun Alias sentiasa membulinya. Dia juga percaya akan kata-kata Alias tentang Adila. Bujei mempercayai Alias setelah dia diberitahu oleh Alias bahawa Adila menghidap penyakit AIDS. Kata-kata itu membuatkan hatinya bimbang untuk mendekati Adila. Kesan daripada itu Bujei tidak datang ke rumah Sidang Saman untuk menemui Adila selama beberapa minggu. Samsul cuba menjelaskan kepada Bujei bahawa Adila tidak sakit. Namun Bujei tetap ragu-ragu.

Atas sifatnya yang jujur, Bujei amat berpegang pada janji terutamanya apabila ada sesiapa yang berjanji dengannya. Sifat ini digambarkan selepas dia mencuci motosikal Alias. Apabila selesai, Alias telah menghalau Bujei dari rumahnya. Namun Bujei tidak mahu beredar selagi Alias tidak memberikan upah mencuci motosikal sebanyak  satu ringgit. Malah dia berani bersuara meminta wang seringgit yang dijanjikan. Dia tetap tidak mahu beredar walaupun Alias mahu menamparnya. Bujei diselamatkan oleh Mak Som. Mak Som telah memberikan Bujei makan dan kemudian memberikan wang seringgit kepada Bujei.

Bujei juga digambarkan sebagai seorang yang berani mempertahankan maruah dan haknya. Semasa dipaksa oleh Harun supaya menurunkan cap jari pada surat penurunan kuasa terhadap tanah pusaka peninggalan ibunya, Bujei dengan sengaja mengotorkan cap jari tersebut menyebabkan dokumen itu tidak dapat digunakan lagi. Akibatnya dia dipukul oleh Harun hingga pengsan. Dia juga telah bengkit dan menentang Alias semasa Alias datang ke rumahnya untuk membuli dan merosakkan radionya. Dia telah menumbuk dan menyerang Alias dengan parang untuk meminta ganti rugi atas kerosakan radio tersebut.

Pada bahagian akhir novel ini, Bujei didapati telah mengubah sikap dan pemikirannya menjadikan dia seorang yang berusaha untuk mengubah keadaan dirinya. Dia telah mendapat kesedaran tentang potensi dirinya atas bimbingan daripada Adila. Sejak itu juga dia bergantung kepada Adila dan mengharapkan akan hidup bersama Adila pada suatu hari nanti. Namun setelah dia mengetahui Adila ada hubungan dengan Faizal dan Alias yang cuba meminang Adila, dia berasa hampa. Namun dia berfikir bahawa dia harus mengubah dirinya tanpa bergantung kepada Adila. Dia telah berusaha menerima kenyataan tentang keadaan itu.



B)     ADILA

Adila berasam dari Kuala Lumpur. Dia adalah anak kepada Pak Lang Dahlan. Anak saudara kepada Sidang Saman. Sepupu kepada Same’ah, Samsul dan Saniah. Dia berkelulusan salah sebuah universiti di England setelah lima tahun belajar di sana. Adila juga telah bertunang dengan Faizal. Dia kecewa dengan tindakan Faisal yang telah berkahwin semasa dia sedang berada di England. Akibat kekecewaan itu dia telah meninggalkan Kuala Lumpur da datang ke rumah Sidang Saman. Dia telah mengenali Bujei secara tidak langsung semasa  dia sedang berjalan dengan Same’ah.

Dari segi perwatakan, Adila digambarkan sebagai seorang yang prihatin terhadap orang yang lemah dan tidak bernasib baik. Setelah berada di kampung itu, Adila telah mengenali Bujei. Sebelum bertemu secara langsung dengan Bujei, sudah timbul perasaan kasihan dalam diri Adila terhadap Bujei. Dia telah menyiasat latar belakang Bujei melalui Same’ah. Daripada cerita-cerita tentang Bujei yang diceritakan oleh Same’ah, Adila merasakan bahawa Bujei perlu diberi perhatian yang sewajarnya agar Bujei dapat pulih dan hidup seperti manusia yang normal. Pandangan itu telah mendorong Adila untu membantu Bujei.

Dalam usahanya untuk membantu Bujei, Adila sangat jujur dan ikhlas dalam memberikan bantuan tersebut. Dia telah menyuarakan hasrat itu kepada Same’ah. Walaupun Same’ah ragu-ragu dengan tindakannya namun Adila tetap meneruskan hasratnya membantu Bujei tanpa mengharapkan apa-apa balasan sama ada daripada Bujei sendiri atau orang lain. Apa yang penting bagi Adila ialah agar Bujei dalam menjalani kehidupan yang normal sebagaimana orang lain. Adila meluangkan masanya sepanjang dia berada di rumah Sidang Saman untuk bertemu dan membimbing Bujei.

Adila juga digambarkan sebagai seorang yang tegas pendirian. Setelah membuat keputusan, dia tidak berganjak dengan keputusannya. Adila telah membuat keputusan untuk membantu Bujei. Dia tetap dengan keputusan itu walaupun hasrat itu diragui oleh Same’ah, Mak Lamah dan orang kampung. Dia juga tidak menerima permintaan Faizal agar mereka berbincang supaya hubungan mereka dapat dipulihkan. Namun Adila bertegas untuk memutuskan hubungan tersebut. Dia juga tegas dengan keputusannya untuk mengambil Bujei sebagai suaminya walaupun diragui oleh Sidang Saman dan Mak Lamah.

Selain daripada itu Adila juga bertanggungjawab dalam menyelesaikan tugasnya membimbing Bujei. Dia nekad untuk membimbing Bujei hingga Bujei pulih. Semasa dia berusaha membimbing Bujei, dia telah difitnah oleh Alias. Alias menghantar surat layang kepadanya mengatakan bahawa dia menghidap AIDS. Adila amat sedih dan telah pulang ke Kuala Lumpur. Namun tidak lama kemudian Adila datang semua ke rumah Sidang Saman semata-mata dengan rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan usahanya memulihkan Bujei.  Dia tidak sanggup membiarkan Bujei yang masih memerlukan bimbingannya.



