Contoh Jawapan Novel SDL - Gambaran Masyarakat

Cerita dalam novel memaparkan kisah yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga peristiwa yang menggambarkan kepincangan masyarakat.

Kepincangan masyarakat adalah gambaran sesuatu peristiwa, pemikiran dan tindakan  watak yang tidak bernilai dan  sepatutnya berlaku dalam masyarakat. Hal ini sering diketengahkan oleh pengarang dalam novel-novel mereka termasuklah novel Sutera Dalam Lukisan. Terdapat beberapa gambaran peristiwa kepincangan yang perlu dinilai oleh pembaca.


Peristiwa yang jelas menggambarkan keadaan tersebut adalah peristiwa yang berlaku antara Harun dengan ibu Bujei iaitu Fatimah. Sikap Harun tidak seperti apa yang Fatimah harapkan. Harun telah memeras wang Fatimah hingga habis. Pada waktu senja itu Harun mahu Fatimah menyerahkan barang kemasnya. Keenganan Fatimah  menyebabkan Fatimah diterajang oleh Harun hingga pengsan. Bujei cuba membela ibunya tetapi dilibas oleh Harun. Palita terpelanting dan rumah  mereka terbakar hingga mengorbankan Fatimah. Peristiwa tersebut menggambarkan masyarakat yang tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan keluarga. Malah ia merupakan isu penderaan isteri yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat terutamanya masyarakat kampung.

Peristiwa kedua adalah peristiwa yang berlaku antara Bujei dengan Alias. Peristiwa tersebut berlaku di rumah Bujei sendiri. Penentangan daripada Bujei menyebabkan Alias gagal membuli. Sebaliknya dia tewas dan terpaksa mengikut arahan Bujei. Bujei telah membawa neneknya Opah Arah ke rumah Bujei. Opah Arah menyebelahi Alias walaupun dia dan orang lain tahu bahawa Alias bersalah kerana telah membuli dan merosakkan radio Bujei. Malah Opah Arah telah menyumpah Bujei dan menuduh Bujei mahu membunuh Alias. Sikap Opah Arah merupakan sesuatu yang pincang dalam masyarakat kerana sayang dan  menyebalahi cucuk secara melulu. Sikap itulah yang membuatkan Alias menjadi samseng kampung dan membuli Bujei sebelum itu.

Manakala sikap Alias juga menggambarkan keadaan masyarakat yang pincang. Selain daripada terlibat dengan gejala sosial, Alias juga telah menyebarkan fitnah terhadap Adila. Apabila pinangannya tidak diterima oleh Adila, Alias terus cuba untuk menjauhkan Bujei daripada Adila. Alias telah menyebarkan fitnah dan memberitahu Bujei bahawa Adila merupakan penghidap AIDS. Alias juga telah menghantar surat layang kepada dan menuduh Adila sebagai seorang gadis yang telah runtuh akhlaknya. Fitnah itu membuatkan Adila terlalu sedih dan pulang ke Kuala Lumpur untuk sementara. Perbuatan ahli masyarakat seperti Alias sememangnya tidak bermoral dan akan membuatkan masyarakat berpecah-belah. Bujei hampir terperangkap dengan fitnah tersebut.

Selain daripada beberapa peristiwa yang dibincangkan di atas, terdapat beberapa peristiwa lain yang menggambarkan kepincangan masyarakat dalam novel ini. Ia biasanya melibatkan watak antagonis dan bertujuan untuk mewujudkan konflik dalam cerita.

No comments:

Post a Comment