UNTUK APA BELAJAR KOMSAS..?

Pagi tadi saya mengajar KOMSAS dalam salah sebuah kelas tingkatan empat. Saya buat pembacaan cerpen 'Israk' dalam kelas berkenaan. Saya mulakan pembacaan dengan intonasi yang sepatutnya. Semua pelajar diam dan menatap teks serta mengikuti patah-patah kata yang saya baca. Setelah saya baca hingga ke halaman tiga cerpen tersebut, saya minta salah seorang daripada pelajar menyambung bacaan. Pelajar tersebut menyambungnya. Belum sampai setengah halaman bacaannya, sudah terdengar suara-suara bualan dan sahutan daripada pelajar lain. Maknanya sudah tidak ada tumpuan yang jitu. Kenapa situasi ini berlaku? Seperti yang saya tulis pada post yang lepas, berkenaan dengan cara mudah untuk mengingat cerita, teknik bacaan, tumpuan dan perasaan perlu ada pada setiap pembacaan karya sastera. Tanpa ketiga-tiga unsur tersebut, pembacaan menjadi hambar dan mendatangkan rasa bosan kepada pelajar. Tidak kiralah karya tersebut dibaca oleh guru atau pelajar sendiri di rumah. Bahkan, kalau baca dalam hati sekalipun, intonasi bacaan perlu ada. Tujuan tulisan kali ini bukan untuk menyambung isu tersebut. Tetapi kali ini saya akan bercakap mengenai kepentingan sastera yang tidak difahami oleh sebahagian besar pelajar dan segelintir guru. Baiklah, sambung cerita tentang pagi tadi. Setelah selesai pembacaan, saya bertanya kepada pelajar, apa perasaan yang terbit dalam hati mereka setelah membaca cerpen tersebut? Ramai yang menjawab geram, marah, sedih, kecewa, simpati dan gembira. Beberapa orang pelajar tidak dapat menyetakan perasaan mereka. Merekalah yang banyak berbual semasa rakan mereka membaca, menyambung bacaan saya sebentar tadi. Geram dan marah dengan sikap dan tindakan Israk terhadap adiknya Mikraj dan neneknya Wah. Sedih dengan layanan Israk terhadap Wah. Kecewa juga kerana Israk tidak menghargai pengorbanan Wah. Simpati kepada Wah apabila diperli oleh Israk. Gembira kerana akhirnya Israk sedar dan berubah. Apa maknanya? Itu semua adalah nilai yang sudah dapat dirasai oleh pembaca sesebuah karya sastera... Dan saya katakan kepada pelajar, itulah objektif utama pengajaran KOMSAS kepada mereka. Agar mereka menjadi seorang yang sensitif terhadap segala macam bentuk kehidupan yang berlaku kepada orang lain dan tidak mementingkan diri. Dari hatilah bermulanya nilai perpaduan yang perlu dipupuk dalam masayarakat pada hari ini. Seterusnya saya bertanya pula berkenaan karya sastera secara umum. Tentang novel. Siapa yang suka baca novel (salah satu daripada genre sastera)? Yang angkat tangan hanya enam orang..! Yang lain, kenapa tidak suka? Ada yang menjawab, novel adalah cerita reka-reka. Baca novel ni orang yang jiwa-jiwa. Baca novel cinta pula akan mengganggu perasaan. Hah...! Satu pandangan yang memang salah. Bukan lagi silap. Saya akan bicarakan isu ini pada post yang akan datang.

SOALAN PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN - NOVEL

Soalan 4 ( Novel )

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel yang berikut:

(Novel yang anda kaji)

(i) Siapakah watak utama dalam novel yang anda kaji? Jelaskan tiga perwatakan watak tersebut. ( 7 markah )

(ii)Novel yang anda kaji sarat dengan pengajaran yang diselitkan oleh penulis melalui setiap peristiwa. Jelaskan tiga pengajaran beserta contoh dalam novel yang anda kaji. ( 8 markah )

