BERKENALAN DENGAN SASTERA

Kepada pelajar tingkatan 4, selamat berkenalan dengan sastera walaupun anda sudah berinteraksi dengan komsas semasa berada di tingkatan satu, dua dan tiga. Interaksi itu tidak bermakna anda telah berkenalan dan kenal dengan sastera. Kepada pelajar tingkatan 5, besar harapan guru agar pada tahun ini anda lebih mengenali dan bermesra dengan sastera. Harapan saya, harapan guru dan harapan Kementerian Pelajaran dalam memperkenalkan komsas adalah tinggi. Bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.

Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan 'sastera'? Cuba renungkan dan fikirkan sejenak. Lebih mudah, saya jelaskan di sini. 'Sastera' dengan maksud dan menerangan yang mudah ialah 'segala segala bentuk bahasa yang ditutur dan ditulis'. Mudah, bukan? Kita bercakap, maknanya kita sudah bersastera. Kita menulis apa sahaja, maknanya kita sudah bersastera. Namun nilai sastera yang kita tutur dan tulis itu bergantung kepada ciri-cirinya tertentu membolehkan sesuatu yang kita tulis dan tutur itu mempunyai nilai dan boleh dipasarkan, seperti novel yang anda beli di kedai-kedai buku. Ia perlu mengandungi nilai-nilai dan unsur-unsur keindahan atau estetika. Namun sebagai pelajar, anda tidak perlu memikir bagaimana hendak mewujudkan nilai t ersebut dalam tulisan. Anda hanya perlu mengetahui unsur tersebut dan mengkajinya dalam teks yang dipelajari.

Seterusnya, apa yang perlu anda tahu ialah tujuan seseorang penulis menulis sajak, cerpen atau novel. Penulis yang baik dan yang sudah mencipta nama besar menulis untuk mendidik. Dalam fikiran mereka, terdapat satu     mesej atau pengajaran yang ingin disampaikan kepada pembaca melalui tulisan mereka. Mereka cuba menyampaikan mesej dan pengajaran berdasarkan fikiran/penilaian mereka terhadap masyarakat dan kehidupan mereka. Mereka juga mengambil kisah atau peristiwa yang benar-benar berlaku dalam masyarakat untuk dijadikan teladan kepada orang lain. Cuma, untuk membolehkan mesej dan pengajaran itu sampai, penulis menggunakan daya kreatif untuk mencipta sajak, cerpen atau novel yang diolah dengan menggunakan cerita yang menarik. Penulis mencipta jalan cerita dengan memasukkan unsur-unsur estetika seperti yang dijelaskan di atas.

Kesimpulannya, pertama : belajar sastera tidak sama sekali bermaksud kita belajar untuk menjadi seorang yang 'jiwa-jiwa'. Dan.., sastera bukan untuk orang yang 'jiwa-jiwa' sahaja. Namun perlu diingat, orang yang 'jiwa-jiwa' lebih mudah untuk memahami apa yang terkandung dalam karya sastera kerana mereka mempunyai perasaan yang sensitif.... Untuk memehami teks komsas dengan baik, anda perlu berperasaan sensitif dengan berfikir dan merasai setiap peristiwa yang anda baca. Kedua: berdasarkan penerangan di atas, pihak kementerian, guru dan saya menaruh harapan yang tinggi agar pelajar yang membaca karya sastera akan menjadi seorang 'manusia' yang sensitif dan kritis. Tidak mementingkan diri sendiri kerana mereka telah mempelajari tentang kehidupan orang lain dalam sajak, cerpen atau novel.

No comments:

Post a Comment