CONTOH JAWAPAN SOALAN NOVEL TING.5

Contoh1

Soalan 4 : Novel
( 15 markah )

Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel-novel berikut:

(i) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(ii) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
(iii) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(iv) Renyah karya Gunawan mahmood
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Kembara Amira karya Amer Hamzah l. Kadir
(vii) Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah
(viii) Sutera dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan



(a) Cerita dalam novel sememangnya memaparkan latar masyarakat sezaman. Nyatakan
tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda baca.


(b) Klimaks merupakan unsur utama dalam plot sesebuah cerita. Daripada novel yang
telah anda baca, jelaskan persitiwa yang menjadi klimaks dalam novel tersebut.




Conton Jawapan

Soalan (a)


Konserto Terakhir

Novel Konserto Terakhir menggambarkan beberapa latar masyarakat dengan jelas sebagai salah satu unsur penting dalam penyampaian cerita. Antara gambaran latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini ialah gambaran masyarakat yang sombong dan mementingkan darjat. Datin Salmah tidak dapat menerima Hilmi kerana Hilmi berasal dari kampung serta berpelajaran hanya setakat darjah empat di sekolah rendah. Beliau sering menghina Hilmi dan kerap mencari jalan agar Hilmi dapat keluar dari rumahnya. Dia juga menghalang Hayati daripada merapati Hilmi. Azizah juga tidak mahu menerima Hilmi pada awalnya kerana Hilmi hanya seorang tukang kebun.

Selain daripada itu, novel ini juga menggambarkan masyarakat yang rajin dan tekun. Hilmi rajin mengusahakan taman di rumah Datuk Johari sehingga taman itu menjadi cantik serta mendapat pujian daripada rakan-rakan Datin Salmah. Dia juga rajin mengusahakan kebun di rumah itu sehingga sayur-sayurannya berbuah lebat. Hilmi juga tekun dalam usahanya mempelajari muzik daripada Encik Bakar sehingga berjaya menjadi seorang pemuzik terkenal. Demikian juga dengan Encik baker yang rajin dan tekun mengajar Hilmi hingga berjaya menjadi seorang pemuzik terkenal.

Watak Datuk Johari dan Encik Bakar dalam novel ini menggambarkan masyarakat yang baik hati. Datuk Johari sanggup membenarkan Hilmi tinggal di rumahnya. Pada masa yang sama, beliau turut member pekerjaan kepada Hilmi sebagai tukang kebun di rumahnya. Datuk Johari juga berusaha menghalang Hilmi daripada dihalau oleh Datin Salmah apabila Hilmi merosakkan piano dengan tidak sengaja. Encik Bakar pula sanggup mengajar Hilmi bermain alat muzik dan memberi dorongan kepada Hilmi sehingga Hilmi berjaya menjadi seorang pemuzik yang terkenal.

Kesimpulannya dapatlah dikatakan gambaran masyarakat dalam novel Interlok dipaparkan dengan jelas oleh pengarang. Paparan yang jelas ini membolehkan cerita yang disampaikan lebih hidup dan berkesan kepada pembaca.



Kembara Amira

Salah satu unsur penting dalam sesebuah novel ialah latar. Jika sesebuah novel itu menceritakan kisah masyarakat, sudah sememangnya latar masyarakat dalam novel itu lebih jelas. Terdapat beberapa latar masyarakat yang digambarkanoleh pengarang dalam novel Kembara Amira.

Pembaca mendapat gambaran latar masyarakat Orang Asli dengan jelas apabila Amira berhubung dengan Itai dan Tau. Mereka tinggal di sebuah perkampungan di hutan Banjaran Titiwangsa. Ada di antara mereka masih bergegang kuat pada adat seperti Ludin. Mereka digambarkan sebagai mahir dalam ilmu tentang hutan seperti mengesan, menjejak, menangkap ikan dan berburu. Kecekapan ini ditunjukkan oleh Itai dan Tau semasa mereka menyelamatkan Amira, Jacinta dan juga Malique. Selain daripada itu, masyarakat ini juga digambarkan telah menerima arus kemajuan dan pemodenan. Itai seorang yang terpelajar dan belajar di bandar. Dia pulang ke perkampungan semasa cuti sekolah. Dia pernah menang tempat kedua dalam bahagian perubatan herba semasa Pameran Saintis Muda 2002.

Selain daripada itu pembaca juga mendapat gambaran tentang masyarakat yang cinta akan alam semulajadi. Dia berusaha untuk menghalang hutan itu daripada dimusnahkan oleh pembalak. Dengan menggunakan kulit beruang yang dibunuhnya, dia telah menyamar sebagai makhluk berkaki dua dab berbulu lebat. Kemunculannya menjadi misteri kepada masyarakat Orang Asli di situ. Dia menggantung seorang daripada pekerja balak secara songsang menyebabkan pekerja lain takut dan meninggalkan hutan itu. Dia juga telah menangkap seorang daripada pekerja pengkaji kandungan emas dan mencederakannya. Tujuannya adalah untuk menghentikan kegiatan itu sebelum hutan itu diteroka untuk melombong emas.

Watak Tau dan Itai pula digambarkan sebagai ahli masyarakat yang baik hati dan suka menolong. Mereka menolong Amira yang hamper lemas dihanyutkan oleh arus deras di sungai. Kemudian mereka menolong mencari kawan Amira iaitu Jacinta yang hilang di hutan semasa memintas Amira yang dihanyutkan arus sungai dari darat. Tau telah menolong Prof. Zaidah untuk mendapatkan bahan sejarah tentang bukti kewujudan masyarakat prasejarah di Gunung Gua Gajah. Di situ terdapat lakaran lukisan prasejarah dan sebilah kapak batu dijumpai. Akhirnya Itai telah menolong Amira menari Malique yang telah hilang selepas kenderaannya jatuh ke dalam gaung. Mereka menemui Malique di puncak Gunung Gua Gajah.