C)    ALIAS

Alias adalah anak kepada Mak Som dan cucu kepada Opah Arah. Cucu saudara kepada Tuk Imam Ngah. Alias sangat dimanjakan oleh neneknya Opah Arah. Kawan kepada Sani dan Sahak. Dia tertarik dan memikat Adila dengan bermaca cara tetapi gagal. Dia akhirnya menjadi tidak siuman.

Dari segi perwatakan, semua sifat Alias digambarkan bersesuaian dengan peranannya sebagai watak antagonis dalam novel.  Alias merupakan seorang yang liar dan samseng. Dia dan kawan-kawan sering terlibat dengan aktiviti lumba motosikal haram sehingga akhirnya Sahak terlibat dengan kemalangan. Dia berlagak samseng di kampung itu dan juga di kampung seberang. Ketika dia pergi ke kampung seberang untuk memikat perempuan, pemuda di kampung tersebut dikatakan tidak berani untuk bersuara dan bertindak apa-apa.

Selain daripada itu Alias juga digambarkan sebagai seorang yang suka berbangga pada diri sendiri teruatanya apabila dipuji oleh kawan-kawannya. Dia berbangga dengan dirinya yang dirasakan hebat berbanding dengan kawan-kawannya yang lain. Dengan perasaan itulah dia berani untuk berdampingan dengan Adila. Malah dia telah memperlekehkan Adila dengan mengatakan Adila tidak lulus dalam pengajian di universiti dan membawa diri ke kampung.

Sesuai dengan perwatakannya sebagai seorang yang liar dan samseng, Alias juga seorang yang suka membuli. Mangsa buli yang utama ialah Bujei. Dia menmgambil kesempatan atas kelemahan daya pemikiran Bujei untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral itu. Dia selalu memerintahkan Bujei melumurkan selut pada muka dan badan. Jika enggan, Alias akan memukul Bujei. Dia juga menyuruh Bujei mencuci motosikal tanpa mahu diberi upah yang dijanjikan. Dia juga selalu mengugut supaya Bujei ditangkap polis menyebabkan Bujei sentiasa takut.

Dalam usaha untuk mendapatkan Adila, Alias digambarkan lebih suka  menabur fitnah. Semasa mula bertemu dengan Adila, Alias telah memfitnah Bujei dengan memberutahu Adila bahawa Bujei menghidap penyakit kulit yang berjangkit. Malah Bujei dikatakan sebagai ‘maniac’. Apabila Adila tidak melayannya dan semakin rapat dengan Bujei, Alias telah emfitnah Adila dengan membertahu Bujei bahawa Adila menghidat AIDS. Fitnah itu telah menyebabkan Bujei tidak berani untuk bertemu dengan Adila.

Sifat negatif lain yang ada pada diri Alias ialah mementingkan diri sendiri. Dia tidak mempedulikan Sahak yang terlantar di hospital dan memerlukan darah kerana cedera parah akibat terlibat dengan kemalangan ketika berlumba motosikal dengan Alias. Adila dengan rasa sedar telah menderma darah kepada Sahak. Alias juga menggunakan Bujei untuk mencuci motosikalnya yang kotor sedangkan dia asyik berbual dengan kawan-kawan. Setelah selesai, Alias menafikan hak Bujei untuk mendapat upah yang dijanjikannya.




PLOT


Perkembangan plot dalam sesebuah novel berpunca daripada konflik yang berlaku antara watak-watak dalam cerita. Semakin rumit sesuatu konflik menyebabkan plot semakin berkembang. Konflik yang berlaku dalam novel Sutera Dalam Lukisan juga telah menyebabkan plot cerita ini berkembang dengan baik mengikut peringkatnya yang jelas.

Pada peringkat permulaan plot novel ini, pengarang telah memperkenalkan watak utama iaitu Bujei. Pengarang menggambarkan Bujei dengan keadaan fizikal dan mentalnya di tebing sungai. Dia banyak menghabiskan masa di sungai tersebut sambil mengenangkan tragedi yang menimpa ibunya. Selain daripada itu, pengarang juga menceritakan kehidupan harian Bujei yang sentiasa dibuli oleh Alias. Pengarang menggambarkan juga tentang perkara yang dilakukan oleh Bujei di rumahnya pada waktu malam. Berdasarkan gambaran pengarang pada bahagian permulaan ini, pembaca sudah dapat merasakan bahawa Bujei menghadapi konflik dalam dirinya dengan watak lain iaitu Alias.

Plot bergerak ke peringkat perkembangan apabila watak Adila muncul dalam cerita tersebut. Adila telah menjadi kegilaan pemuda kampung termasuk Alias. Layanan baik Adila terhadap Bujei menyebabkan Alias rasa cemburu.  Dia cuba bersaing dengan Bujei untuk memenangi hati Adila. Dalam persaingan itulah Alias semakin menekan Bujei. Manakala Bujei telah berkonflik dengan Alias dan dengan dirinya sendiri. Walaupun dia tertarik dan ada hati kepada Adila, tetapi dia sedar akan keadaan dirinya. Dalam masa yang sama, dia amat berharap agar dia dapat bersama Adila. Dia juga rasa kecewa setelah mendapat tahu Alias menghantar rombongan merisik dan akan meminang Adila. Bujei juga berkonflik dengan bapa tirinya Harun. Harun yang gagal mendapatkan hak ke atas tanah pusaka peninggalan ibu Bujei menyebabkan Bujei telah dibelasah hingga pengsan. Bujei terlantar di rumahnya selama sehari semalam.

