NILAI DAN PENGAJARAN

Nilai dan Pengajaran : Adakah ia satu unsur yang sama atau berlainan. Masalah ini bukanlah masalah yang besar kerana guru sendiri pun (saya rasa) sudah arif dan tidak terkeliru dengan unsur tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa orang pelajar saya yang berfahaman bahawa nilai dan pengajaran adalah satu unsur yang sama apabila diperhatikan melalui jawapan ujian atau peperiksaan mereka. Kenapa hal ini masih berlaku sedangkan ia merupakan aspek yang mudah..?


Nilai mengikut tafsiran Kamus Dewan merupakan 'sikap ketinggian' seseorang atau sesebuah masyarakat dari segi pemikiran dan tindakan. Antara contoh sikap ketinggian ini adalah nilai simpati, nilai pengorbanan, nilai ketaatan, nilai baik hati, nilai kerjesama, nilai keimanan, nilai merendah diri dan sebagainya.

Manakala pengajaran pula adalah 'peringatan atau pedoman' daripada peristiwa dan tindakan seseorang. Oleh kerana ia merupakan satu peringatan, maka ia mestilah mempunyai perkataan yang bersifat 'peringatan', contohnya - jangan, usah dan lain-lain untuk 'peringatan' yang berbentuk larangan, manakala - mesti, perlu, patut dan lain-lain untuk 'peringatan' yang berbentuk suruhan.

Ada pelajar yang masih keliru dengan kedua unsur ini adalah kerana mereka begitu terikat dengan pembacaan buku ulasan yang terdapat di pasaran. Daripada pemerhatian saya, terdapat buku ulasan Komsas yang menggabungkan nilai dan pengajaran ini dalam buku tersebut sebagai subtopik. Maka pelajar beranggapan bahawa, apabila soalan tentang nilai, itulah jawapan dan dara menjawabnya. Apabila soalan tentang pengajaran, itulan jawapan dan dara menjawabnya.

Ingat, nilai dan pengajran adalah dua unsur yang berbeza. Pelajar perlu penjelasan daripada guru sekirany masih keliru.

KENAPA MUDAH LUPA CERITA...

Bulan April sudah masuk ke pertengahan. Sudah berapa buah cerpen yang anda bincang atau kaji dalam kelas? Mungkin dua atau tiga cerpen. Namun sesuatu yang tidak memuaskan hati saya semasa saya berbincang dengan pelajar saya. Apabila saya merujuk kepada cerpen yang telah dibincangkan pada bulan-bulan lepas (apatah lagi cerita dalam antologi Harga Remaja bagi pelajar tingkatan lima), mereka tidak mengingati jalan cerita dengan baik. Kenapa keadaan ini berlaku..? Apa akan terjadi apabila masa peperiksaan sudah hampir tiba..?

Saya dapati ada dua sebab utama pelajar tidak ingat jalan cerita cerpen-cerpen yang lepas dengan baik.

Pertama : Ada kalangan pelajar tidak membaca teks asal, sebenarnya. Apabila saya mengarahkan pelajar agar membaca cerpen di rumah sebagai persediaan perbincangan pada sesi pengajaran yang akan datang, terdapat pelajar yang membaca sinopsis dalam buku ulasan sahaja. Saya dapat kesan tabiat ini semasa perbincangan. Mereka tidak dapat memberikan gambaran sesuatu peristiwa dengan tepat dan mendalam. Apabila saya tanya dengan ikhlas, memang mereka mengaku hanya membaca ringkasan cerpen dalam buku ulasan tersebut. Anda juga termasuk dalam golongan ini..?

Kedua : Ramai pelajar membaca tanpa penghayatan. Penghayatan bermaksud kita membaca sesebuah cerpen dengan perasaan. Kita merasai suasana dan perasaan watak dalam cerita sama ada sedih, gembira, marah dan sebagainya. Pelajar tidak akan menghayati cerita kerana mereka membaca dengan nada bersahaja sama ada semasa membaca senyap atau pembacaan kuat. Saya telah mengarahkan pelajar membaca senyap dalam kelas dan saya juga turut membaca, juga senyap. Sebahagian besar pelajar lebih dahulu menghabiskan bacaannya berbanding saya. Saya tahu mereka membaca laju tanpa penghayatan. Anda juga membaca begini..?