Kesimpulannya dapatlah dikatakan gambaran masyarakat dalam novel Kembara Amira dipaparkan dengan jelas oleh pengarang. Paparan yang jelas ini membolehkan cerita yang disampaikan lebih hidup dan berkesan kepada pembaca.


Kabus di Perbukitan

Sesebuah cerita dalam novel sebenarnya menceritakan kisah masyarakat. Ciri-ciri masyarakat dapat dikesan melalui tindakan dan sifat watak itu sendiri. Dalam novel Kabus di Perbukitan juga terdapat beberapa latar masyarakat yang dapat dikesan oleh pembaca.

Pembaca dengan jelas dapat mengesan kewujudan masyarakat Inggeris dalam novel ini. Masyarakat ini terbahagi kepada dua golongan iaitu masyarakat Inggeris yang terdiri daripada orang British yang diwakili oleh Tuan Cecil Renking. Golongan ini hadir dalam novel melalui halusinasi Faridah semasa dia sesat di dalam hutan. Golongan ini datang dan menjajah serta mentadbir negara ini. Selain daripada itu mereka mengambil hasil bumi seperti bijih timah. Golongan kedua pula ialah masyarakat Inggeris yang tinggal di New Zealand. Golongan ini diwakili oleh Soleh Johnsons, suami kepada Faridah. Sebahagian mereka beragama Islam termasuk Soleh Johnsons. Dia mengusahakan lading ternak biri-biri dan membekalkan daging halal untuk dieksport.

Selain daripada itu pembaca mendapat gambaran tentang masyarakat yang penyayang kepada keluarga. Bermula daripada Faridah yang sayangkan ibunya sehingga tidak mahu berpisah walaupun telah bersuami. Suaminya Ghazali terpaksa berulang-alik dua atau tiga hari sekali dari tempat kerjanya ke rumah ibu Faridah. Salmah juga sayang kepada adik kembar kepada Faridah sehingga dia bergitu sedih dengan kematian Rahayu. Tambahan pula Rahayu telah berpisah dengannya sejak umur tujuh tahun. Manakala Mejar (B) Kamarudin juga sayangkan anak-anaknya termasuk Faridah yang telah lama ditinggalkan bersama Salmah. Dia berusaha mencari Faridah setelah usaha pihak pencari dan penyelamat gagal. Dia telah meredah hutan bersama Buyung sehingga menemui Faridak di perkampungan orang Asli.

Novel ini juga menggambarkan masyarakat yang tabah dalam menempuh dugaan hidup. Salmah hidup dengan tabah dalam keadaan yang sukar di kampung setelah ditinggalkan oleh suaminya Mejar (B) Kamarudin. Faridah melalui kehidupannya berasama ibu dengan mengerjakan sawah untuk menyara hidup mereka. Dia juga tabah menjaga ibunya yang semakin uzur sehingga ibunya meninggal. Dia juga tabah menerima kematian suaminya Ghazali akibat kemalangan jalan raya. Demikian juga dengan Melina. Dia tabah menghadapi dugaan apabila suaminya Benny hilang. Pada masa yang sama dia memandu sendiri dalam keadaan sarat mengandung untuk berjumpa dengan ibunya di Cameron Highland.

Kesimpulannya dapatlah dikatakan gambaran masyarakat dalam novel Kabus di Perbukitan dipaparkan dengan jelas oleh pengarang. Paparan yang jelas ini membolehkan cerita yang disampaikan lebih hidup dan berkesan kepada pembaca.


Sutera dalam Lukisan

Masyarakat merupakan salah satu unsur penting yang melatari sesebuah cerita dalam novel. Demikian juga dengan novel Sutera dalam Lukisan. Ia memaparkan beberapa latar masyarakat dengan jelas sebagai salah satu unsur penting dalam penyampaian cerita menjadikan cerita tersebut lebih menarik.

Antara latar masyarakat yang terdalam dalam novel ini ialah masyarakat yang kurang daya pemikiran. Keadaan Bujei membuatkan masyarakat sekeliling menganggapnya sebagai tidak siuman menyebabkan masyarakat tidak begitu mengambil berat tentangnya. Mereka hanya bertanya khabar dan memberi Bujei makan termasuklah Sidang Saman sekeluarga dan Mak Som. Bujei membiarkan Alias membulinya. Dia juga menonton televisyen tanpa gambar dan suara membuatkan pembaca menggambarkan bahawa Bujei seorang yang tidak normal.

Pengarang juga menggambarkan masyarakat belia yang suka berfoya-foya dan samseng. Ia diwakili oleh watak Alias dengan dibantu oleh kawannya iaitu Sahak dan Sani. Alias suka membuli terutamanya Bujei. Dia akan mengarahkan Bujei melumurkan lumpur pada muka dan badan. Jika enggan, Bujei akan dipukul. Alias menyuruh Bujei mencuci motosikal tanpa upah. Alias juga berlagak samseng di kampung hulu. Dia telah memikat perempuan dan pemuda di kampung itu tidak berani berdepan dengannya. Dia juga terlibat dengan aktiviti lumba haram.

