Tajuk Penekanan Komsas SPM Tahun 2014 (Harga Remaja)

PUISI TRADISIONAL


1) Baca puisi di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Gurindam 12 fasal yang Keenam

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiakawan.

Abu Hassan Sham (Penyelenggara)
Puisi-puisi Raja Ali Haji, 1993
Dewan Bahasa dan Pustaka


i.                     Jelaskan maksud rangkap pertama puisi di atas. ( 2m )
ii.                   Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri seorang kawan yang setia? ( 3m )
iii.                 Huraikan nilai kesetiaan yang terdapat dalam puisi di atas. ( 4m )




Cadangan jawapan

i.                     Maksud rangkap pertama puisi di atas adalah kita perlu mencari sahabat  yang boleh membimbing kita kea rah kebaikan.
ii.                   Pada pendapat  saya, ciri-ciri seorang kawan yang setia adalah kawan yang selalu bersama kita dalam setiap keadaan. Selain daripada itu, kawan yang setia juga tidak mungkir apabila berjanji. Mereka juga tidak berbohong serta sentiasa menjaga maruah dan nama baik kita.
iii.                 Terdapat dua aspek nilai kesetiaan dalam puisi. Kesetiaan yang pertama adalah kesetiaan dalam bersahabat yang membolehkan kita mendapat manfaat daripadanya. Manakala kesetiaan yang kedua adalah kesetiaan isteri kepada suami sehingga isteri dapat menyerah diri dan taat kepada suami.





2) Baca puisi di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.




Seloka Emak Si Randang

Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak berhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
ILADAM


i.                     Apakah kesan daripada kebaikan yang dilakukan oleh Emak Si Randang? ( 2m )
ii.                   Pada pendapat anda, kenapakah Emak Si Randang berhutang? ( 3m )
iii.                 Jelaskan dua pengajaran daripada puisi di atas. ( 4m )



Cadangan Jawapan

i.                     Kesan daripada kebaikan Emak Si Randang adalah anaknya sendiri kelaparan. Seterusnya Emak Si Randang juga menghadapai masalah hutang setelah dagang pergi.
ii.                   Pada pendapat saya, Emak Si Randang berhutang kerana beras sudah habis dimasak untuk dagang. Dia juga tidak mempunyai wang sedangkan padi yang ditanamnya tidak menjadi.
iii.                 Antara pengajaran dalam puisi di atas adalah kita janganlah mengutamakan orang luar sehingga meminggirkan anak sendiri. Selain daripada itu, kita juga perlu berjimat dan merancang segala perbelanjaan untuk kepentingan pada masa hadapan.










SAJAK


1) Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Di Perpustakaan

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang  menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Angkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak perpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai

Shafie Abu Bakar
Alam yang Hijau, 2007
Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.

(i)                  Nyatakan suasana di dalam perpustakaan sebagaimana yang digambarkan oleh penulis dalam sajak di atas. ( 2 markah )
(ii)                Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan untuk menggalakkan orang ramai berkunjung ke perpustakaan? ( 3 markah )
(iii)              Jelaskan unsur gaya bahasa yang terdapat dalam sajak. ( 4 markah )





Cadangan jawapan

i.                     Suasana  di dalam perpustakaan sebagaiman ayang digambarkan dalam sajak adalah  dingin dan hening.
ii.                   Pada pendapat saya, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menggalakkan orang ramai berkunjung ke perpustakaan. Antaranya adalah dengan kenpen galakan membaca daripada pihak perpustakaan itu sendiri. Selain daripada itu, kemudahan di dalam perpustakaan hendaklah mencukupi. Manakala suasana di dalam perpustakaan tersebut juga hendaklah kondusif dan selesa.
iii.                 Antara unsur gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut ialah gaya bahasa personafikasi iaitu kedinginan yang menerpa. Terdapat juga unsur gaya bahasa metafora iaitu dada samudera, laut ilmu dan gedung peradaban. Gaya bahasa hiperbola juga dapat dikesan iaitu dalam tak terselam dan samudera tak berpantai.







































2) Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Tiba Waktunya

Angin musim semakin deras dan ganas
meniup tamadun ke era yang pantas
lihatlah siapa mereka yang memanjang langkah
merebut tunas-tunas harapan yang hijau
dari putik dan pucuk berembun kemilau.

Haruskan kita tunduk mengutip sisa-sisa
atau berada di sana meraih sejahtera?
usah kautanya persoalan dilema
kerana ini bukan waktunya
untuk berhujah perlu tidaknya
dan masa pun tidak akan menanti
buah mewajar padah atau simpati.

