PUISI TRADISIONAL
1) Baca puisi di bawah dengan teliti,kemudian jawab
soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Gurindam
12 fasal yang Keenam
Cahari olehmu akan
sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap
seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan
diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang
setiakawan.
Abu Hassan Sham
(Penyelenggara)
Puisi-puisi Raja Ali Haji,
1993
Dewan Bahasa dan Pustaka
i.
Jelaskan maksud rangkap pertama puisi di
atas. ( 2m )
ii.
Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri
seorang kawan yang setia? ( 3m )
iii.
Huraikan nilai kesetiaan yang terdapat
dalam puisi di atas. ( 4m )
Cadangan jawapan
i.
Maksud rangkap pertama puisi di atas adalah
kita perlu mencari sahabat yang boleh
membimbing kita kea rah kebaikan.
ii.
Pada pendapat saya, ciri-ciri seorang kawan yang setia
adalah kawan yang selalu bersama kita dalam setiap keadaan. Selain daripada
itu, kawan yang setia juga tidak mungkir apabila berjanji. Mereka juga tidak
berbohong serta sentiasa menjaga maruah dan nama baik kita.
iii.
Terdapat dua aspek nilai kesetiaan dalam
puisi. Kesetiaan yang pertama adalah kesetiaan dalam bersahabat yang
membolehkan kita mendapat manfaat daripadanya. Manakala kesetiaan yang kedua
adalah kesetiaan isteri kepada suami sehingga isteri dapat menyerah diri dan
taat kepada suami.
2) Baca puisi di bawah dengan teliti,kemudian jawab
soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Seloka
Emak Si Randang
Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah
diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak
berhutang,
Beras habis padi tak jadi.
Md. Ali Bachik
(Penyelenggara)
Khazanah Puisi Klasik
Melayu, 2003
ILADAM
i.
Apakah kesan daripada kebaikan yang
dilakukan oleh Emak Si Randang? ( 2m )
ii.
Pada pendapat anda, kenapakah Emak Si
Randang berhutang? ( 3m )
iii.
Jelaskan dua pengajaran daripada puisi di
atas. ( 4m )
Cadangan Jawapan
i.
Kesan daripada kebaikan Emak Si Randang
adalah anaknya sendiri kelaparan. Seterusnya Emak Si Randang juga menghadapai
masalah hutang setelah dagang pergi.
ii.
Pada pendapat saya, Emak Si Randang
berhutang kerana beras sudah habis dimasak untuk dagang. Dia juga tidak
mempunyai wang sedangkan padi yang ditanamnya tidak menjadi.
iii.
Antara pengajaran dalam puisi di atas
adalah kita janganlah mengutamakan orang luar sehingga meminggirkan anak
sendiri. Selain daripada itu, kita juga perlu berjimat dan merancang segala
perbelanjaan untuk kepentingan pada masa hadapan.
SAJAK
1) Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab
soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Di Perpustakaan
Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati
Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Angkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman
Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak perpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai
Shafie Abu Bakar
Alam yang Hijau, 2007
Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.
(i)
Nyatakan suasana
di dalam perpustakaan sebagaimana yang digambarkan oleh penulis dalam sajak di
atas. ( 2 markah )
(ii)
Pada pendapat
anda, apakah yang perlu dilakukan untuk menggalakkan orang ramai berkunjung ke
perpustakaan? ( 3 markah )
(iii)
Jelaskan unsur
gaya bahasa yang terdapat dalam sajak. ( 4 markah )
Cadangan jawapan
i.
Suasana di dalam perpustakaan sebagaiman ayang
digambarkan dalam sajak adalah dingin
dan hening.
ii.
Pada pendapat
saya, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menggalakkan orang
ramai berkunjung ke perpustakaan. Antaranya adalah dengan kenpen galakan
membaca daripada pihak perpustakaan itu sendiri. Selain daripada itu, kemudahan
di dalam perpustakaan hendaklah mencukupi. Manakala suasana di dalam
perpustakaan tersebut juga hendaklah kondusif dan selesa.
iii.
Antara unsur gaya
bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut ialah gaya bahasa personafikasi iaitu
kedinginan yang menerpa. Terdapat
juga unsur gaya bahasa metafora iaitu dada
samudera, laut ilmu dan gedung
peradaban. Gaya bahasa hiperbola juga dapat dikesan iaitu dalam tak terselam dan samudera tak berpantai.
2) Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab
soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Tiba
Waktunya
Angin musim semakin deras
dan ganas
meniup tamadun ke era yang
pantas
lihatlah siapa mereka yang
memanjang langkah
merebut tunas-tunas
harapan yang hijau
dari putik dan pucuk
berembun kemilau.
Haruskan kita tunduk
mengutip sisa-sisa
atau berada di sana meraih
sejahtera?
usah kautanya persoalan dilema
kerana ini bukan waktunya
untuk berhujah perlu
tidaknya
dan masa pun tidak akan
menanti
buah mewajar padah atau
simpati.
Wanita zaman siber
perlu mengacung minda ke
tengah arena
suara dan kudratmu adalah
pemangkin aspirasi
menuju wawasan era globalisasi.
Lepaskan segala belenggu
kedaifan
huraikan segala keliru
kekusutan
wanita zaman ini perlu
bangun berani
yakin diri tahan diuji
tinggi pekerti anggun
gerak-geri
terunggul dalam segala
segi.
Mari kita jana semua upaya
dalalm menjulang citra
seluruh wanita
dengan kudrat mental juga
fizikal
berbekal iman dan semangat
cekal
kita gerakkan kemampuan
yang pukal.
Kini sudah tiba waktunya
kita bertakhta di persada
dunia.
Ghazali Lateh,
Memoir Satu Ketika, 2007
Pekan Ilmu Publications
Sdn. Bhd.
i.
Apakah ciri-ciri wanita zaman siber yang
digambarkan dalam sajak? ( 2m )
ii.
Pada pendapat anda, apakah yang boleh
dilakukan oleh golongan wanita untuk sama-sama memajukan negara? ( 3m )
iii.
Huraikan tema sajak di atas. ( 4m )
Cadangan Jawapan
i.
Antara ciri-ciri wanita zaman siber yang
digambarkan dalam sajak tersebut adalah berani, yakin pada diri dan tahan
menghadapi ujian. Selain daripada itu mereka juga mempunyai pekerti yang baik
dan anggun dalam gerak-geri.
ii.
Pada pendapat saya, antara perkara yang
dapat dilakukan oleg golongan wanita untuk sama-sama memajukan Negara adalah
dengan menjadi seorang professional dan sama-sama berusaha dalam sector
korporat. Selain daripada itu mereka juga boleh menyumbangkan pendapat yang
bernas untuk kemajuan Negara. Mereka juga boleh bergabung dalam satu pertubuhan
dan melaksanakan aktiviti ke arah kemajuan Negara.
iii.
Sajak ini bertemakan kemasyarakatan iaitu
peranan wanita dalam era globalisasi. Mereka perlu bersedia dan mempersiapkan
diri untuk maju dan bersedia menghadapi arus perubahan agar mereka dikenali
sehingga peringkat antarabangsa. Dalam usaha untuk merealisasikan hasrat itu,
mereka perlulah mempunyai ciri-ciri seperti berani, yakin pada diri sendiri
serta berupaya menghadapi ujian.
PROSA
TRADISIONAL
Pelayaran
yang Penuh Peristiwa
1)Baca petikan
prosa klasik di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah beberapa lama berlabuh barulah
orang-orang yang mabuk tadi tersedar. Sesetengahnya
terpinga-pinga sambil bertanya-tanya di manakah mereka berada sekarang, tetapi
jurumudi pula apabila tersedar segelah dia mencabut kerisnya lalu menikam
seekor ayam. Dengan kerisnya yang berlumuran darah itu pergilah dia mendapatkan
Tuanku Nakhoda Tua.
“Ampun tuanku, patiklah yang memelihara geliung ini daripada amuk
Tuan Puteri Dayang Nuramah kelmarin.”
Tuanku Nakhoda Tuan yang baru
pulih dari mabuknya terpisat-pisat membelek-belek keris jurumudi yang penuh
berdarah itu., Fikirnya, sungguhlah juga kata jurumudi ini, kerana waktu amuk
itu berlaku beta jatuh pengsan.
(Dipetik
daripada ‘Pelayaran yang Penuh Peristiwa’ dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i.
Nyatakan maksud rangkai kata memelihara
geliung. ( 2m )
ii.
Apakah tindakan jurumudi setelah sedar
daripada pengsan? ( 3m )
iii.
Pada pendapat anda, apakah kesan daripada
perbuatan menipu dalam masyarakat?( 3m)
Cadangan Jawapan
i.
Maksud rangkai kata ‘memelihara geliung’
ialah menyelamatkan kapal.
ii.