Watak Adila pula menggambarkan masyarakat bandar yang terpelajar. Adila merupakan seorang graduan lulusan luar negara. Setelah menamatkan pengajian, dia pulang dan mendapati tunangnya Faizal telah berkahwin. Dia kecewa dan membawa diri ke kampung. Dia enggan pulang ke Kuala Lumpur dan bekerja di sana walaupun telah ditawarkan oleh bapanya. Dengan ilmu yang ada padanya, dia yakin dapat memulihkan Bujei. Dengan kelulusan yang ada padanya juga dia telah menerima tawaran untuk bekerja sebagai pensyarah pada akhir cerita novel ini.

Kesimpulannya dapatlah dikatakan gambaran masyarakat dalam novel Sutera dalam Lukisan dipaparkan dengan jelas oleh pengarang. Paparan yang jelas ini membolehkan cerita yang disampaikan lebih hidup dan berkesan kepada pembaca.



Soalan (b)

Konserto Terakhir

Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Ia didasari oleh rentetan beberapa peristiwa yang penting. Dalam novel Konserto Terakhir, klimaks bermula apabila Keretakan rumahtangga Hilmi dengan Azizah tidak dapat diselamatkan lagi. Usaha Encik Bakar tidak berhasil. Azizah terlalu cemburu terhadap Hilmi. Malah Azizah mengajar anaknya memanggil Hilmi dengan panggilan “bapa jahat”. Azizah cemburu kerana pada anggapannya beberapa buah lagu yang telah digubah khas oleh Hilmi adalah untuk Hayati. Kemuncak daripada konflik itu Azizah telah meninggalkan Hilmi. Tragedi yang menimpanya menyebabkan dia mencipta sebuah lagu yang diberi tajuk “Cinta dan Tangis”. Lagu “Cinta dan Tangis” menjadi inspirasi kepadanya untuk menggubah lagu-lagu lain dan menulis sendiri sari katanya.

Peristiwa seterusnya ialah peristiwa yang berlaku di Dewan Tunku Canselor. Hilmi tidak kelihatan. Ketua Pengarah itu tidak puas hati lalu pergi ke rumah Hilmi. Mereka mendapat tahu daripada seorang pemuda Cina bahawa Hilmi sakit dan dimasukkan ke hospital. Hilmi dalam bahaya dan berada di unit rawatan rapi ( ICU ). Doktor juga telah memberitahu bahawa nyawa Hilmi terancam dan dia tidak mungkin dapat memimpin Orkes Perdana. Ketua Pengarah telah mengarahkan Borhan supaya mencari pengganti Hilmi. Tiba-tiba muncul Hayati, wanita yang ingin menonton pertunjukan tersebut. Dia ingin menggantkan tempat Hilmi. Ketua pengarah membenarkan Hayati memimpin Orkes Perdana tersebut.

Setelah pertunjukan selesai Hayati bergegas ke hospital, begitu juga Datuk Johari dan Datin Salmah apabila mengetahui perkhabaran tersebut. Di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya iaitu bapa Hilmi yang baru sampai dari kampung. Suasana menjadi bertambah pilu dengan kehadiran Azizah, ibunya serta Hakim, anak Hilmi. Abang sepupunya itu kemudian menceritakan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi selalu memuji kebaikan pak cik dan mak ciknya itu. Akhirnya abang sepupunya iaitu Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari.



Kembara Amira

Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Pada peringkat ini, perkembangan plot sesebuah cerita memuncak. Ia digambarkan dengan peristiwa pertentangan antara dua watak atau antara watak dengan dirinya sendiri.

Dalam novel Kembara Amira, peristiwa yang menjadi klimaks berlaku dalam masa yang juga agak singkat. Ia terjadi di dalam gua semasa mengesan tapak kaki yang tidak berkasut menuju lebih jauh ke dalam gua. Mereka akhirnya sampai ke puncak gunung. Di puncak gunung Itai dapat mengesan kehadiran manusia berdasarkan kesan ranting yang patah. Mereka menemui kawasan lapang dan sebuah pondok. Itai dan Amira masuk ke dalam pondok dan menemui satu pintu lagi di bahagian belakang pondok. Setelah memasuki lubang itu, mereka menemui Malique yang terbaring lemah. Mereka cuba mengeluarkan Malique.

Makhluk berbulu muncul dan terkejut melihat Itai dan Amira berada di situ. Mereka meminta agar Itai dan Amira menyerahkan Malique. Amira berasa hairan dengan makhluk itu yang menyembunyikan Malique di puncak gunung. Prof. Zaidah, Dr. Zawawi, Rosdi dan Ludin sampai ke kaki gunung. Jennifer menegur Ludin dan mereka saling mengenali. Jennifer memberitahu Ludin bahawa Malique adalah anak kandungnya. Malique adalah Sabi. Ludin segera naik ke puncak gunung.

Makhluk berbulu ingin menyerang Pak Lias. Dia meminta agar itai tidak masuk campur. Serangan itu ditangkis oleh Pak Lias. Ludin sampai dan memarahi Tau. Masing-masing kehairanan kerana Tau tidak ada di situ. Ludin memberitahu Tau bahawa anak-anak Tau sudah kembali. Tau meratap dan membuka kulit beruang. Ludin meminta Tau ke kaki gunung untuk menemui seseorang.

Mereka menemui Malique disembunyikan oleh makhluk berkaki dua dan berbulu lebat. Mereka berusaha untuk membawa Malique turun dari gunung itu. Namun kemunculan makhluk berbulu lebat itu menyebabkan mereka berhadapan dengan halangan. Makhlum itu mahu Malique diserahkan kepadanya. Keenganan mereka untuk menyerahkan Malique menyebabkan makhluk itu mula menyerang Pak Lias. Namun Pak Lias berjaya menangkis serangan tersebut. Ludin sampai ke situ dan meminta Tau menghentikan perbuatan tersebut. Kata-kata Ludin telah mengejutkan mereka yang berada di puncak gunung itu.