Wanita zaman siber
perlu mengacung minda ke tengah arena
suara dan kudratmu adalah pemangkin aspirasi
menuju wawasan era globalisasi.

Lepaskan segala belenggu kedaifan
huraikan segala keliru kekusutan
wanita zaman ini perlu bangun berani
yakin diri tahan diuji
tinggi pekerti anggun gerak-geri
terunggul dalam segala segi.

Mari kita jana semua upaya
dalalm menjulang citra seluruh wanita
dengan kudrat mental juga fizikal
berbekal iman dan semangat cekal
kita gerakkan kemampuan yang pukal.

Kini sudah tiba waktunya
kita bertakhta di persada dunia.

Ghazali Lateh,
Memoir Satu Ketika, 2007
Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.

i.                     Apakah ciri-ciri wanita zaman siber yang digambarkan dalam sajak? ( 2m )
ii.                   Pada pendapat anda, apakah yang boleh dilakukan oleh golongan wanita untuk sama-sama memajukan negara? ( 3m )
iii.                 Huraikan tema sajak di atas. ( 4m )


Cadangan Jawapan

i.                     Antara ciri-ciri wanita zaman siber yang digambarkan dalam sajak tersebut adalah berani, yakin pada diri dan tahan menghadapi ujian. Selain daripada itu mereka juga mempunyai pekerti yang baik dan anggun dalam gerak-geri.
ii.                   Pada pendapat saya, antara perkara yang dapat dilakukan oleg golongan wanita untuk sama-sama memajukan Negara adalah dengan menjadi seorang professional dan sama-sama berusaha dalam sector korporat. Selain daripada itu mereka juga boleh menyumbangkan pendapat yang bernas untuk kemajuan Negara. Mereka juga boleh bergabung dalam satu pertubuhan dan melaksanakan aktiviti ke arah kemajuan Negara.
iii.                 Sajak ini bertemakan kemasyarakatan iaitu peranan wanita dalam era globalisasi. Mereka perlu bersedia dan mempersiapkan diri untuk maju dan bersedia menghadapi arus perubahan agar mereka dikenali sehingga peringkat antarabangsa. Dalam usaha untuk merealisasikan hasrat itu, mereka perlulah mempunyai ciri-ciri seperti berani, yakin pada diri sendiri serta berupaya menghadapi ujian.






























PROSA TRADISIONAL


Pelayaran yang Penuh Peristiwa

1)Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah beberapa lama berlabuh barulah orang-orang yang mabuk tadi tersedar.  Sesetengahnya terpinga-pinga sambil bertanya-tanya di manakah mereka berada sekarang, tetapi jurumudi pula apabila tersedar segelah dia mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam. Dengan kerisnya yang berlumuran darah itu pergilah dia mendapatkan Tuanku Nakhoda Tua.
                “Ampun tuanku, patiklah yang memelihara geliung ini daripada amuk Tuan Puteri Dayang Nuramah kelmarin.”
                Tuanku Nakhoda Tuan yang baru pulih dari mabuknya terpisat-pisat membelek-belek keris jurumudi yang penuh berdarah itu., Fikirnya, sungguhlah juga kata jurumudi ini, kerana waktu amuk itu berlaku beta jatuh pengsan.

(Dipetik daripada ‘Pelayaran yang Penuh Peristiwa’ dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


i.                      Nyatakan maksud rangkai kata memelihara geliung. ( 2m )
ii.                   Apakah tindakan jurumudi setelah sedar daripada pengsan? ( 3m )
iii.                 Pada pendapat anda, apakah kesan daripada perbuatan menipu dalam masyarakat?( 3m)



Cadangan Jawapan

i.                     Maksud rangkai kata ‘memelihara geliung’ ialah menyelamatkan kapal.
ii.                   Tindakan jurumudi setelah sedar daripada pengsan adalah dia mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam. Kemudian dia membawa keris yang terdapat kesan darah itu menghadap Tuanku Nakhoda Tua dan mengaku bahawa dialah yang telah menyelamatkan kapal itu daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah ketika semua orang pengsan.
iii.                 Pada pendapat saya, perbuatan membawa kesan yang tidak baik dalam mesyarakat seperti berlakunya perbalahan antara ahli masyarakat. Ekoran daripada itu, hubungan di antara ahli masyarakat juga menjadi renggang. Perbuatan ini juga akan  mewujudkan individu yang mementingkan diri sendiri dalam sesebuaha masyarakat.