Cara Baca Cerita yang Baik:
Pasa sesi pengajaran dan pembelajaran yang lain, saya mengarahkan seorang pelajar membaca kuat dan pelajar yang lain mendengar dan mengikuti pembacaan tersebut dalam buku masing-masing. Sebahagian pelajar tidak menumpukan perhatian dan berbual-bual/berbisik-bisik. Kenapa..?

Saya telah menyambung bacaan kuat dan menghabiskan sebahagian akhir cerpoen tersebut. Saya baca dengan perlahan mengikut intinasi yang betul dan sesuai dengan suasana dan perasaan watak. Saya dapati semua pelajar diam dan meneliti. Tegasnya, pembacaan hendaklah secara menghayati suasana dan perasaan watak dalam cerita. Sesuau peristiwa yang dilalui oleh watak akan mudah melekat dalam minda dan jiwa kita. Saya sering tanya pelajar, yang mana lebih menyentuh hati kita, orang bercerita tentang kebakaran atau mangsa kebakaran itu sendiri yang bercerita?

Kedua, pembacaan hendaklah disertai dengan imaginasi. Gambarkan setiap rentetan peristiwa yang kita baca beserta dengan imaginasi tentang tindakan dan perasaan watak. Yang mana lebih kita ingat, orang bercerita tentang kebakaran atau kita lihat sendiri kebakaran tersebut?

Selamat mencuba...

MENGESAN PERWATAKAN WATAK

Bagaimana cara anda belajar KOMSAS. Atau bagaimana cara anda mengkaji sesebuah teks prosa, sama ada cerpen atau novel? Tidak dapat disangkal lagi bahawa pelajar berbincang dalam kelas bersama guru tentang perwatakan. Kemudian pelajar akal mengingat beberapa perwatakan watak yang dibincangkan. Jika dalam satu cerpen pelajar perlu mengingat sekurang-kurangnya dua watak, maka kalau enam cerpen dalam satu antologi, bermakna pelajar perlu mengingat dua belas watak. Pelajar akan terasa sukar dan itulah salah satu sebab kenapa pelajar kurang minat belajar KOMSAS. Kenapa anda tidak belajar dengan cara smart..?


Cara yang betul belajar KOMSAS ialah dengan cara memahami dan mengaplikasikan konsep sesuatu unsur sastera seperti yang saya jelaskan dalam post yang lepas. Pada post kali ini saya akan terangkan dengan lebih mendalam dan jelas. Untuk post kali ini saya akan menyentuh tentang perwatakan watak. Bagaimana pelajar dapan mengesan watak dalam cerita dan menjawab soalan peperiksaan tanpa mengingat dan menghafal nota yang diberikan oleh guru.

Pertama : Pelajar perlu tahu maksud perwatakan. Perwatakan juga disebut sebagai penokohan merupakan sifat peribadi seseorang watak dalam cerita sama ada sifat luaran atau dalaman. Sifat luaran termasuklah perlukisan tentang bentuk badan, perlakuan atau tindakan dan juga pertuturan.Manakala sifat dalaman termasuklah pemikiran dan perasaan watak.

Kedua : Pelajar perlu tahu bagaimana seseorang pengarang melukiskan perwatakan dalam cerita mereka. Perwatakan dalam cerita dapat dikesan oleh pembaca melalui ;

a. pemerian penulis secara langsung,

b. pemikiran dan tindakan watak itu sendiri,

c. dialog watak itu sendiri dan

d. dialog watak lain tertentang watak berkenaan.

Ketiga : Baca cerpen atau novel serta ingat jalan cerita dan ikuti perkembangan dua watak utama sahaja. JIka anda baca dengan teliti dan ingat jalan ceritanya, anda akan dapat mengesan perwatakan watak tersebut melalui empat kaedah di atas.

Nah, tidak perlu menghafal apa yang dicatat dan dibincangkan dalam kelas. Itu akan membuatkan anda rasa bosan dan tertekan. Aplikasi cara ini. Jika terdapat sebarang pertanyaan, sila email saya.

SASTERA DI SEKOLAH RENDAH..?