Kabus di Perbukitan

Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Pada peringkat ini, perkembangan plot sesebuah cerita memuncak. Ia digambarkan dengan peristiwa pertentangan antara dua watak atau antara watak dengan dirinya sendiri.

Peristiwa yang menjadi klimaks dalam novel Kabus di Perbukitan terdapat pada bab 13 dan bab 14. Salmah masih ke sawah walaupun Faridah sudah bekerja. Faridah tinggal bersama ibunya kerana tidak sanggup meninggalkan ibunya yang sedang sakit. Ghazali, suami Faridah bertugas di Kelang dan pulang dua atau tiga hari sekali. Perasaan Salmah semakin tertekan kerana teringatkan Ayu. Dia pergi ke kubur Ayu sehingga dua kali sehari. Minah, jiran Salmah menenangkan perasaan rindu Salmah. Salmah semakin sedih mengenangkan penderitaan Rahayu semasa Mejas (B) Kamarudin menghantar Rahayu pulang. Salmah begitu sedih dengan penderitaan yang dialami oleh Ayu berbanding dengan dirinya.

Faridah bermimpi Ayu datang menggamit ibunya pergi. Dia tersedar dan menunaikan solat tahajud. Kemudian dia memasak nasi lemak untuk memenuhi selera ibunya Salmah. Selesai memasak dia menyedari ibunya belum bangun dan sembahyang subuh walaupun sudah agak lewat dan waktu sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Dia mengejutkan ibunya untuk menunaikan solat Subuh. Namun dia mendapati ibunya sudah meninggal.

Konflik perasaan Faridah sampai ke kemuncak apabila suaminya Ghazali meninggal dunia setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya. Faridah telah hilang semua tempat bergantung dan hilang semua orang yang disayangi. Tekanan perasaan itu menyebabkan dia membawa diri ke New Zealand.


Sutera dalam Lukisan

Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Pada peringkat ini, perkembangan plot sesebuah cerita memuncak. Ia digambarkan dengan peristiwa pertentangan antara dua watak atau antara watak dengan dirinya sendiri.


Peristiwa yang menjadi klimaks dalam novel Sutera dalam Lukisan terdapat pada bab 11. Ia bermula apabila Alias datang ke rumah Bujei pada waktu pagi. Alias naik ke rumah melalui pintu depan dan terus mengambil radio Bujei. Bujei terkejut dengan kehadiran Alias. Alias melambung-lambung radio itu. Bujei meminta alias memberikan radio tersebut. Sebaliknya Alias membuat tuduhan bahawa radio itu adalah radio curi. Bujei terus merayu Alias dengan mangatakan bahawa Radio itu dibeli dengan duitnya sendiri. Bujei meminta radionya dan meminta Alias pergi dari situ. Sikap menentang BUjei membuatkan Alias semakin marah. Alias telah menjatuhkan radio Bujei ke lantai.

Bujei amat kecewa dan marah. Bujei telah manumbuk Alias. Dia telah mencapai parang yang terdapat di dapur rumahnya dan melibas ke arah Alias sambil memaki hamun Alaias sebagaimana Alias memakinya sebelum itu. Alias terjatuh. Bujei meminta ganti rugi atas kerosakan radionya. Bujei memerintahkan Alias pergi mendapatkan ganti rugi tersebut. Alias tidak dibenarkan mengambil motosikalnya. Bujei mengugut untuk membakar motosikal Alias.

Setelah Alias pergi, Bujei terkejut dengan kedatangan orang kampung termasuk Sidang Saman. Bujei terkejut dan keliru apabila Sidang saman menuduhnya menumbuk dan ingin mencederakan Alias dengan parang. Dia kecewa dengan sikap Sidang Saman. Namun setelah menjelaskan kedudukan sebenar kepada Sidang Saman, Alias dipaksa membayar ganti rugi tersebut. Sidang Saman mengesahkanbahawa radio tersebut dibeli sendiri oleh Bujei. Sekali lagi Alias pulang ke rumah. Dia datang kembali bersama Opah Arah. Namun Sidang Saman tetap memaksa Alias membayar ganti rugi tersebut. Sebelum meninggalkan tempat itu, terjadi pergelutan antara Bujei dengan Alias.


































Contoh 2



Soalan 4 : Novel
( 15 markah )

Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel-novel berikut:

(i) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(ii) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
(iii) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(iv) Ranyah karya Gunawan mahmood
(v) Interlok karya Abdullah Hussain
(vi) Kembara Amira karya Amer Hamzah l. Kadir
(vii) Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah
(viii) Sutera dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan


(a) Pembaca novel akan mendapat banyak pengajaran berguna yang boleh dijadikan
panduan hidup. Jelaskan tiga pengajaran utama yang dapat anda petik daripada novel
yang telah anda kaji.


(b) Novel yang telah anda baca mengandungi banyak peristiwa menarik. Nyatakan tiga
peristiwa menarik dalam novel tersebut.



Conton Jawapan

Soalan (a)


Konserto Terakhir

Terdapat banyak pengajaran yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian pembaca di dalam novel Konserto Terakhir. Antara pengajaran awal yang dapat dikesan dalam novel ialah kita mestilah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita yang diinginkan. Pengajaran ini dapat diperhatikan melalui watak Hilmi yang gigih mempelajari muzik sehingga berjaya menjadi pemuzik dan pencipta lagu yang terkenal. Dia juga gigih mencipta lagu walaupun menghadapi konflik dengan isterinya Azizah.