Peringkat kemuncak atau klimaks plot pada novel ini bermula apabila Bujei telah belajar dan yakin pada diri sendiri hasil daripada usaha dan dorongan daripada Adila. Bujei telah merubah diri dan cara berfikir. Dia dibimbing agar berani mempertahankan maruah dirinya. Berbekalkan perasaan dendam kepada Alias selama ini, Bujei telah bangkit menentang Alias yang datang ke rumahnya untuk membuli. Bujei telah manumbuk Alias setelah Aliasn menjatuhkan radio yang baru dibelinya di bandar. Dia telah mencapai parang yang terdapat di dapur rumahnya dan melibas ke arah Alias sehingga Alias terjatuh. Bujei meminta ganti rugi atas kerosakan radionya. Setelah Alias pergi, Bujei terkejut dengan kedatangan orang kampung termasuk Sidang Saman yang menuduhnya menumbuk dan ingin mencederakan Alias dengan parang. Namun setelah menjelaskan kedudukan sebenar kepada Sidang Saman, Alias dipaksa membayar ganti rugi tersebut. Selepas itu Alias telah menabur fitnah dan menghantar surat layang kepada Adila mengatakan Adila seorang gadis yang rosak akhlak dan menghidap AIDS. Fitnah itu membuatkan Adila terlalu sedih dan pulang ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu.

Selepas Bujei melawan, Alias tidak berani untuk membuli Bujei lagi. Di sinilah bermulanya peringkat anti klimaks untuk plot novel ini. Alias datang dan bercakap dengan Bujei dengan nada yang baik walaupun dia mempunyai niat yang tersirat. Manakala perasaan sangsi Bujei terhadap Adila yang disangkanya berpenyakit semakin terhapus. Hubungan Bujei dengan Adila kembali rapat. Alias pula telah menggunakan ilmu pengasih untuk mendapatkan Adila. Namun ilmu itu memakan dirinya menyebabkan dia menjadi tidak siuman. Akhirnya Adila menyatakan hasratnya kepada Mak Lamah dan Sidang Saman bahawa dia ingin menjadikan Bujei sebagai suaminya.




LATAR


A) LATAR TEMPAT

Secara umumnya sebagaian besar peristiwa dalam novel ini berlaku di sebuah perkampungan di negeri Perak. Jaraknya dua ratus kilometer dari Kuala Lumpur dan lima puluh kilometer dari Bandar Ipoh. Di kampung itu terdapat sebuah sekolah rendah dan banyak kebun getah. Peristiwa penting telah berlaku di beberapa tempat di kampung tersebut.

Gambaran latar tempat yang awal dalam novel ini ialah di sungai. Terdapat sebuah jambatan merentangi sungai tersebut. Manakala air sungai itu agak cetek. Di situ Bujei selalu berada untuk melayan perasaannya atau untuk menangkap ikan untuk dipanggang sebagai makanannya. Melalui pemerian pengarang, di sungai itulah Bujei selalu dibuli oleh Alias. Alias akan mengarahkan Bujei melumurkan muka dan badannya dengan lumpur sungai. Kemudian Alias akan ketawa. Jika Bujei enggan melakukannya, Alias akan memukul Bujei. Selain daripada itu, satu lagi peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam pada watak Bujei di sungai tersebut  ialah peristiwa dia dibelasah oleh Harun. Harun Berjaya menangkap Bujei di tebing sungai itu ketika Bujei terlena. Harun nenujuk Bujei agar menurunkan cap jari pada surat penurunan kuasa ke atas tanah peninggalan ibunya kepada Harun. Bujei sengaja merosakkan cap jari tersebut menyebabkan Harun marah. Harun mengejra dan membelasah Bujei sehingga pengsan.

Melalui imbas kembali tentang sejarah hidup Bujei, pembaca akan mendapati satu peristiwa penting yang berlaku dalam hidup Bujei di rumah ibunya Fatimah. Rumah itu juga terletak di kampung berkenaan.  Bapa tiri Bujei iaitu Harun telah memaksa ibunya menyerahkan wang dan barang kemas yang ada. Ibu Bujei enggap menyebabkan Harun menerajang ibu Bujei hingga pengsan. Perbuatan ibu membuatkan Bujei marah dan menerkam Harun. Namun Bujei dilibas oleh Harun. Harun menyepak pelita minyak tanah menyebabkan rumah mereka terbakar. Harun tidak cuba menyelamatkan ibu Bujei yang terlantar pengsan. Bujei diselamatkan oleh penduduk kampung. Dia cuba menyelamatkan ibunya tetapi dihalang oleh penduduk kampung. Bujei amat sedih apabila Harun telah memfitnah ibunya dengan memberitahu orang kampung bahawa ibunya bermain pelita minyak tanah. Peristiwa itulah yang selalu bermain dalam ingatan Bujei hingga meninggalkan kesan kepada fikiran dan perasaannya.

Latar tempat seterusnya ialah rumah Bujei yang merupakan rumah peninggalan neneknya. Di situ Bujei tinggal seorang diri setelah neneknya meninggal. Rumah Bujei digambarkan tidak terurus. Di dalam rumah itu tidak berkemas dan terdapat kelambu usang yang menjadi tempat Bujei tidur.  Manakala di keliling rumah itu terdapat semak-samun. Peristiwa penting yang berlaku di rumah itu ialah Bujei sakit dan terlantar selama tiga hari akibat dibelasah oleh Harun. Bujei pulang pada wakti tengah malan setelah tersedar daripada pengsan di sungai. Setelah pulang dan terlantar, Bujei tidak berdaya lagi untuk bangun seginggalam Sidang Saman datang mencari dan membawa Bujei pulang ke rumahnya. Peristiwa yang lebih penting daripada itu ialah peristiwa Bujei melawan Alias dan menyerang Alias dengan parang. Peristiwa itu berpunca daripada Alias yang datang untuk membuli Bujei. Alias telah mengambil radio Bujei dan menghempaskannya ke lantai. Bujei amat marah lalu menumbuh dada Alias. Kemudian dia mencapai parang lalu menyerang Alias sambil meminta ganti rugi terhadap radionya yang rosak. Dengan bantuan daripada Sidang Saman yang datang kemudian daripada itu, Bujei mendapat bayaran ganti rugi tersebut.