Tindakan jurumudi setelah sedar daripada
pengsan adalah dia mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam. Kemudian dia
membawa keris yang terdapat kesan darah itu menghadap Tuanku Nakhoda Tua dan
mengaku bahawa dialah yang telah menyelamatkan kapal itu daripada serangan Tuan
Puteri Dayang Nuramah ketika semua orang pengsan.
iii.
Pada pendapat saya, perbuatan membawa kesan
yang tidak baik dalam mesyarakat seperti berlakunya perbalahan antara ahli
masyarakat. Ekoran daripada itu, hubungan di antara ahli masyarakat juga
menjadi renggang. Perbuatan ini juga akan
mewujudkan individu yang mementingkan diri sendiri dalam sesebuaha
masyarakat.
Merah
Silu
2)Baca petikan
prosa klasik di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Sampailah khabar kepada Merah
Husam bahawa Merah Silu bermain dengan binatang liar yang tidak disukai oleh
orang ramai. Tempat itu diberi nama Kerbau Kampung. Merah Husam memanggil
seorang hamba, katanya, “Pergi engkau katakan kepada saudaraku, Merah Silu, apa
gunanya bermain dengan binatang yang tiada berguna kepada orang yang banyak
itu. Dia memberi aku malu. Jika dia tiada mendengar kataku, nyahlah dia
dari negeri ini; janganlah ia duduk
bersama-sama aku”
Hamba sahaya Merah Husam
menyampaikan nasihat itu kepada Merah Silu. Setelah mendangar dan menimbangkan
kata-kata Merah Husam itu, Merah Silu berfikir dalam hatinya, “Baiklah, jikalau
Merah Husam berkata demikian kepadaku, aku pun hendak mencari tempat diam.”
(Dipetik
daripada ‘Merah Silu’ dalam antologi Harga
Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i.
Berikan maksud rangkai kata ‘memberi aku
malu’ dalam petikan di atas. ( 2m )
ii.
Apakah pesanan Merah Husam kepada
saudaranya Merah Silu? ( 3m )
iii.
Pada pemerhatian anda, apakah sifat yang
terdapat pada watak Merah Silu berdasarkan tindakannya dalam petikan di atas? (
3m )
Cadangan Jawapan
i.
Maksud rangkai kata ‘memberi aku malu’
dalam petikan di atas ialah mendatangkan keaiban kepadaku.
ii.
Pesanan Merah Husam kepada Merah Silu
adalah supaya Merah Silu tidak memelihara binatang yang tidak berguna dan tidak
disukai oleh orang ramai. Jika Merah Silu enggan mengikut nasihatnya, Merah
Husam memerintahkan Merah Silu berpindah dari negeri tersebut.
iii.
Berdasarkan tindakan Merah Silu dalam
petikan tersebut, saya berpendapat bahawa Merah Silu seorang yang yang berpegang
teguh pada prinsip dirinya. Selain daripada itu dia juga digambarkan sebagai
seorang yang tidak suka kepada pergaduhan atau permusuhan.
CERPEN
Memori
Seorang Tua
1)Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian
jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Esok, pasti meriah, semua yang datang
pasti puas, semua akan bercakap. Esok genaplah 85 tahun usia Pak Itam sebagai
penghuni dunia. Ini cita-citanya, inilah harapannya, tersemai cambah, berbunga
dan berbuah di dalam hatinya, duit yang ada, baki sekembalinya dari Mekkah akan
dibelanjakan untuk kenduri menyambut hari lahirnya. Bukan meniup lilin yang
menyala di atas kek, bukan menyanyi lagu Happy
Birthday to You, tidak! Hari ulang tahun yang pertama kali disambut
semenjak dia lahir ke dunia ini ialah hari untuk menjamu anak-anak Kampung
Langat, cucu cicitnya di pusat-pusat pengajian tinggi yang datang dan pergi
menemu ramah untuk menulis tesis, menemu ramah untuk membuat buku, jauh dan
dekat. Datanglah, Pak Itam tidak pernah menolak, kalau dia tidur, kejutlah, dia
akan bangun. Kalau dia bergelumang dengan tahi ayam di reban, menunduk memberi
makan kucing-kucingnya di kandang, pergilah! Jeritlah! Pak Itam tidak pernah
menghampakan sesiapa. Semenjak dari
zaman remaja hingga berusia 85 tahun, dia tidak pernah menghampakan harapan
orang, apatah lagi menghina dan mengecilkan hati orang. Kalau tidak, untuk apa
dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya, masuk penjara keluar penjara? Zaman
Inggeris, dia masuk penjara, zaman Jepun pun dia masuk penjara. Di Singapura, di
Pudu, di Melaka, dan di Johor. Buat apa dia menyusahkan diri? Bukankah dia anak
Melayu yang pertama menjadi majistret di Malaysia ini?