Selain daripada itu, kita mestilah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan baik. Contohnya Hilmi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai tukang kebun dengan penuh dedikasi dan kreatif sehingga taman rumah Datuk Johari menjadi sangat cantik. Demikian juga dengan Encik Bakar yang telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik mengajar Hilmi sehingga Hilmi mahir dalam bidang seni muzik.

Pembaca juga mendapat pengajaran bahawa kita harus kembali kepada ajaran agama untuk mendapat ketenangan hidup. Contoh yang paling baik ialah perubahan yang berlaku pada diri dan sikap Hayati. Pada mulanya dia seorang gadis yang hidup dengan kebebasan tetapi telah berubah dan berasa tenang setelah mula mendekati agama dan melakukan ibadah solat. Dia juga telah membaca buku – buku agama seperti Hidup Sesudah Mati.



Kembara Amira

Novel Kembara Amira mengandungi beberapa pengajaran penting yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian pembaca. Antara pengajaran yang yang dapat dikesan dalam novel ialah ibu bapa hendaklah memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak. Contoh yang paling Prof. Zaidah yang menyayangi anaknya Amira. Dia risau setiap kali Amira tidak ada di Desa Karpus. Malah dia sara menyesal dan menangis kerana dia merasakan dia tidak memberi perhatian yang secukupnya semasa Amira dihantar pulang selepas diselamatkan oleh Itai dan Tau di sungai. Jennifer juga memberian perhatian kepada Malique. Dia berkeras ingin membawa Maliaque keluar dari hutan itu supaya Malique mendapat rawatan yang sempurna.

Pengajaran lain dalam novel ini ialah kita hendaklah bertanggungjawab dan menjaga alam semulajadi daripada dimusnahkan oleh golongan yang mementingkan keuntngan. Pembaca dapat mencontohi Tau yang bertindah berani dalam mempertahankan hutan itu daripada pencerobohan pembalak dan pelombong. Dia menakutkan pembalak dengan menyamar sebagai makhluk misteri berbulu dan menggantung seorang pekerja balak secara songsang. Dia juga menangkap dan memberlasah seorang daripada pekerja O’Hara yang begitu bersungguh-sungguh mencari emas di kawasan itu. Prof. Zaidah juga bersungguh-sungguh ingin membuktikan kewujudan manusia prasejarah di kawasan hutan itu agar ia dapat diisytiharkan sebagai kawasan simpanan kekal.

Selain daripada itu, kita juga hendaklah menolong sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan tanpa mengira bangsa dan agama. Itai dan Tau yang belum pernah mengenali Amira telah menolong Amira daripada lemas di sungai yang berarus deras. Selepas itu mereka menolong mencari Jacinta yang didapai hilang semasa memintas Amira yang dihanyutkan oleh arus sungai melalui darat. Itai pula telah menolong Amira mencari Malique yang hilang setelah kenderaannya jatuh ke dalam gaung. Itai menolong walaupun dia tidak mengenali Malique. Malah Tau juga menolong Prof. Zaidah dengan menunjukkan tempat terdapatnya artifak sejarah. Tau membawa Dr. Zawawi, Rosdi, Amira dan Jacinta ke sebuah gua di Gunung Gua Gajah.


Kabus di Perbukitan

Novel Kabus di Perbukitan mengandungi beberapa pengajaran penting yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian pembaca. Antara pengajaran yang awal yang dapat dikesan dalam novel ini ialah kita hendaklah berusaha gigih dan tidak terlalu bergantung kepada kerjaya makan gaji. Contoh terbaik dalam novel ini ialah Rahayu dan Azrul. Mereka tidak langsung mengharapkan kerja makan gaji setelah tamat pengajian di universiti. Sebaliknya mereka merancang untuk bekerja sendiri dalam bidang perniagaan yang berasaskan pertanian. Walaupun Rahayu meninggal dunia, namum Azrul tetap meneruskan hasratnya dengan memulakan penternakan kambing. Berkat usaha gigihnya dia telah berjaya memajukan bidang pertanian di kampungnya dan dianugerahkan sebagai paladang jaya dan gelaran datuk.

Selain daripada itu, ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Pengajaran ini digambarkan oleh watak Salmah dan Mejar (B) Kamarudin. Salmah menunaikan tanggungjawabnya membesarkan Faridah walaupun dia merupakan ibu tunggal setelah dia ditinggalkan oleh Mejar (B) Kamarudin. Manakala Mejar (B) Kamarudin pula rasa bertanggungjawab terhadap anaknya Faridah yang telah lama ditinggalkan. Rasa tanggungjawab itu begitu mendalam setelah dia menerima berita kehilangan Faridah selepas van yang dipandu Faridah terbabas dan terjunam ke dalam gaung. Atas rasa tanggungjawab itu dia berusaha masuk ke dalam hutan bersama Buyung untuk mencari Faridah setelah usaha pasukan penyelamat gagal

Pengajaran lain yang dapat dikesan oleh pembaca ialah kita haruslah rajin menuntut ilmu memahirkan dan memajukan diri sendiri. Pengajaran ini dapat diperhatikan melalui watak Azrul. Dia amat mementingkan ilmu dalam mengusahakan sesuatu. Dengan ilmu yang ditimba di UPM, dia bercita-cita untuk memulakan perniagaan berasaskan pertanian bersama Rahayu. Setelah menamatkan pengajian dia memulakan penternakan kambing walaupun Rahayu telah tiada. Manakala selepas 25 tahun, anaknya Zain telah dihantar ke New Zealand untuk mengikuti pengajian dalam bidang pertanian. Dia mahu Zain menimba ilmu dan kemahiran sebanyak mungkin dalam bidang pertanian agar dapat menggantikannya menguruskan ladang dengan labih baik.