Peristiwa penting juga banyak berlaku di rumah Sidang Saman. Peristiwa yang berlaku di rumah inilah yang menjadi pusat konflik dalam novel. Di rumah Sidang Saman ini BUjei telah berkenalan dengan Adila setelah Adila tertarik dengan sejarah hidup dan penderitaan Bujei. Bermula daripada pertemuan pertama di bawah pokok belimbing, mereka sering berjumpa dalam sesi bimbingan oleh Adila. Di rumah itu juga Alias berkenalan dengan Adila setelah cemburu dengan layanan Adila kepada Bujei. Namun tidak dilayan oleh Adila dengan baik. Di rumah dikunjungi oleh tuning Adila iatu Faizal. Faizal datang untuk mertemu dan berbincang dengan Adila tentang masa depan mereka. Kemuncak kepada konflik Adila, sepucuk surat laying daripada Alias telah diterima oleh Adila di rumah Sidang Saman. Fitnah dalam surat layang itu m enyebabkan Adila terlalu sedih dan pulang ke Kuala Lumpur. Seterusnya, di rumah itulah juga Adila telah menyetakan hasratnya kepada Sidang Saman dan Mak Lamah bahawa dia telah memilih Bujei sebagai bakal suaminya.


B) LATAR MASA

Latar masa dalam novel ini dinyatakan secara jelas oleh pengarang. Antaranya ialah pada waktu Subuh. Gambaran waktu ini terdapat pada awal cerita ketika pengarang memperkenalkan watak Bujei. Pada waktu itu Bujei akan terjaga dari tidurnya. Dia segera mandi dan mengenakan pakaian.  Dia akan sembahyang berjemaah atau terus ke simpanmg berhampiran jambatan. Di situ dia menunggu kalau-kalau ada sesiapa di antara penoreh getah yang mempelawanya melakukan apa sahaja kerja di kebun getah. Dia akan mendapat upah daripada kerja yang dilakukan. Namun pada hari itu dia tertidur di pangkal pokok di situ.

Menjelang waktu pagi, dia telah dikejutkan oleh Hisham, Kasim dan Husin. Bujei membawa beg sekolah mereka ke sekolah dengan sedikit upah daripada bekal yang mereka bawa ke sekolah. Selepas itu pula Bujei berlegar-legar di depan kedai Pak Sulong. Dia menanti-nanti kalau-kalau ada orang yang akan mempelawanya makan kerana dia kelaparan. Namu dia hampa dan menangis. Dia melayan perasaan sambil duduk dan bersandar pada tiang hingga tertidur. Peristiwa penting yang berlaku pada waktu pagi ialah peristiwa Alias datang  ke rumah Bujei untuk membuli. Alias telah menjatuhkan radio Bujei menyebabkan radio itu rosak. Bujei amat marah lalu menumbuk dada dan menyerang Alias dengan sebilah parang sambil menuntut ganti rugi. Dengan bantuan Sidang Saman yang datang selepas itu, Bujei mendapat ganti rugi yang dituntut dariapda Alias.

Peristiwa pertemuan dan perkenalan antara Bujei dengan Adila secara rasmi telah berlaku pada waktu tengahari. Adila meminta Hisham mencari Bujei dan menyampaikan pesannya supaya datang ke rumah Sidang Saman. Bujei dengan perasaan malu telah datang menemui Adila.

Beberapa peristiwa lain telah berlaku pada waktu petang. Antaranya ialah peristiwa penting ialah peristiwa Bujei  dihalau oleh Alias dari rumah Sidang Saman. Alias datang untuk berkenalan dengan Adila. Alias juga telah memfitnah Bujei dengan memberitahu Adila bahawa Bujei mempunyai penyakit kulit yang berjangkit dan Bujei seorang ‘maniac’.  Pada petang itu juga Bujei ditangkap oleh Harun di tepi sungai semasa Bujei terlelap. Harun meminta Bujei menurunkan cap jari ke atas surat penurunan kuasa terhadap tanak peninggalan ibunya kepada Harun. Bujei merosakkan cap jari tersebut menyebabkan Harun terlalu marah. Harun telah mengejar Bujei dan membelasah Bujei hingga pengsan di tebing sungai. Pada waktu petang juga Faizal ke rumah Sidang Saman untuk menemui Adila. Faizal mahu berbincang tantang masalah mereka. Namun Adila enggan dan Faizal pulang dengan hampa.

Pengarang novel juga menggambarkan kehidupan seharian Bujei termasuklah pada waktu malam. Bujei makan pisang setelah membersihkan diri selepas pulang dari sungai. Kemudian dia menonton televisyen tanpa gambar dan suara. Semuanya hanyalah dalam imaginasinya sahaja. Pada waktu malam yang lain, Bujei pulang dalam keadaan lemah setelah terjaga daripada pengsang di tebing sungai akibat dibelasah oleh Harun. Akibat daripada kesakitan, Bujei terus terlantar di tempat tidurnya hingga pagi. Pada waktu malam berikutnya Sidang Saman telah mencari dan membawa Bujei ke rumahnya setelah Bujei tidak datang ke rumahnya seperti biasa. Keadaan Bujei  yang lemah memeranjatkan keluarga Sidang Saman. Bujei mandi di rumah Sidang Saman dan menukar pakaian. Pada malam itu juga Bujei tidur di bangsal berhampiran rumah Sidang Saman. Pada waktu malam juga Wak Senen datang ke rumah Bujei dan menjelaskan kepada Bujei tentang tanah peninggalan ibu Bujei yang dijual oleh Harun kepadanya. Wak Senen sanggup menyerahkan tanah itu kembali kepada Bujei.



C) LATAR MASYARAKAT           

Masyarakat yang digambarkan dalam novel ini ialah masyarakat Melayu yang hidup di luar bandar. Dari segi usia, masyarakat dalam novel ini terbahagi kepada tiga golongan utama.  Golongan yang pertama ialah golongan belia yang terdiri daripada Bujei sendiri, Alias, Adila, Faizal, Same’ah, Sahak, dan Sani. Mereka melakukan kegiatan sendiri mengikut tahap pemikiran masing-masing. Sebahagian besar daripada mereka mempunyai perasaan cinta dan kasih sayang.