(Dipetik daripada cerpen Memori Seorang Tua oleh Zahari Affandi, dalam
antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa
dan Pustaka)
(iv)
Apakah rancangan
Pak Itam untuk sambutan hari lahirnya? ( 3 markah )
(v)
Pada pendapat
anda, kenapa Pak Itam tidak pernah menyambut hari lahir sebelum itu? ( 3 markah )
(vi)
Nyatakan dua
teknik plot yang dapat dikesan dalam petikan di atas. ( 3 markah )
Cadangan jawapan
i.
Pak Itam merancang untuk menyambut hari
lahirnya dengan membelanjakan wang lebihan daripada perbelanjaan di Mekkah. Dia
kan mengadakan jamuan dan menjemput anak-anak Kampung Langat serta pada siswa
dan siswi yang pernah dating menemui dan menemuramahnya untuk pelbagai tujuan.
ii.
Pada pendapat saya,Pak Itam tidak pernah
menyambut hari ulang tahunnya kerana dia tidak mempunyai wang yang cukup.
Selain daripada itu, dia juga sibuk dengan perjuangan menuntut kemerdekaan. Jua
juga banyak menghabiskan masanya di
dalam penjara sama ada pada masa pemerintahan Inggeris mahupun pada zaman
pemerintahan Jepun.
iii.
Teknik plot yang pertama yang terdapat
dalam petikan tersebut ialah teknik imbas muka. Pak Itam membayangkan tetamu
yang ramai akan datangke rumahnya semasa jamuan diadakan. Teknik plot yang
kedua pula ialah teknik imbas kembali. Pak Itam imbas kembali pada masa mudanya
yang keluar masuk penjara sama ada di Singapura, Pdu dan Melaka.
Mellisa
1)Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian
jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Dia bercita-cita mahu belajar di sekolah
Melayu kerana sekolahitu terletak tidak jauh dari rumahnya. Kalau dia mahu
pulang dia hanya melaung ibunya dari tingkap sekolah.
Tetapi ibu dan bapanya belum
berani melanggar tradisi yang tidak bertulis bahawa orang Cina mesti belajar di
sekolah Cina. Ibu dan bapanya tidak
berani melihat tudingan telunjuk jiran tetangga malaupun bapanya dahulu tidak
ke skolah Cina tetapi ke sekolah
Inggeris jauh di Bandar dan tidak ada siapa yang menudingkan telunjuk kepada
datuknya kerana orang Inggeris itu Setan Putih yang berkuasa, kulit mereka
putih, rambut mereka perang dan mata mereka biru, kalau dapat ikut agama Setan
Putih pun itu lagi baik.
(Dipetik daripada cerpen Mellisa oleh Abdullah Hussain, dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i.
Kenapa Mellisa bercita-cita mahu melajar di
sekolah Melayu? ( 2m )
ii.
Pada pendapat anda, apakah cara yang dapat
dilakukanoleh masyarakat pada masa itu untuk meningkatkan lagi integrasi kaum?
( 3m )
iii.
Jelaskan dua persoalan yang dapat anda
kesan dalam petikan di atas. ( 4m )
Cadangan Jawapan
i.
Mellisa becita-cita untuk belajar di
sekolah Melayu kerana sekolah berkenaan berdekatandengan rumahnya.
ii.
Pada pendapat saya, antara perkara yang
boleh dilakukan oleh masyarakat pada masa itu untuk meningkatkan lagi integrasi
kaum adalah dengan mengadakan banyak aktiviti bersama seperti gotong-royong di
kawasan tempat tinggal. Mereka juga boleh lebih kerap berkunjung antara satu
sama lain tanpa mengira kaum selain daripada menyemai sikap suka menolong tanpa
mengira bangsa.
iii.
Persoalan pertama yang terdapat dalam
petikan tersebut ialah persoalan adat dan tradisi sesuatu kaum iaitu kaum Cina
yang terpaksa diikuti kerana desakan masyarakat.
DRAMA
Gelanggang
Tuk Wali
1) Baca petikan drama di bawah dengan teliti,kemudian
jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Di
hadapan rumah terdapat sebuah beranda rendah yang agak luas. Ruang itu dihias
kemas menjadi tempat berehat yang selesa. Beberapa buah kusyen dan bantak
tersusun rapi di tepi dinding ruang itu. Di hadapan dinding beranda terpamer
beberapa bilah keris, lembing dan pelbagai jenis senjata lama. Sekali pandang
daripada penampilan rumah itu, orang akan dapat meneka penghuninya seorang guru
silat.