Sutera dalam Lukisan

Pengarang akan menyelitkan beberapa pengajaran dalam cerita yang disampaikan. Ia disampaikan melalui sesuatu persitiwa dan tindakan watak. Antara pengajaran utama dalam novel Sutera da;am Lukisan ialah seseorang perempuan hendaklah berhati-hati dalam memilih pasangan hidup. Pasangan yang ikhlas dan penyayang akan membuatkan rumahtangga bahagia. Sebaliknya pasangan yang tidak jujur dan suka mengambil kesempatan akan membuatkan seseorang isteri menderita. Ibu Bujei iaitu Fatimah tersilap memilih Harun sebagai suami menyebabkan dia menderita dan kehilangan wang akibat dikikis oleh Harun. Malah dia meniinggal semasa kebakaran akibat daripada sikap Harun yang tidak ada perasaan kasih dan sayang.

Pengajaran lain yang terdapat daalm novel ini ialah seorang suami janganlah mendera isteri dan anak-anak kerana mereka adalah amanah yang perlu dilindungi. Harun tidak sepatutnya mendera Fatimah dan Bujei kerana keselamatan dan kehidupan harian mereka adalah tanggungjawab suami. Akibat daripada penderaan menyebabkan kebahagiaan rumahtangga tidak dapat dinikmati. Ia juga akan membawa kesan mental dan emosi kepada anak iaitu Bujei. Kesan daripada tindakan Harun hingga menyebabkankan ibunya maninggal dunia telah menimbulkan perasaan benci Bujei terhadap Harun selain daripada fikiran dan perasaannya tertanggu.

Selain daripada itu, kita juga haruslah berani mempertahankan hak daripada dirampas oleh orang lain. Contoh yang jelas dalam novel ini ialah Bujei yang berani pepertahankan tanah peninggalan ibunya daripada dirampas oleh bapa tirinya Harun. Walaupun dia tahu risiko yang terpaksa dihadapi apabila dia mengkhianati Harun, tetapi dengan kesedaran tentang haknya ke atas tanah itu, dia jadi berani untuk merosakkan cap jari pada surat yang disediakan oleh Harun. Akibatnya Harun terlalu marah dan mengejar serta membelasan Bujei hingga pengsan di tebing sungai itu.




Conton Jawapan

Soalan (b)


Konserto Terakhir

Sesebuah cerita dalam novel mengandungi banyak rentetan peristiwa. Terdapat beberapa peristiwa tertentu yang menarik bagi pembaca novel Konserto Terakhir. Antaranya ialah peristiwa semasa Leha, penolong pembantu rumah telah pulang ke kampung. Hilmi telah ditugaskan oleh Datin Salmah untuk membersihkan ruang tamu. Hilmi telah mencuba memainkan piano. Ketika Hayati pulang dan hendak menghiburkan tetamunya iaitu pak cik dan mak ciknya, dia menyedari pianonya telah rosak. Mak Minah terpaksa memberitahu yang Hilmi telah memainkan piano itu. Datin Salmah ingin mengambil kesempatan dari peristiwa itu untuk mengusir Hilmi. Atas kebijaksanaan Datuk Johari, Hilmi dimaafkan dan dipotong gajinya. Datin Salmah juga menyuruh Hilmi memujuk Hayati dan memohon maaf daripadanya.

Peristiwa menarik yang lain ialah peristiwa Encik Bakar yang telah melanggar peraturan perlembagaan persatuannya. Encik Bakar telah menerima surat daripada Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar mengumpul semua ahli kumpulannya kecuali Hilmi untuk berbincang. Akhirnya mereka sebulat suara menyokong kemasukan Hilmi dalam kumpulan mereka. Encik Bakar telah dipanggil oleh Jawatankuasa Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional untuk menghadapi tuduhan melanggar tatatertib persatuan dan melanggar arahan setiausaha. Tiga jam lamanya ahli jawatankuasa persatuan itu membuat persidangan tertutup. Encik Bakar disuruh menunggu di luar bilik persidangan. Keputusan mesyuarat akhirnya memaafkan Encik Bakar kerana mengenangkan jasa-jasanya terhadap persatuan tersebut dan menerima keahlian Hilmi.

Manakala peristiw ketiga ialah peristiwa yang berlaku di hospital. Abang sepupunya itu kemudian menceritakan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi selalu memuji kebaikan pak cik dan mak ciknya itu. Akhirnya abang sepupunya iaitu Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari. Dia sengaja menyimpan rahsia itu kerana tidak mahu merosakkan rumah tangga mereka. Datuk Johari dan Datin Salmah amat menyesal dan akan menebus dosa mereka sekiranya Hilmi pulih. Setelah doktor yang merawat Hilmi membenarkan mereka melawat Hilmi, mereka pulang ke rumah Datuk Johari. Ketika sampai di rumahnya, Datuk Johari telah menerima khabar tentang kematian Hilmi dan pada saat yang sama Datuk Johari jatuh terjelepok di atas lantai dan pergi buat selama-lamanya.