Sidang Saman, Mak Lamah, Opah Arah, Mak Som dan Pak Lang Dahlan mewakili golongan tua di dalam novel ini. Mereka memainkan peranan untuk membimbing golongan muda dalam menyelesaikan masalah yang timbul dengan cara mereka sendiri. Sidang Saman dan Mak Lamah menasihati Bujei dan juga Adila dalam menyelesaikan konflik yang timbul daripada mereka berdua. Opah Arah pula mempertahankan Alias, cucu kesayangannga walaupun apa yang dilakukan oleh Alias salah.

Terdapat juga gambaran golongan kanak-kanak yang terdiri daripada Samsul, Husin dan Kasim. Mereka merupakan kawan kepada Bujei. Sesuai dengan usia, mereka semua masih bersekolah di sekolah rendah di kampung tersebut. Mereka membawa bekal nasi dan mee ke sekolah di samping minuman.

 Sebahagian daripada mereka merupakan masyarakat petani dan pekebun getah. Mereka termasuklah Sidang Saman sendiri. Mereka pergi ke kebun getah pada waktu Subuh. Ada di antara mereka mengupah Bujei untuk melakukan apa-apa kerja di kebun getah dengan upah yang tidak  ditetapkan oleh Bujei.

Watak utama iaitu Bujei menggambarkan masyarakat yang kurang daya pemikiran. Keadaan Bujei membuatkan masyarakat sekeliling menganggapnya sebagai tidak siuman menyebabkan masyarakat tidak begitu mengambil berat tentangnya. Mereka hanya bertanya khabar dan memberi Bujei makan termasuklah Sidang Saman sekeluarga dan Mak Som. Bujei membiarkan Alias membulinya. Dia juga menonton televisyen tanpa gambar dan suara membuatkan pembaca menggambarkan bahawa Bujei seorang yang tidak normal.

Pengarang juga menggambarkan masyarakat belia yang suka berfoya-foya dan samseng. Ia diwakili oleh watak Alias dengan dibantu oleh kawannya iaitu Sahak dan Sani. Alias suka membuli terutamanya Bujei. Dia akan mengarahkan Bujei melumurkan lumpur pada muka dan badan. Jika enggan, Bujei akan dipukul. Alias juga berlagak samseng di kampung hulu. Dia telah memikat perempuan dan pemuda di kampung itu tidak berani berdepan dengannya. Dia juga terlibat dengan aktiviti lumba haram.

Watak Adila pula menggambarkan masyarakat bandar yang terpelajar. Adila merupakan seorang graduan lulusan luar negara. Setelah menamatkan pengajian, dia pulang dan mendapati tunangnya Faizal telah berkahwin. Dia kecewa dan membawa diri ke kampung. Dengan ilmu yang ada padanya, dia yakin dapat memulihkan Bujei. Dengan kelulusan yang ada padanya juga dia telah menerima tawaran untuk bekerja sebagai pensyarah pada akhir cerita novel ini.

Terdapat juga beberapa orang watak yang menggambarkan masyarakat yang prihatin dan membantu Bujei menjalani kehidupan seharian. Mereka termasuklah Sidang Saman serta Mak Lamah yang sentiasa bertanya khabar dan memberi makan kepada Bujei. Mak Som juga membantu Bujei apabila Bujei dibuli oleh anaknya Alias. Dia memberikan satu ringgit dan sarapan kepada Bujei seperti yang dijanjikan oleh Alias selepas mencuci motosikal. Adila pula membantu Bujei memulihkan keyakinan diri sehinga Bujei dapat berdikari.

Gambaran masyarakat yang tidak bertanggungjawab pula dapat dilihat melalui watak Harun. Dari awal pertemuannya dengan Fatimah lagi penduduk kampung telah menasihati Fatimah agar tidak memilih Harun sebagai suami. Penduduk kampung telah tahu bahawa Harun tidak bertanggungjawab. Setelah berkahwin, semua wang simpanan Fatimah telah dikikis oleh Harun. Harun juga telah memfitnah Fatimah yang menyebabkan kebakaran rumah mereka untuk menyelamatkan diri daripada bertanggungjawab. Manakala tanah peninggalan Fatimah mahu dijualnya.

Watak sampingan yang lain iaitu Wak Senen. Dia merupakan gambaran masyarakat yang jujur dan baik hati. Dia sendiri telah mengakui dan menjelaskan kepada Bujei bahawa Harun telah menjual tanah peninggalan Fatimah kepadanya dengan harga yang tidak munasabah. Walau bagaimanapun Wak Senen berjanji akan menyerahkan kembali tanah itu pada bila-bila masa Bujei mahu. Dia juga selalu memberikan wang kepada Bujei. Wang itu terkumpul sehingga Bujei dapat membeli pakaian dan radio ketika keluar ke Bandar bersama Adila, Same’ah dan Samsul.




TEKNIK


A) TEKNIK PLOT

Dalam novel Sutera Dalam Lukisan, terdapat tiga teknik plot yang digunakan oleh pengarang menjadikan novel ini lebih menarik walaupun plotnya mengikut kronologi. Terdapat tiga teknik plot utama dalam novel ini. Teknik plot pertama yang dapat dikesan dalam novel ini adalah teknik imbas kembali. Teknik ini mula digunakan oleh pengarang seawal bab pertama apabila pengarang menceritakan peristiwa yang pernah dialami oleh Bujei. Bapanya meninggal akibat kemalangan jalan raya. Bujei dibawa oleh ibunya pulang ke kampung. Ibunya telah berkahwin dengan Harun. Ibu Bujei meninggal dalam kebakaran rumahnya disebabkan oleh Harun. Selain daripada itu,  teknik ini juga digunakan oleh pengarang untuk menceritakan kisah lucu yang berlaku kepada Bujei. Alias dan orang kampung takut kepada Bujei kerana dia dikatakan membawa sebutir bom tangan sedangkan ia sebenarnya sebiji putik nanas. Ia diceritakan melalui imbas kembali Same’ah yang yang menceritakan kisah itu kepada Adila.