SOALAN PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN - PROSA MODEN

Soalan 2(b) Petikan Prosa Moden




Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Esok, pasti meriah, semua yang datang pasti puas, semua akan bercakap. Esok genaplah 85 tahun usia Pak Itam sebagai penghuni dunia. Ini cita-citanya, inilah harapannya, tersemai cambah, berbunga dan berbuah di dalam hatinya, duit yang ada, baki sekembalinya dari Mekkah akan dibelanjakan untuk kenduri menyambut hari lahirnya. Bukan meniup lilin yang menyala di atas kek, bukan menyanyi lagu Happy Birthday to You, tidak! Hari ulang tahun yang pertama kali disambut semenjak dia lahir ke dunia ini ialah hari untuk menjamu anak-anak Kampung Langat, cucu cicitnya di pusat-pusat pengajian tinggi yang datang dan pergi menemu ramah untuk menulis tesis, menemu ramah untuk membuat buku, jauh dan dekat. Datanglah, Pak Itam tidak pernah menolak, kalau dia tidur, kejutlah, dia akan bangun. Kalau dia bergelumang dengan tahi ayam di reban, menunduk memberi makan kucing-kucingnya di kandang, pergilah! Jeritlah! Pak Itam tidak pernah menghampakan sesiapa. Semenjak  dari zaman remaja hingga berusia 85 tahun, dia tidak pernah menghampakan harapan orang, apatah lagi menghina dan mengecilkan hati orang. Kalau tidak, untuk apa dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya, masuk penjara keluar penjara? Zaman Inggeris, dia masuk penjara, zaman Jepun pun dia masuk penjara. Di Singapura, di Pudu, di Melaka, dan di Johor. Buat apa dia menyusahkan diri? Bukankah dia anak Melayu yang pertama menjadi majistret di Malaysia ini?

(Dipetik daripada cerpen Memori Seorang Tua oleh Zahari Affandi, dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 111)




(i)                  Apakah rancangan Pak Itam untuk sambutan hari lahirnya? ( 3 markah )

(ii)                Pada pendapat anda, kenapa Pak Itam tidak pernah menyambut hari lahir sebelum itu?       ( 3 markah )

(iii)               Nyatakan dua teknik plot yang dapat dikesan dalam petikan di atas. ( 3 markah )

SOALAN PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN - PROSA KLASIK

 Soalan 2(c) Petikan Prosa Klasik

 Baca petikan prosaklasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Pada suatu hari ketika anak-anak geliung itu memikul kayu api dan mencari air di pulau, terlihat oleh jurumudi itu akan Awang Sulung. ”Eh, mengapa budak hitam itu duduk dan makan saja, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa? Tidakkan ia disuruh bekerja seperti anak-anak geliung yang lain?”

Oleh sebab terlalu marah melihatkan telatah jurumudi itu, jawab Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, ”Apa kau peduli, geliung ini bukan kepunyaanmu, bukan nasi kau yang dimakannya dan bukan air kau yang diminumnya.”

Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mulai terfikir hendak menguji kecekapan Awang Sulung lalu di suruhnya Si Kembang Cina mengambil buyung suasa dan meminta Awang Sulung mengambil air. Sungguh ganjil, anak-anak geliung itu pergi ke pulau mencari air, tetapi Awang Sulung berkayuh ke tengah laut di tempat arus yang paling deras untuk mengambil air.

Setelah itu diberinya pula Awang Sulung sebilah parang, disuruh mencari kayu api. Orang mengambil kayu bakau dan temu laut, tetapi Awang Sulung mengambil batang nipah.

(Dipetik daripada cerita Pelayaran yang Penuh Peristiwa, dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 33 – 34)
  
(i)                  Apakah maksud rangkai kata hendak menguji kecekapan? ( 2 markah )

(ii)                Nyatakan perbuatan ganjil yang dilakukan oleh Awang Sulung dalam petikan di atas.       ( 3 markah )

(iii)               Pada pendapat anda, apakah cara lain yang dapat dilakukan oleh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa untuk menguji Awang Sulung? ( 3 markah )

SOALAN PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN - SAJAK


 Soalan 2(d) Petikan Sajak

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Di Perpustakaan

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang  menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Kamu ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Angkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak perpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai

Shafie Abu Bakar
Alam yang Hijau, 2007
Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.

(i)                  Nyatakan suasana di dalam perpustakaan sebagaimana yang digambarkan oleh penulis dalam sajak di atas. ( 2 markah )

(ii)                Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan untuk menggalakkan orang ramai berkunjung ke perpustakaan? ( 3 markah )

(iii)               Jelaskan unsur gaya bahasa yang terdapat dalam sajak. ( 4 markah )