KENAPA MUDAH LUPA CERITA...

Bulan April sudah masuk ke pertengahan. Sudah berapa buah cerpen yang anda bincang atau kaji dalam kelas? Mungkin dua atau tiga cerpen. Namun sesuatu yang tidak memuaskan hati saya semasa saya berbincang dengan pelajar saya. Apabila saya merujuk kepada cerpen yang telah dibincangkan pada bulan-bulan lepas (apatah lagi cerita dalam antologi Harga Remaja bagi pelajar tingkatan lima), mereka tidak mengingati jalan cerita dengan baik. Kenapa keadaan ini berlaku..? Apa akan terjadi apabila masa peperiksaan sudah hampir tiba..?

Saya dapati ada dua sebab utama pelajar tidak ingat jalan cerita cerpen-cerpen yang lepas dengan baik.

Pertama : Ada kalangan pelajar tidak membaca teks asal, sebenarnya. Apabila saya mengarahkan pelajar agar membaca cerpen di rumah sebagai persediaan perbincangan pada sesi pengajaran yang akan datang, terdapat pelajar yang membaca sinopsis dalam buku ulasan sahaja. Saya dapat kesan tabiat ini semasa perbincangan. Mereka tidak dapat memberikan gambaran sesuatu peristiwa dengan tepat dan mendalam. Apabila saya tanya dengan ikhlas, memang mereka mengaku hanya membaca ringkasan cerpen dalam buku ulasan tersebut. Anda juga termasuk dalam golongan ini..?

Kedua : Ramai pelajar membaca tanpa penghayatan. Penghayatan bermaksud kita membaca sesebuah cerpen dengan perasaan. Kita merasai suasana dan perasaan watak dalam cerita sama ada sedih, gembira, marah dan sebagainya. Pelajar tidak akan menghayati cerita kerana mereka membaca dengan nada bersahaja sama ada semasa membaca senyap atau pembacaan kuat. Saya telah mengarahkan pelajar membaca senyap dalam kelas dan saya juga turut membaca, juga senyap. Sebahagian besar pelajar lebih dahulu menghabiskan bacaannya berbanding saya. Saya tahu mereka membaca laju tanpa penghayatan. Anda juga membaca begini..?

Cara Baca Cerita yang Baik:
Pasa sesi pengajaran dan pembelajaran yang lain, saya mengarahkan seorang pelajar membaca kuat dan pelajar yang lain mendengar dan mengikuti pembacaan tersebut dalam buku masing-masing. Sebahagian pelajar tidak menumpukan perhatian dan berbual-bual/berbisik-bisik. Kenapa..?

Saya telah menyambung bacaan kuat dan menghabiskan sebahagian akhir cerpoen tersebut. Saya baca dengan perlahan mengikut intinasi yang betul dan sesuai dengan suasana dan perasaan watak. Saya dapati semua pelajar diam dan meneliti. Tegasnya, pembacaan hendaklah secara menghayati suasana dan perasaan watak dalam cerita. Sesuau peristiwa yang dilalui oleh watak akan mudah melekat dalam minda dan jiwa kita. Saya sering tanya pelajar, yang mana lebih menyentuh hati kita, orang bercerita tentang kebakaran atau mangsa kebakaran itu sendiri yang bercerita?

Kedua, pembacaan hendaklah disertai dengan imaginasi. Gambarkan setiap rentetan peristiwa yang kita baca beserta dengan imaginasi tentang tindakan dan perasaan watak. Yang mana lebih kita ingat, orang bercerita tentang kebakaran atau kita lihat sendiri kebakaran tersebut?

Selamat mencuba...

No comments:

Post a Comment