Kembara Amira

Sesebuah cerita dalam novel mengandungi banyak rentetan peristiwa. Terdapat beberapa peristiwa tertentu yang menarik bagi pembaca novel tersebut. Antara peristiwa menarik bagi saya dalam novel Kembara Amira ialah peristiwa Amira lepas di sungai. Amira terpijak batu yang licin dan terjatuh ke dalam air deras. Jacinta mengejar Amira melalui jalan hutan. Amira kemudian telah diselamatkan oleh Itai, remaja Orang Asli bersama bapa saudaranya Tau. Amira berehat. Itai menangkap ikan sementara Tau menghidupkan api. Mereka makan ikan yang dibakar. Atai dan Tau menghantar Amira pulang. Mereka mendapati Jacinta pula hilang. Gerakan mencari diketuai oleh Tau dan Itai dijalankan. Dengan pengalaman menjejak Tau dan Itai, mereka menemui Jacinta yang sedang pengsan di celah banir pokok. Mereka mengambil masa dua jam untuk membawa Jacinta pulang ke Desa Karpus. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana ia merupakan permulaan konflik dalam novel ini.

Peristiwa kedua yang menari bagi saya ialah peristiwa Amira mengikut Itai meredah hutan dan denai untuk ke tempat yang dikatakan terdapat emas oleh Itai. Mereka sampai di sebatang sungai. Amira terkejut apabila mendapati kilauan emas di celahan batu. Itai mahu Amira memilih satu sahaja untuk Jacinta. Dia juga mahu Amira merahsiakan tentang emas tersebut. Ketika perjalan pulang, mereka terserempak dengan makhluk berkaki dua dan berbulu sedang mengheret seorang pencari emas dengan marah. Makhluk itu terhidu bau manusia lain. Itai menyedari keadaan itu dan mengajak Amira melarikan diri dengan sekuat hati. Semasa berlari mereka tiba-tiba disergah oleh Tau. Peristiwa itu menarik bagi saya kerana ia membongkar rahsia hutan yang tidak diketahui oleh orang luar.

Manakala peristiwa ketiga yang menarik bagisaya ialah peristiwa makhluk berbulu muncul ketika Itai, Amira dan Pak Lias berada di puncak gunung untuk mencari Malique. Mereka terkejut melihat Itai dan Amira berada di situ. Mereka meminta agar Itai dan Amira menyerahkan Malique. Amira berasa hairan dengan makhluk itu yang menyembunyikan Malique di puncak gunung. Makhluk berbulu ingin menyerang Pak Lias. Dia meminta agar itai tidak masuk campur. Serangan itu ditangkis oleh Pak Lias. Ludin sampai dan memarahi Tau. Masing-masing kehairanan kerana Tau tidak ada di situ. Tau meratap dan membuka kulit beruang. Ludin meminta Tau ke kaki gunung untuk menemui seseorang. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana ia membongkar rahsia yang menjadi persoalan kepada Itai dan Amira.


Kabus di Perbukitan

Sesebuah cerita dalam novel mengandungi banyak rentetan peristiwa. Terdapat beberapa peristiwa tertentu yang menarik bagi pembaca novel tersebut. Antara peristiwa menarik bagi saya dalam novel Kabus di Perbukitan ialah peristiwa semasa Faridah sesat di hutan. Dia berhalusinasi dan berjalan di dalam hutan danpa sedar. Semasa dia terjaga dari tidur, dia mendapati dirinya berada di kawasan rehat pegawai Inggeris. Faridah hairan. Selepas mandi dia dijemput minum bersama pegawai Inggeris yang bernama Tuan Cecil Renking. Tuan Cecil Renking memberitahu Faridah berada di Bukit Kutu. Suasana di situ dingin. Di atas bukit itu juga terdapat beberapa buah rumah rehat dan kolam renang yang dibina oleh pegawai Inggeris. Dia juga diberitahu bahawa dia dan Iqbal ditemui oleh orang-orang Penghulu. Faridah kembali ke biliknya. Dia bingung dan tidur kembali. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana ia membawa pembaca meneroka kea lam yang lain.

Peristiwa kesua yang menarik bagi saya ialah peristiwa yang berlaku pada bab 9. Peristiwa tersebut juga berlaku dalam halusinasi Faridah di dalam hutan. Dia berada di Pekan Sungai Kubu. Siti Amah, oranggaji Tuan Cecil Renking membawa Faridah keluar ke pekan. Faridah dapat melihat aktiviti perdagangan yang terdiri daripada peniaga tempatan, Pahang dan pendatang Cina. Dia juga dapat melihat aktiviti perlombongan dan mengangkut bijih timah melalui sungai. Faridah pernah bertanya tentang Sungai Besar kepada Siti Amah. Namun Siti Amah tidak mengetahui tempat tersebut. Faridah semakin dapat menyesuaikan diri. Namun dia tetap merasakan bahawa dia berada di tempat yang asing. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana pembaca mendapat gambaran tentang aktiviti ekonomi yang dijalankan di Tanah Melayu pada era 1800-an.

Manakala peristiwa ketiga yang menarik bagi saya ialah peristiwa semasa Faridah berada di wad ICU dan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri. Rahayu berada di samping katilnya. Rahayu memegang tangan Faridah sambil menitiskan air mata. Rahayu keletihan dan meletakkan kepala di tepi dada Faridah. Rahayu dan Faridah telah bertemu di alam bawah sedar. Rahayu merayu kepada Faridah agar Faridah kembali kerana ibunya sedang menanti. Dia memberitahu Faridah bahawa sudah tiba masanya dia pergi. Rahayu meninggalkan Faridah disebalik cahaya. Faridah menjerit memanggil nama Ayu. Jeritan itu membuatkan ahli keluarga yang berada di situ terkejut. Faridah telah sedar dan jururawat mendapati Rahayu telah meninggal dunia. Sewaktu jenazah Rahayu dibawa ke tanah perkuburan, Faridah masih lemah dan berada di wad ditemani oleh Ghazali. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana pembaca dapat berkongsi rasa sedih atas kematian Rahayu.