Pada minggu lepas, terdapat cadangan daripada 'orang-orang sastera' supaya mata pelajaran sastera diperkenalkan di sekolah rendah. Mungkin kerana cadangan mereka agar mata pelajaran sastera menjadi mata pelajaran wajib di sekolah menengah telah ditolak mentah-mentah oleh Kementerian Pelajaran. Apa rasional untuk memperkenalkan mata pelajaran tersebut di peringkat sekolah rendah?

Matlamatnya hendaklah jelas yang mengambil kira kepentingan pelajar sekolah rendah. Jika setakat untuk memperkenalkan mata pelajaran sastera agar pelajar sekolah rendah mengenali sastera lebih awal, pelaksanaan itu akan membebankan pelajar yang sudah sedia menggalas beg sekolah yang besar dan berat. Lagi pula minta pelajar sekolah rendah yang agak terbatas memungkinkan unsur-unsur sastera tidak difahami oleh mereka.

Jika kita melihat perkembangan sahsiah pelajar sekolah rendah sekarang yang sudah jauh ke hadapan berbanding dengan apa yang kita fikirkan, mata pelajaran sastera boleh diperkenalkan kepada mereka. Ini kerana ramai pelajar sekolah rendah sekarang terlibat dengan kegiatan dan perlakuan yang tidak sihat. Mereka tertinggal daripada pendidikan moral dan agama. Dengan memperkenalkan mata pelajaran ini, pelajar boleh diterapkan dengan nilai dan pengajaran daripada cerita-cerita yang disajikan melalui mata pelajaran ini.

Cuma cerita perlulah dipilih agar bersesuaian dengan tahap mereka seperti cerita binatang, cerita jenaka dan cerita kanak-kanak. Unsur sastera perlulah diketepikan agar mereka tidak rasa terbeban dan mereka dapat belajar dalam suasana yang ceria dan terhibur.

SASTERA MATA PELAJARAN WAJIB?

Baru-baru ini ada cadangan daripada 'orang-orang sastera' agar mata pelajaran sastera dijadikan salah satu daripada mata pelajaran wajib di sekolah semengah. Kita yakin bahawa cadangan itu adalah satu cadangan yang murni untuk memperkasakan sastera dan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di negara kita. Selain daripada itu, kita perlu faham bahawa sastera bukan sekadar cerita. Malah sastera adalah pemikiran, pengajaran dan nilai.

Agak tepat sekiranya cadangan itu mendapat sambutan yang baik daripada Kementerian Pelajaran ketika bidaya dan akhlak pelajar masa kini semakin membimbangkan dengan pelbagai karenah dan salah laku. Masalah utamanya adalah pelajar kita kekurangan penghayatan nilai dalam kehidupan mereka sama ada di rumah atau di sekolah. Di rumah, ibu bapa lebih pentingkan kerjaya mereka dan pembentukan kerjaya anak-anak dengan memaksa anak-anak belajar untuk lulus peperiksaan tanpa penerapan nilai. Demikian juga di sekolah, pengetua lebih mementingkan peratus kelulusan daripada penerapan nilai dalam diri pelajar.

Namun cadangah itu diabaikan oleh kementerian Pelajaran. Sekali pandang, memang betul. Ini kerana pelajar sudah mempelajari KOMSAS di sekolah. Pelajar tidak perlu lagi dibebankan dengan satu lagi pelajaran sastera. Walau bagaimanapun, sekiranya mata pelajaran sastera menjadi mata pelajaran wajib, tentunya KOMSAS akan dimansuhkan. Tidak akan timbul pertindihan pelajaran dalam soal ini.

KOMSAS yang diajar secara tempelan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak memberikan kesan yang mendalam dalam diri pelajar. Peratusan nilai dan pengajaran yang diajar dalam masa yang terhad itu jauh daripada mencukupi ditambah dengan sikap pelajar yang tidak berminat dengan pelajaran tersebut selain daripada belajar untuk menjawab peperiksaan.

Sudah tiba masanya kita mengutamakan penerapan nilai dalam diri pelajar selari dengan usaha kita memartabatkan Bahasa Melayu. Jika mata pelajaran lain yang tidak begitu berkaitan dengan pelajar dan nilai boleh dimasukkan, kenapa sastera yang lebih penting dan lebih bermanfaat tidak...??