SASTERA MATA PELAJARAN WAJIB?

Baru-baru ini ada cadangan daripada 'orang-orang sastera' agar mata pelajaran sastera dijadikan salah satu daripada mata pelajaran wajib di sekolah semengah. Kita yakin bahawa cadangan itu adalah satu cadangan yang murni untuk memperkasakan sastera dan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di negara kita. Selain daripada itu, kita perlu faham bahawa sastera bukan sekadar cerita. Malah sastera adalah pemikiran, pengajaran dan nilai.

Agak tepat sekiranya cadangan itu mendapat sambutan yang baik daripada Kementerian Pelajaran ketika bidaya dan akhlak pelajar masa kini semakin membimbangkan dengan pelbagai karenah dan salah laku. Masalah utamanya adalah pelajar kita kekurangan penghayatan nilai dalam kehidupan mereka sama ada di rumah atau di sekolah. Di rumah, ibu bapa lebih pentingkan kerjaya mereka dan pembentukan kerjaya anak-anak dengan memaksa anak-anak belajar untuk lulus peperiksaan tanpa penerapan nilai. Demikian juga di sekolah, pengetua lebih mementingkan peratus kelulusan daripada penerapan nilai dalam diri pelajar.

Namun cadangah itu diabaikan oleh kementerian Pelajaran. Sekali pandang, memang betul. Ini kerana pelajar sudah mempelajari KOMSAS di sekolah. Pelajar tidak perlu lagi dibebankan dengan satu lagi pelajaran sastera. Walau bagaimanapun, sekiranya mata pelajaran sastera menjadi mata pelajaran wajib, tentunya KOMSAS akan dimansuhkan. Tidak akan timbul pertindihan pelajaran dalam soal ini.

KOMSAS yang diajar secara tempelan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak memberikan kesan yang mendalam dalam diri pelajar. Peratusan nilai dan pengajaran yang diajar dalam masa yang terhad itu jauh daripada mencukupi ditambah dengan sikap pelajar yang tidak berminat dengan pelajaran tersebut selain daripada belajar untuk menjawab peperiksaan.

Sudah tiba masanya kita mengutamakan penerapan nilai dalam diri pelajar selari dengan usaha kita memartabatkan Bahasa Melayu. Jika mata pelajaran lain yang tidak begitu berkaitan dengan pelajar dan nilai boleh dimasukkan, kenapa sastera yang lebih penting dan lebih bermanfaat tidak...??

No comments:

Post a Comment