Merah Silu

2)Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

                Sampailah khabar kepada Merah Husam bahawa Merah Silu bermain dengan binatang liar yang tidak disukai oleh orang ramai. Tempat itu diberi nama Kerbau Kampung. Merah Husam memanggil seorang hamba, katanya, “Pergi engkau katakan kepada saudaraku, Merah Silu, apa gunanya bermain dengan binatang yang tiada berguna kepada orang yang banyak itu. Dia memberi aku malu. Jika dia tiada mendengar kataku, nyahlah dia dari  negeri ini; janganlah ia duduk bersama-sama aku”
                Hamba sahaya Merah Husam menyampaikan nasihat itu kepada Merah Silu. Setelah mendangar dan menimbangkan kata-kata Merah Husam itu, Merah Silu berfikir dalam hatinya, “Baiklah, jikalau Merah Husam berkata demikian kepadaku, aku pun hendak mencari tempat diam.”

(Dipetik daripada ‘Merah Silu’ dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i.                     Berikan maksud rangkai kata ‘memberi aku malu’ dalam petikan di atas. ( 2m )
ii.                   Apakah pesanan Merah Husam kepada saudaranya Merah Silu? ( 3m )
iii.                 Pada pemerhatian anda, apakah sifat yang terdapat pada watak Merah Silu berdasarkan tindakannya dalam petikan di atas? ( 3m )


Cadangan Jawapan

i.                     Maksud rangkai kata ‘memberi aku malu’ dalam petikan di atas ialah mendatangkan keaiban kepadaku.
ii.                   Pesanan Merah Husam kepada Merah Silu adalah supaya Merah Silu tidak memelihara binatang yang tidak berguna dan tidak disukai oleh orang ramai. Jika Merah Silu enggan mengikut nasihatnya, Merah Husam memerintahkan Merah Silu berpindah dari negeri tersebut.
iii.                 Berdasarkan tindakan Merah Silu dalam petikan tersebut, saya berpendapat bahawa Merah Silu seorang yang yang berpegang teguh pada prinsip dirinya. Selain daripada itu dia juga digambarkan sebagai seorang yang tidak suka kepada pergaduhan atau permusuhan.













CERPEN


Memori Seorang Tua

1)Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Esok, pasti meriah, semua yang datang pasti puas, semua akan bercakap. Esok genaplah 85 tahun usia Pak Itam sebagai penghuni dunia. Ini cita-citanya, inilah harapannya, tersemai cambah, berbunga dan berbuah di dalam hatinya, duit yang ada, baki sekembalinya dari Mekkah akan dibelanjakan untuk kenduri menyambut hari lahirnya. Bukan meniup lilin yang menyala di atas kek, bukan menyanyi lagu Happy Birthday to You, tidak! Hari ulang tahun yang pertama kali disambut semenjak dia lahir ke dunia ini ialah hari untuk menjamu anak-anak Kampung Langat, cucu cicitnya di pusat-pusat pengajian tinggi yang datang dan pergi menemu ramah untuk menulis tesis, menemu ramah untuk membuat buku, jauh dan dekat. Datanglah, Pak Itam tidak pernah menolak, kalau dia tidur, kejutlah, dia akan bangun. Kalau dia bergelumang dengan tahi ayam di reban, menunduk memberi makan kucing-kucingnya di kandang, pergilah! Jeritlah! Pak Itam tidak pernah menghampakan sesiapa. Semenjak  dari zaman remaja hingga berusia 85 tahun, dia tidak pernah menghampakan harapan orang, apatah lagi menghina dan mengecilkan hati orang. Kalau tidak, untuk apa dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya, masuk penjara keluar penjara? Zaman Inggeris, dia masuk penjara, zaman Jepun pun dia masuk penjara. Di Singapura, di Pudu, di Melaka, dan di Johor. Buat apa dia menyusahkan diri? Bukankah dia anak Melayu yang pertama menjadi majistret di Malaysia ini?