Di
halaman rumah kecil itu terhampar sebuah gelanggang silat yang dijaga rapi.
Beberapa buah guni berisi pasir (punching bag) tergantung pada tiang. Beberapa batang buluh
diikat kemas menjadi bangku-bangku oanjang tempat para pesilat berehat.
(Dipetik
daripada drama ‘Gelanggang Tuk
Wali’ oleh
Ismail Hassan dalam
Dirgahayu
Bahasaku, Dewan Bahasa dan
Pustaka
i.
Apakah yang menggambarkan penghuni rumah
itu seorang guru silat? ( 2m )
ii.
Pada pendapat anda, bagaimanakah sifat
penghuni rumah itu berdasarkan keadaan ruang hadapan rumah yang dihias kemas
sebagaimana dalam petikan di atas? ( 3m )
iii.
Jelaskan latar tempat berdasarkan petikan drama di atas. ( 4m )
Cadangan jawapan
i.
Penghuni rumah itu digambarkan sebagai
seorang guru silat kerana terpamer
beberapa bilah keris, lembing dan pelbagai senjata lama pada dinding beranda
rumah tersebut.
ii.
Berdasarkan ruang hadapan rumah yang dihias
kemas dan selesa, saya berpendapat bahawa penghuni rumah itu mempunyai sifat
yang berdisiplin. Selain daripada itu mereka juga mementingkan kebersihan
selain daripada suka menjaga menampilan diri.
iii.
Latar tempat dalam petikan drama tersebut
ialah sebuah rumah yang kecil. Terdapat beranda rendah yang luas dan selesa di
bahagian hadapan rumah itu. Di halaman rumah itu terdapat sebuah gelanggang
silat. Dalam gelanggang itu tergantung guni pasir dan bangku buluh panjang
tempat pesilat berehat.
Forum Remaja
2020
2) Baca petikan drama di bawah dengan teliti,kemudian
jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
.
MU
I : Tidakkah saudara menbaca, mendengar radio atau menonton televisyen?
Tiap-tiap hari tersiar berita keruntuhan moral generasi muda.
MU
II : Generasi mudah sudah tidak tahu dan tidak mahu menghormati lagi. Tidak
menghormati orang tua, tidak menghormati guru, tidak menghormati sesama manusia
dan tidak menghormati diri sendiri.
CHONG
: ( Nada peril ) Lagi?
MU
II : Dan lagi, atas segala-galanya ialah kepercayaan keagamaan dan ketuhanan.
Generasi muda masa kini amat longgar kepercayaan keagamaannya. Inilah punca
utama yang menyebabkan berlakunya kemerosotan moral dalam kalangan belia.
(Dipetik daripada cerpen Forum Remaja 2020 oleh Sharif Shaary, dalam
antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa
dan Pustaka)
i.
Kenapa golongan muda pada hari ini dikatakan mengalami masalah kemerosotan
moral? ( 2m )
ii.
Nyatakan masalah kemerosotan moral golongan muda pada hari ini berdasarkan
pengetahuan anda. ( 3m )
iii.
Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam
petikan drama di atas. ( 4m )
Cadangan jawapan
i.
Golongan muda pada hari ini dikatakan
mengalami masalah kemerosotan moral
kerana pegangan kepercayaan yang longgar.
ii.
Berdasarkankan pengetahuan saya, masalah
moral utama dalamkalangan golongan muda adalah masalah pergaulan bebas sehingga
berlakunya perbuatan maksiat dan seks bebas. Masalah moral kedua adalah masalah
gengsterisme sehingga berlakunya jenayah dalam kalangan remaja. Di samping itu
golongan mudan juga menghadapi masalah ketagihan rokok dan dadah selain
daripada masalah rempit.
iii.
Persoalan pertama dalam petikan drama
tersebut adalah persoalan kemerosotan dan keruntuhan moral dalam kalangan belia
sehingga mereka tidak menghormati ibu bapa, guru, orang tua dan diri mereka
sendiri. Persoalan ke dua adalah persoalan pegangan kepercayaan yang longgar
dalam kalangan belia sehingga mereka mudah terpengaruh dan mengalami keruntuhan
moral yang teruk.
terima kasih cikgu
ReplyDeleteSangat membantu terima kasih
ReplyDelete