Sutera dalam Lukisan

Sesebuah cerita dalam novel mengandungi banyak rentetan peristiwa. Terdapat beberapa peristiwa tertentu yang menarik bagi pembaca novel tersebut. Antara peristiwa menarik bagi saya dalam novel Sutera dalam Lukisan ialah peristiwa yang berlaku pada bab 2. Bujei pulang ke rumah arwah neneknya setelah hari gelap. Dia menyalakan pelita minyak tanah. Selepas itu dia makan pisang sambil menonton televisyen yang tidak kelihatan apa-apa gambar. Kemudian dia tidur di dalam kelambu yang bertampal-tampal. Menjelang waktu Subuh dia bangun mandi dan bersiap. Dia terus ke simpang jalan dengan harapan ada orang yang akan mengupahnya di kebun getah. Dia tertidur. Dia dikejutkan oleh Kasim dan Husin ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah. Bujei membawa beg mereka dengan upah sedikit makanan dai minuman. Selepas itu dia ke kedai Pak Sulong dengan harapan ada orang yang akan mempelawanya bersarapan. Dia hampa dan tertidur di kaki lima kedai. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana ia mengundang rasa sedih dan simpati pembaca terhadap watak Bujei.

Peristiwa lain yang menarik bagi saya ialah peristiwa penentangan Bujei terhadap Alias semasa Alias datang ke rumahnya. Bujei melawan menyebabkan Alias marah dan menghempaskan radio Bujei ke lantai. Bujei amat marah lalu menumbuk dan menyerang Alias dengan parang dan meminta ganti rugi. Alias pulang. Tidak lama kemudian orang kampung datang bersama Sidang Saman. Sidang Saman terpengaruh dengan kata-kata Alias yang mengatakan dia menumbuk dan menyerang Alias dengan parang. Sidang Saman memarahi Bujei. Setelah mengetahui perkara sebenar, Sidang Saman memaksa Alias membayar ganti rugi sebanyak RM 80 kepada Bujei. Sekali lagi Alias pulang ke rumah. Dia datang kembali bersama Opah Arah. Sebelum meninggalkan tempat itu, terjadi pergelutan antara Bujei dengan Alias. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana alias mendapat pembalasan terhadap perbuatannya kepada Bujei sebelum itu.

Peristiwa ketiga yang menarik bagi saya ialah peristiwa Bujei dibelasah oleh Harun di tebing sungai. Dari rumah Sidang Saman, Bujei pergi ke sungai dan tertidur. Dia dikejutkan oleh Harun untuk memujuk Bujei menurunkan cap jari pada surat menyerahan kuasa atas tanah pusaka ibunya. Cap jari itu dirosakan oleh Bujei. Harun berasa amat marah lalu mengejar Bujei. Semasa menuruni tebing sungai, Harun tersungkur dan badannya berlumuran dengan selut. Bujei berasa kasihan lalu datang mendapatkan Harun dan menyapu lumpur pada pakaian Harun. Harun mengambil kesempatan untuk menumbuk Bujei hingga pengsan di tebing sungai. Bujei sedar setelah malam dan pulang ke rumah. Dia sakit selama tiga hari tanpa diketahui oleh sesiapa. Sidang Saman telah menemuinya dan membawanya pulang. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana ia mendatangkan rasa simpati pada pembaca.

34 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. terima kasih sangat2 moga ALLAH memberkati usaha kerja anda AMIN2 YARABBAL ALAMIN

    ReplyDelete
  3. info yg brguna untuk teknik mjawab

    ReplyDelete
  4. abu ketam batu!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  5. sikit gile org lawat sini...haha :)

    ReplyDelete
  6. adzie cari ape???

    ReplyDelete
  7. v-neck gayyyy!!!!

    ReplyDelete
  8. cikgu boleh minte emel cikgu?Saya nak jawapan utk soalan2 kabus di perbukitan dlm blog cikgu nih http://komsas-spm.blogspot.com/p/kabus-di-perbukitan.html

    kalau membantu ni emel saya, emirimran241097@gmail.com

    ReplyDelete
  9. Salam.. Boleh sya tnya tuk soalan komsas... Wajib jawb ikot jenis komsas bg negeri kawsan tersebut ataupun mana2 novel pun boleh?

    ReplyDelete
  10. terima kasih banyak-banyak cikgu

    ReplyDelete
  11. thx tlg..bdk form 4 nk bljr format soalan n jwpn

    ReplyDelete
  12. salam cikgu .. boleh minta tolong bagi soalan dan jawapan bab novel kembara amira dan azfa hanani kat email saya tak ..
    poklai1234@gmail.com
    mntak tolong yerr .. saye nal ambil paper julai mnggu depan

    ReplyDelete
  13. Cikgu boleh sent kan semua contoh jawapan yg berkaitan dengan novel konserto dan papa

    ReplyDelete
  14. terima kasih banyak2 cg

    ReplyDelete
  15. abdul mutalib tough

    ReplyDelete
  16. Terima kasih cikgu ! Sangat sangat membantu saya untuk paper bahasa melayu esok , semoga cikgu berjaya di dunia dan di akhirat , kelak ! Jasamu kukenang

    ReplyDelete
  17. hahaha bodoh ape masa itu mase??? masa dah time.. gerak luu paper roger !!

    ReplyDelete
  18. hahaha bodoh ape masa itu mase??? masa dah time.. gerak luu paper roger !!

    ReplyDelete