Contoh Jawapan Novel SDL - Perkembangan Plot

Plot dalam sesebuah cerita berkembang mengikut peringkat. Huraikan plot novel yang telah anda baca.

Perkembangan plot dalam sesebuah novel berpunca daripada konflik yang berlaku antara watak-watak dalam cerita. Semakin rumit sesuatu konflik menyebabkan plot semakin berkembang. Konflik yang berlaku dalam novel Sutera Dalam Lukisan juga telah menyebabkan plot cerita ini berkembang dengan baik mengikut peringkatnya yang jelas.


Pada peringkat permulaan plot novel ini, pengarang telah memperkenalkan watak utama iaitu Bujei. Pengarang menggambarkan Bujei dengan keadaan fizikal dan mentalnya di tebing sungai. Dia banyak menghabiskan masa di sungai tersebut sambil mengenangkan tragedi yang menimpa ibunya. Selain daripada itu, pengarang juga menceritakan kehidupan harian Bujei yang sentiasa dibuli oleh Alias. Pengarang menggambarkan juga tentang perkara yang dilakukan oleh Bujei di rumahnya pada waktu malam. Berdasarkan gambaran pengarang pada bahagian permulaan ini, pembaca sudah dapat merasakan bahawa Bujei menghadapi konflik dalam dirinya dengan watak lain iaitu Alias.

Plot bergerak ke peringkat perkembangan apabila watak Adila muncul dalam cerita tersebut. Adila telah menjadi kegilaan pemuda kampung termasuk Alias. Layanan baik Adila terhadap Bujei menyebabkan Alias rasa cemburu.  Dia cuba bersaing dengan Bujei untuk memenangi hati Adila. Dalam persaingan itulah Alias semakin menekan Bujei. Manakala Bujei telah berkonflik dengan Alias dan dengan dirinya sendiri. Walaupun dia tertarik dan ada hati kepada Adila, tetapi dia sedar akan keadaan dirinya. Dalam masa yang sama, dia amat berharap agar dia dapat bersama Adila. Dia juga rasa kecewa setelah mendapat tahu Alias menghantar rombongan merisik dan akan meminang Adila. Bujei juga berkonflik dengan bapa tirinya Harun. Harun yang gagal mendapatkan hak ke atas tanah pusaka peninggalan ibu Bujei menyebabkan Bujei telah dibelasah hingga pengsan. Bujei terlantar di rumahnya selama sehari semalam.

Peringkat kemuncak atau klimaks plot pada novel ini bermula apabila Bujei telah belajar dan yakin pada diri sendiri hasil daripada usaha dan dorongan daripada Adila. Bujei telah merubah diri dan cara berfikir. Dia dibimbing agar berani mempertahankan maruah dirinya. Berbekalkan perasaan dendam kepada Alias selama ini, Bujei telah bangkit menentang Alias yang datang ke rumahnya untuk membuli. Bujei telah manumbuk Alias setelah Aliasn menjatuhkan radio yang baru dibelinya di bandar. Dia telah mencapai parang yang terdapat di dapur rumahnya dan melibas ke arah Alias sehingga Alias terjatuh. Bujei meminta ganti rugi atas kerosakan radionya. Setelah Alias pergi, Bujei terkejut dengan kedatangan orang kampung termasuk Sidang Saman yang menuduhnya menumbuk dan ingin mencederakan Alias dengan parang. Namun setelah menjelaskan kedudukan sebenar kepada Sidang Saman, Alias dipaksa membayar ganti rugi tersebut. Selepas itu Alias telah menabur fitnah dan menghantar surat layang kepada Adila mengatakan Adila seorang gadis yang rosak akhlak dan menghidap AIDS. Fitnah itu membuatkan Adila terlalu sedih dan pulang ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu.

Selepas Bujei melawan, Alias tidak berani untuk membuli Bujei lagi. Di sinilah bermulanya peringkat anti klimaks untuk plot novel ini. Alias datang dan bercakap dengan Bujei dengan nada yang baik walaupun dia mempunyai niat yang tersirat. Manakala perasaan sangsi Bujei terhadap Adila yang disangkanya berpenyakit semakin terhapus. Hubungan Bujei dengan Adila kembali rapat. Alias pula telah menggunakan ilmu pengasih untuk mendapatkan Adila. Namun ilmu itu memakan dirinya menyebabkan dia menjadi tidak siuman. Akhirnya Adila menyatakan hasratnya kepada Mak Lamah dan Sidang Saman bahawa dia ingin menjadikan Bujei sebagai suaminya.

No comments:

Post a Comment