UNTUK APA BELAJAR KOMSAS..?

Pagi tadi saya mengajar KOMSAS dalam salah sebuah kelas tingkatan empat. Saya buat pembacaan cerpen 'Israk' dalam kelas berkenaan. Saya mulakan pembacaan dengan intonasi yang sepatutnya. Semua pelajar diam dan menatap teks serta mengikuti patah-patah kata yang saya baca. Setelah saya baca hingga ke halaman tiga cerpen tersebut, saya minta salah seorang daripada pelajar menyambung bacaan. Pelajar tersebut menyambungnya. Belum sampai setengah halaman bacaannya, sudah terdengar suara-suara bualan dan sahutan daripada pelajar lain. Maknanya sudah tidak ada tumpuan yang jitu. Kenapa situasi ini berlaku? Seperti yang saya tulis pada post yang lepas, berkenaan dengan cara mudah untuk mengingat cerita, teknik bacaan, tumpuan dan perasaan perlu ada pada setiap pembacaan karya sastera. Tanpa ketiga-tiga unsur tersebut, pembacaan menjadi hambar dan mendatangkan rasa bosan kepada pelajar. Tidak kiralah karya tersebut dibaca oleh guru atau pelajar sendiri di rumah. Bahkan, kalau baca dalam hati sekalipun, intonasi bacaan perlu ada. Tujuan tulisan kali ini bukan untuk menyambung isu tersebut. Tetapi kali ini saya akan bercakap mengenai kepentingan sastera yang tidak difahami oleh sebahagian besar pelajar dan segelintir guru. Baiklah, sambung cerita tentang pagi tadi. Setelah selesai pembacaan, saya bertanya kepada pelajar, apa perasaan yang terbit dalam hati mereka setelah membaca cerpen tersebut? Ramai yang menjawab geram, marah, sedih, kecewa, simpati dan gembira. Beberapa orang pelajar tidak dapat menyetakan perasaan mereka. Merekalah yang banyak berbual semasa rakan mereka membaca, menyambung bacaan saya sebentar tadi. Geram dan marah dengan sikap dan tindakan Israk terhadap adiknya Mikraj dan neneknya Wah. Sedih dengan layanan Israk terhadap Wah. Kecewa juga kerana Israk tidak menghargai pengorbanan Wah. Simpati kepada Wah apabila diperli oleh Israk. Gembira kerana akhirnya Israk sedar dan berubah. Apa maknanya? Itu semua adalah nilai yang sudah dapat dirasai oleh pembaca sesebuah karya sastera... Dan saya katakan kepada pelajar, itulah objektif utama pengajaran KOMSAS kepada mereka. Agar mereka menjadi seorang yang sensitif terhadap segala macam bentuk kehidupan yang berlaku kepada orang lain dan tidak mementingkan diri. Dari hatilah bermulanya nilai perpaduan yang perlu dipupuk dalam masayarakat pada hari ini. Seterusnya saya bertanya pula berkenaan karya sastera secara umum. Tentang novel. Siapa yang suka baca novel (salah satu daripada genre sastera)? Yang angkat tangan hanya enam orang..! Yang lain, kenapa tidak suka? Ada yang menjawab, novel adalah cerita reka-reka. Baca novel ni orang yang jiwa-jiwa. Baca novel cinta pula akan mengganggu perasaan. Hah...! Satu pandangan yang memang salah. Bukan lagi silap. Saya akan bicarakan isu ini pada post yang akan datang.

No comments:

Post a Comment