Contoh Jawapan Novel SDL - Nilai

Banyak peristiwa yang dipaparkan dalam novel mengandungi nilai murni. Berdasarkan novel yang telah anda baca, bincangkan tiga peristiwa yang membawa nilai murni yang berbeza.

Novel-novel yang bertema kemasyarakatan sememangnya ditulis untuk mendidik ahli masyarakat terutamanya pembaca. Oleh yang demikian, terdapat banyak nilai murni yang diselitkan oleh pengarang melalui rentetan peristiwa dalam novel tersebut. Peristiwa yang mengandungi nilai murni juga banyak terdapat dalam novel Sutera Dalam Lukisan.


Beberapa peristiwa menarik yang membawa nilai murni dalam novel ini termasuklah peristiwa Bujei mencuci motosikal Alias. Peristiwa ini menunjukkan nilai prihatin ahli masyarakat terhadap individu yang lemah dan dikatakan tidak normal. Alias menyuruh Bujei mencuci motorsikalnya dengan janjikan upah sebanyak seringgit. Walau bagaimanapun setelah selesai, Alias enggan memberikan upah tersebut. Malah Alias cuba menempeleng muka Bujei. Apabila didesak oleh ibunya Mak Som, Alias cuma memberikan lima puluh sen kepada Bujei. Mak Som memanggil Bujei ke rumahnya. Bujei kemudiannya diberi sarapan oleh Mak Som. Mak Som telah memberikan duit seringgit kepada Bujei. Dia juga menasihatkan Bujei agar tidak melakukan apa-apa yang diperntahkan oleh anaknya Alias.

Peristiwa lain yang menarik ialah peristiwa yang berlaku di rumah Bujei sehari selepas Bujei pergi ke bandar. Dia telah membeli pakaian dan sebuah radio. Alias datang ke rumah Bujei bertujuan untuk membuli. Alias menuduh Bujei mencuri radio tersebut. Bujei melawan dan meminta Alias menyerahkan kembali radio itu. Marah kerana Bujei melawan, Alias telah menjatuhkan radio ke lantai menyebabkan radio itu rosak. Bujei amat marah lalu menumbuk Alias. Dia mengambil parang lalu menyerang Alias. Bujei meminta ganti rugi atas kerosakan radionya sebanyak lapan puluh ringgit. Dengan bantuan daripada Sidang Saman, Alias membayar ganti rugi tersebut. Peristiwa ini menunjukkan nilai keberanian Bujei dalam mempertahankan maruahnya sebagai seorang manusia normal.

Nilai murni juga dapat diperhatikan melalui peristiwa yang berlaku di rumah Bujei semasa kunjungan Wak Senen. Pada malam itu Wak Senen menjelaskan segala-galanya tentang kedudukan tanah pusaka ibu Bujei yang dijual oleh bapa tiri Bujei iaitu Harun kepadanya. Wak Senen dengan jujur akan mengembalikan tanah itu kepada Bujei pada bila-bila masa sahaja apabila Bujei mahu. Dia tidak menuntut apa-apa bayaran daripada Bujei. Dia sedar bahawa dia melakukan kesilapan apabila membeli tanah tersebut semasa dijual oleh Harun. Selain daripada itu, Wan Senen juga menasihatkan Bujei agar tidak menjual tanah tersebut. Hanya itu tanah pusaka yang ditinggalkan oleh ibunya Fatimah. Peristiwa ini mencerminkan nilai kejujuran yang terdapat pada diri Wak Senen.

Contoh peristiwa tersebut adalah jelas mengandungi nilai murni yang cuba disampaikan oleh pengarang dalam novel ini. Terdapat banyak peristiwa lain dalam novel ini yang mengandungi nilai murni. Pembaca perlu bijak mengesan nilai-nilai tersebut sebagai panduan dan pengajaran.

No comments:

Post a Comment