Selain daripada teknik imbas kembali, pengarang juga menggunakan taknik suspens pada beberapa tempat dalam novel ini. Ia dapat  diperhatikan dalam peristiwa Bujei yang dipukul oleh Harun  hingga pengsan. Harun meninggalkan Bujei seorang diri. Pembaca berasa suspens terhadap apa yang akan berlaku kepada Bujei. Tambahan pula waktu ketika itu adalah waktu petang. Suspens pembaca terjawab apabila Bujei sedar setelah hari malam dan pulang ke rumah. Di rumahnya, Bujei telah terlantar hingga malam keesokan harinya. Tidak seorang pun yang tahu bahawa dia sedang sakit di rumah tersebut tanpa makan dan minum. Sekali lagi pembaca berasa suspens terhadap nasib Bujei seorang diri apatah lagi apabila Bujei membayangkan kedatangan maut kepadanya.

Teknik kejutan juga digunakan oleh pengarang dalam novel ini. Teknik ini digunakan oleh pengarang pada kemuncak plot dalam cerita ini. Peristiwa penentangan Bujei terhadap Alias memberikan kejutan kepada pembaca dan watak Alias sendiri. Pembaca dan watak Alias sendiri tidak menyangka bahawa Bujei akan menentang Alias secara mendadak seperti itu. Bujei telah menumbuk Alias apabila  Alias menjatuhkan radionya ke lantai. Bujei telah mencapai sebilah parang dan melibas ke arah Alias hingga Alias terjatuh. Selain daripada itu, Bujei juga dengan berani telah meminta ganti rugi atas kerosakan radionya. Bujei juga mengancam untuk membakar motosikal Alias sekiranya Alias tidak membawa wang ganti rugi yang dituntutnya. Sidang Saman juga tidak menyangka peristiwa itu akan berlaku.

B) TEKNIK PENCERITAAN

Sebagaimana novel konvensional yang lain, novel ini juga menggunakan taknik penceritaan yang yang utama iaitu teknik pemerian. Perlukisan latar, peristiwa termasuklah watak dan perwatakan telah dijelaskan oleh pengarang secara langsung. Contohnya sejak awal cerita pengarang telah menggambarkan latar tempat iaitu sungai yang menjadi tempat Bujei melayan perasaan. Pengarang seterusnya menggambarkan perwatakan dan tindak-tanduk  Bujei. Pembaca mendapat gambaran yang jelas tentang pemikiran Bujei daripada aksinya di sungai apabila ditegur oleh Sidang Saman. Demikian juga apabila Bujei pulang ke rumah. Dia menonton televisyen tanpa gambar dan suara. Contoh lain ialah gambarakn pengarang tentang peristiwa iaitu peristiwa pergelutan antara Bujei dan Alias di rumah Bujei. Pengarang menggambarkan Bujei menumbuk dada dan menyerang Alias dengan parang.

Selain darapada teknik pemerian, teknik dialog juga digunakan oleh penulis dengan meluas dalam karya mereka. Dalam novel ini  pengarang telah menggunakan teknik ini dengan meluas untuk menggambarkan perasaan dan perwatakan seseorang. Contohnya melalui dialog antara Bujei dengan Samsul, pembaca mendapat gambaran tentang perwatakan Bujei yang sebenar apabila Bujei meluahkan perasaan kepada Samsul dengan mengatakan bahawa dia tidak bodoh. Bujei seterusnya mengatakan bahawa dia juga mempunyai perasaan seperti orang lain. Pengarang juga menggunakan dialog Same’ah untuk imbas kembali kenangan lucu yang berlaku antara Bujei dengan Alias dan kawan-kawan. Same’ah menceritakan kepada Adila bahawa Alias dan kawan-kawannya ditakutkan oleh Bujei yang disangka membawa bom yang sebenarnya putik nanas.

Dalam novel ini juga pengarang menggunakan sedikit teknik monolog. Watak bercakap dengan dirinya sendiri yang biasanya mengeluarkan suara yang perlahan. Contohnya pada halaman 24. Semasa Bujei hendak keluar bekerja pada awal pagi itu, dia mandi dan bersiap dengan sepatutnya. Dia memberitahu dirinya bahawa dia harus bergaya kerana dia hendak pergi kerja.  Pada halaman 141 pula, ketika Bujei seorang diri dan kesakitan akibat dibelasah oleh Harun, dia telah menyebut nama Tuhan dan memohon pertolongan daripada Allah.




PENGAJARAN


Terdapat banyak pengajaran yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian pembaca.  Antara pengajaran yang awal yang dapat dikesan dalam novel ialah seseorang perempuan hendaklah berhati-hati dalam memilih pasangan hidup. Pasangan yang ikhlas dan penyayang akan membuatkan rumahtangga bahagia. Sebaliknya pasangan yang tidak jujur dan suka mengambil kesempatan akan membuatkan seseorang isteri menderita. Ibu Bujei iaitu Fatimah tersilap memilih Harun sebagai suami menyebabkan dia menderita dan kehilangan wang akibat dikikis oleh Harun. Malah dia meniinggal semasa kebakaran akibat daripada sikap Harun yang tidak ada perasaan kasih dan sayang.

Seorang suami janganlah mendera isteri dan anak-anak kerana mereka adalah amanah yang perlu dilindungi. Harun tidak sepatutnya mendera Fatimah dan Bujei kerana keselamatan dan kehidupan harian mereka adalah tanggungjawab suami. Akibat daripada penderaan menyebabkan kebahagiaan rumahtangga tidak dapat dinikmati. Ia juga akan membawa kesan mental dan emosi kepada anak iaitu Bujei. Kesan daripada tindakan Harun hingga menyebabkankan ibunya maninggal dunia telah menimbulkan perasaan benci Bujei terhadap Harun selain daripada fikiran dan perasaannya tertanggu.

