Tema yang
menarik merupakan pendorong kepada pembaca untuk membaca sesebuah novel. Huraikan
tema novel yang telah anda baca.
Tema memainkan
peranan penting selain daripada jalan cerita dan gaya bahasa. Ia akan menarik minat pembaca
membaca sesebuah novel hingga ke muka surat
terakhir. Demikian juga dengan novel Sutera Dalam Lukisan. Tema novel ini
sememangnya menarik minat pembaca.
Novel Sutera Dalam
Lukisan bertemakan kemasyarakatan iaitu pandangan
masyarakat terhadap orang yang lemah daya pemikiran atau kurang berakal.
Terdapat beberapa pandangan ahli masyarakat terhadap watak utama iaitu Bujei. Sebahagian
ahli masyarakat yang menganggap Bujei
bodoh. Oleh yang demikian, Bujei menjadi objek buli golongan masyarakat
ini. Ia diwakili oleh Alias dan Harun. Alias menganggap Bujei bodoh dan telah
mengambil kesempatan untuk membuli Bujei. Dia selalu memaksa Bujei membasahkan
pakaian dan melumurkan badan dengan lumpur. Jika tidak, Alias akan memukul
Bujei. Alias juga menyuruh Bujei mencuci motosikal tanpa memberikan upah yang
dijanjikan. Demikian juga dengan Harun. Bujei takut untuk berjumpa dengan Harun
kerana Harun biasa memukulnya. Namun Bujei sempat dipukul hingga pengsan.
Manakala sebahagian
daripada ahli masyarakat yang lain hanya
melihat kewujudan Bujei sebagai seorang yang kurang berakal. Mereka melayan
Bujei sebagai seorang yang kurang berakal juga. Mereka diwakili oleh Mak Som,
Sidang Saman serta isterinya Mak Lamah dan Same’ah. Mereka melayan Bujei
seadanya dengan memberikan makan dan minum. Mereka tidak cuba menyelami apa yang ada dalam
hati dan fikiran Bujei. Mereka hanya menasihati dan mengajar seperti yang
dilakukan oleh Same’ah. Malah Same’ah tidak mahu Bujei rapat dengannya terutama
setelah dia bertunang. Demikian juga dengan Mak Som dan Sidang Saman. Mereka
hanya memberikan nasihat kepada Bujei sekadar yang diperlukan. Malah mereka
turut sangsi apabila Adila ingin memulihkan Bujei.
Satu golongan
masyarakat lagi amat memahami dan
menyelami perasaan Bujei. Golongan ini diwakili oleh Adila. Sesuai dengan
wataknya sebagai seorang yang berpelajaran, dia dapat berfikir dan menilai
Bujei. Dia sedar bahawa Bujei tidak sebagaimana anggapan orang-orang kampung.
Bujei adalah manusia biasa yang normal dan berhak hidup sebagai seorang yang
normal. Oleh sebab itulah dia cuba
mendekati dan menyelidik latar belakang Bujei. Adila dengan ikhlas mahu
menolong Bujei memulihkan imej dan keyakinan dirinya. Dia mengadakan siri
pertemuan dan bimbingan di rumah Sidang Saman. Akhirnya Bujei mendapat keyakinan
dan hidup sebagaimana ahli masyarakat yang lain. Dia sudah boleh berdikari.
Ketiga-tiga
golongan tersebut sememangnya menggambarkan pandangan masyarakat keseluruhannya
terhadap orang seperti Bujei dalam masyarakat mereka. Pengarang membawa mesej
ini agar pembaca dapat berfikir dan mengambil iktibar.
No comments:
Post a Comment