Kita haruslah berani mempertahankan hak daripada dirampas oleh orang lain. Contoh yang jelas dalam novel ini ialah Bujei yang berani pepertahankan tanah peninggalan ibunya daripada dirampas oleh bapa tirinya Harun. Walaupun  dia tahu risiko yang terpaksa dihadapi apabila dia mengkhianati Harun, tetapi dengan kesedaran tentang haknya ke atas tanah itu, dia jadi berani untuk merosakkan cap jari pada surat yang disediakan oleh Harun. Akibatnya Harun terlalu marah dan mengejar serta membelasan Bujei hingga pengsan di tebing sungai itu.

Seseorang pemimpin masyarakat perlulah melaksanakan tugas dengan baik dan adil. Ciri-ciri pemimpin ini dalam diperhatikan melalui watak Sidang Saman. Dia seorang yang bertanggungjawab terhadap penduduk kampung. Dia menjaga hak Bujei daripada diambil oleh Harun semasa Harun menemuinya dan meminta Sidang Saman memujuk Bujei agar menyerahkan tanah tersebut. Dalam konflik Bujei dengan Alias, Sidang Saman bertindak adil dengan mengarahkan Alias mendapatkan wang ganti rugi atas kerosakan radio Bujei setelah  mengetahui perkara sebenar.

Kita juga hendaklah menjaga maruah dan harga diri. Pengajaran ini digambarkan oleh watak Bujei. Walaupun dia seorang yang miskin dan hidup sebatang kara, namun dia tidak meminta-minta daripada orang lain. Dia tetap mempertahankan harga dirinya dengan kesedaran dia sendiri. Dia mengharapkan ada orang yang memberikannya makan, tetapi jika tiada dia tidak akan meminta-minta seperti yang berlaku di kedai Pak Sulong. Malah dia berusaha mendapatkan upah daripada sesiapa yang memerlukan khidmatnya di kebun getah.

Kita hendaklah ikhlas dan jujur dalam memberikan pertolongan kepada seseorang yang memerlukannya. Sejak dari awal lagi Adila berasa kasihan dan simpati kepada Bujei. Selepas mengetahui sejarah hidup Bujei, dia berhasrat untuk menolong Bujei memulihkan kepercayaan dan keyakinan pada diri. Dalam hal ini Adila tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Dia mahu menolong Bujei atas rasa keperimanusiaan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Walaupun Same’ah dan  Mak Lamah tidak begitu setuju, Adila tetap meneruskan usahanya.

Dalam mengharungi hidup ini, kita hendaklah tabah menghadapi apa sahaja cabaran dan dugaan. Walaupun Bujei agak tertekan dengan kematian ibunya tetapi dia tetap tabah meneruskan hidupnya. Malah kematian neneknya tidak memberikan kesan lagi kepadanya. Dia tinggal seorang diri di rumah peninggalan neneknya serta mendapatkan makan dan minum sendirian dengan cara menolong penoreh getah dan mendapatkan upah. Demikian juga Adila yang tetap kembali ke kampung itu walaupun sebelumnya dia pernah menangis akibat daripada fitnah Alias.

Kita jangan mungkir apabila berjanji. Pengajaran ini ditunjukkan oleh Bujei yang menuntut upah daripada Aliassetelah selesai mencuci motosikal. Bujei dijanjikan satu ringgit oleh Alias untuk mencuci motosikalnya yang kotor. Bujei tetap menuntut upah itu walaupun dia dihalau oleh Alias. Malah dia hamper ditampar oleh Alias. Adila pula telah berjanji pada dirinya bahawa dia akan menyelesaikan usahanya mendidik dan memulihkan kepercayaan diri Bujei. Dia hanya balik ke Kuala Lumpur beberapa minggu sahaja setelah difitnah oleh Alias. Kemudian dia datang kembali meneruskan usahanya.

Kita janganlah mengambil hak orang lain kerana perbuatan itu tidak bermoral dan menyalahi hokum agama. Sikap ini ditunjukkan oleh Wak Senen yang sedar tentang tanah yang dibeli daripada Harun adalah hak Bujei. Dengan kesedaran itu dia telah pergi ke rumah Bujei dan menjelaskan kedudukan yang sebenar. Dia telah berjanji kepada Bujei bahawa dia akan menyerahkan kembali tanah itu kepada Bujei pada bila-bila masa sahaja Bujei mahu. Dalam pada itu dia sentiasa memberikan wang kepada Bujei hingga Bujei dapat membeli pakaian dan radio.

Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain apabila mereka meminta maaf. Perbuatan ini dituntut oleh agama. Ia digambarkan melalui watak Bujei yang memaafkan Alias setalah Alias meminta maaf daripadanya. Walaupun Alias tidak jujur dalam perbuatannya memohon maaf, tetapi Bujei tidak pernah berfikiran dan berprasangka buruk. Dia menerima sahaja permohonan maaf daripada Alias walaupun selepas itu Alias mengambil kesempatan untuk menabur fitnah tentang Adila. Adila juga memaafkan Alias setelah Alias menjadi tidak siuman.

Seseorang remaja janganlah terlibat dengan kegiatan lumba haram kerana perbuatan itu tidak berfaedah. Selain daripada itu kegiatan tersebut juga boleh mengancam keselamatan diri dan nyawa. Akibat berlumba dengan Alias, Sahak telah terlibat dalam  satu kemalangan dan cedera parah. Dia kehilangan banyak darah namun tidak dipedulikan oleh Alias. Malah Adila yang sanggup mendermakan darahnya untuk menyelamatkan Sahak.

Selain daripada itu, kita juga janganlah mudah percaya kepada kata-kata orang atau khabar angin yang diterima. Perbuatan ini akan membawa kepada salah faham dan menambahkan lagi konflik. Dalam hal ini Bujei telah mempercayai kata-kata Alias bahawa Adila seorang penghidap AIDS. Akibat daripada itu Bujei tidak menemui Adila lagi sedangkan hatinya rasa tidak tenteram. Secara tidak langsung hubunganya dengan Adila menjadi renggang.

Kita janganlah menyangka orang yang bodoh itu lemah. Peristiwa yang memberikan pengajaran ini kepada pembaca ialah peristiwa Bujei menumbuk dan menyerang Alias dengan parang. Merasakan Bujei masih takut kepadanya, Alias datang ke rumah Bujei untuk membuli. Namun sangkaan Alias mereset apabila Bujei marah setelah Alias menjatuhkan radionya. Bujei menumbuk dan menyerang Alias dengan parang sambil meminta ganti rugi atas kerosakan radio tersebut. Sejak hari itu Alias tidak berani lagi membuli Bujei.

Kita jangan menggunakan cara yang tidak bermoral untuk mencapai apa sahaja tujuan hidup. Dalam usaha untuk bersaing dengan Bujei, Alias menggunakan cara yang tidak bermoral untuk mendapatkan Adila. Sejak dari awal lagi Alias telah menabur fitnah kepada Adila dengan mengatakan Bujei menghidap penyakit kulit dan ‘maniac’. Setelah gagal, Alias telah menabur fitnah terhadap Adila pula. Alias memberitahu Bujei bahawa Alias menghidap AIDS. Namun usaha itu juga gagal.  Usaha seterusnya ialah dengan menggunakan ilmu pengasih sehingga dia sendiri menjadi tidak siuman.




NILAI

Terdapat banyak nilai yang dapat dipetik oleh pembaca dalam novel ini. Antaranya ialah nilai kasih sayang iaitu kasih sayang kepada ibu bapa dan juga kasih sayang kepada insan lain. Bujei sangat menyayangi ibunya Fatimah sehinggakan dia mengalami tekanan perasaan setelah ibunya meninggal dalam tragedi kebakaran rumah mereka. Perasaan kasih sayang juga timbul dalam diri Adila terhadap Bujei setelah Bujei pulih dan dapat berdikari. Ekoran daripada itu Adila berhasrat untuk memilih Bujei sebagai suaminya.

Pada diri sebahagian daripada watak sampingan dalam novel ini terdapat nilai prihatin terhadap golongan yang lemah atau tidak bernasib baik. Sidang Saman sebagai pemimpin,  Mak Lamah dan juga Samsul prihatin terhadap Bujei. Mereka selalu bertanya Bujei sama ada sudah makan atau belum. Sidang Saman mencari dan membawa Bujei ke rumah mereka ketika Bujei sakit akibat dibelasah oleh Harun. Adila juga prihatin terhadap Bujei sehingga dia sanggup menolong Bujei memulihkan kepercayaan pada diri dan berdikari.

Pada diri watak Adila juga terdapat nilai kejujuran dan keikhlasan dalam membantu dan menolong orang lain. Dia membantu Bujei untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan kepada diri dengan niat yang ikhlas. Atas keikhlasan dan kejujuran itulah membuatkan Adila mendidik Bujei tanpa rasa jemu walaupun Bujei diajar bermula dari tahap yang rendah seperti belajar mengenal huruf dan mengeja. Adila juga dengan rasa jujur dan ikhlas meluahkan perasaan untuk menjadikan Bujei sebagai bakal suaminya.

Selain daripada Adila, terdapat beberapa watak lain yang menunjukkan nilai baik hati dalam novel ini. Mak Som iaitu ibu Alias baik hati terhadap Bujei. Dia tidak menyebelahi Alias dalam konflik dengan Bujei. Sebaliknya dia menolong Bujei dengan memberikan Bujei makan dan wang satu ringgit apabila Alias enggan memberikan wang tersebut sebagaimana yang dijanjikan. Demikian juga dengan Sidang Saman dan Mak Lamah yang selalu bertanya khabar dan memberikan Bujei makan di rumahnya.

Nilai kecekalan pula dapat diperhatikan pada watak utama iaitu Bujei. Nilai ini jelas digambarkan setelah ibu dan neneknya meninggal. Dia tinggal seorang diri di rumah peninggalan neneknya. Dia tidak meratapi nasibnya yang terpaksa bersusah payah seorang diri. Cuma jauh di sudut hati dia rasa kecewa dengan layanan orang ramai terhadapnya yang menganggap dia bodoh dan tidak siuman. Bujei tidak pernah meminta-minta malah dia berusaha sendiri dengan cara mengambil upah di kebun getah.

Dalam diri Bujei juga terdapat nilai berani dalam mempertahankan maruah diri dan haknya. Peristiwa yang jelas menggambarkan nilai ini ialah peristiwa yang berlaku di rumahnya apabila Alias datang untuk membuli. Alias telah menjatuhkan radio Bujei ke lantai menyebabkan radio itu rosak. Bujei marah lalu menumbuk dan menyerang Alias dengan parang. Malah Bujei memaksa Alias membayar ganti rugi atas kerosakan radio tersebut. Sejak peristiwa itu Alias sudah tidak berani untuk membuli Bujei.

Selain daripada itu nilai keyakinan pada kebolehan dan pontensi diri  juga terdapat pada watak Bujei terutamanya pada bahagian akhir cerita. Setelah dia mendapat bimbingan daripada Adila, dia menjadi semakin matang dan semakin yakin pada dirinya. Apabila hubungannya dengan Adila renggang akibat daripada fitnah Alias, Bujei merasakan bahawa dia tidak boleh berterusan mengharapkan orang lain sebaliknya harus berusaha sendiri untuk memajukan dirinya.

Pembaca juga mendapat gambaran nilai rasional dalam membuat sebarang keputusan. Nilai ini terdapat pada watak Sidang Saman. Semasa Harun datang ke rumahnya untuk meminta dia memujuk Bujei supaya menyerahkan tanah pusaka peninggalan isterinya, Sidang Saman telah menolak permintaan tersebut. Semasa konflik Alias dengan Bujei, Sidang Saman bertindak rasional setelah mengetahui hal yang sebenar. Sidang Saman telah mengarahkan Alias membayar gantu rugi atas kerosakan radio Bujei