(Dipetik daripada cerpen Memori Seorang Tua oleh Zahari Affandi, dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(iv)               Apakah rancangan Pak Itam untuk sambutan hari lahirnya? ( 3 markah )
(v)                 Pada pendapat anda, kenapa Pak Itam tidak pernah menyambut hari lahir sebelum itu?       ( 3 markah )
(vi)               Nyatakan dua teknik plot yang dapat dikesan dalam petikan di atas. ( 3 markah )

Cadangan jawapan

i.                     Pak Itam merancang untuk menyambut hari lahirnya dengan membelanjakan wang lebihan daripada perbelanjaan di Mekkah. Dia kan mengadakan jamuan dan menjemput anak-anak Kampung Langat serta pada siswa dan siswi yang pernah dating menemui dan menemuramahnya untuk pelbagai tujuan.
ii.                   Pada pendapat saya,Pak Itam tidak pernah menyambut hari ulang tahunnya kerana dia tidak mempunyai wang yang cukup. Selain daripada itu, dia juga sibuk dengan perjuangan menuntut kemerdekaan. Jua juga banyak menghabiskan  masanya di dalam penjara sama ada pada masa pemerintahan Inggeris mahupun pada zaman pemerintahan Jepun.
iii.                 Teknik plot yang pertama yang terdapat dalam petikan tersebut ialah teknik imbas muka. Pak Itam membayangkan tetamu yang ramai akan datangke rumahnya semasa jamuan diadakan. Teknik plot yang kedua pula ialah teknik imbas kembali. Pak Itam imbas kembali pada masa mudanya yang keluar masuk penjara sama ada di Singapura, Pdu dan Melaka.



Mellisa


1)Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dia bercita-cita mahu belajar di sekolah Melayu kerana sekolahitu terletak tidak jauh dari rumahnya. Kalau dia mahu pulang dia hanya melaung ibunya dari tingkap sekolah.
                Tetapi ibu dan bapanya belum berani melanggar tradisi yang tidak bertulis bahawa orang Cina mesti belajar di sekolah Cina.  Ibu dan bapanya tidak berani melihat tudingan telunjuk jiran tetangga malaupun bapanya dahulu tidak ke skolah Cina  tetapi ke sekolah Inggeris jauh di Bandar dan tidak ada siapa yang menudingkan telunjuk kepada datuknya kerana orang Inggeris itu Setan Putih yang berkuasa, kulit mereka putih, rambut mereka perang dan mata mereka biru, kalau dapat ikut agama Setan Putih pun itu lagi baik.

(Dipetik daripada cerpen Mellisa oleh Abdullah Hussain, dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i.                     Kenapa Mellisa bercita-cita mahu melajar di sekolah Melayu? ( 2m )
ii.                   Pada pendapat anda, apakah cara yang dapat dilakukanoleh masyarakat pada masa itu untuk meningkatkan lagi integrasi kaum? ( 3m )
iii.                 Jelaskan dua persoalan yang dapat anda kesan dalam petikan di atas. ( 4m )



Cadangan Jawapan

i.                     Mellisa becita-cita untuk belajar di sekolah Melayu kerana sekolah berkenaan berdekatandengan rumahnya.
ii.                   Pada pendapat saya, antara perkara yang boleh dilakukan oleh masyarakat pada masa itu untuk meningkatkan lagi integrasi kaum adalah dengan mengadakan banyak aktiviti bersama seperti gotong-royong di kawasan tempat tinggal. Mereka juga boleh lebih kerap berkunjung antara satu sama lain tanpa mengira kaum selain daripada menyemai sikap suka menolong tanpa mengira bangsa.
iii.                 Persoalan pertama yang terdapat dalam petikan tersebut ialah persoalan adat dan tradisi sesuatu kaum iaitu kaum Cina yang terpaksa diikuti kerana desakan masyarakat.














DRAMA



Gelanggang Tuk Wali

1) Baca petikan drama di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Di hadapan rumah terdapat sebuah beranda rendah yang agak luas. Ruang itu dihias kemas menjadi tempat berehat yang selesa. Beberapa buah kusyen dan bantak tersusun rapi di tepi dinding ruang itu. Di hadapan dinding beranda terpamer beberapa bilah keris, lembing dan pelbagai jenis senjata lama. Sekali pandang daripada penampilan rumah itu, orang akan dapat meneka penghuninya seorang guru silat.
Di halaman rumah kecil itu terhampar sebuah gelanggang silat yang dijaga rapi. Beberapa buah guni berisi pasir (punching bag) tergantung pada tiang. Beberapa batang buluh diikat kemas menjadi bangku-bangku oanjang tempat para pesilat berehat.

(Dipetik daripada drama ‘Gelanggang Tuk
Wali’ oleh Ismail Hassan dalam
 Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan
Pustaka

i.                     Apakah yang menggambarkan penghuni rumah itu seorang guru silat? ( 2m )
ii.                   Pada pendapat anda, bagaimanakah sifat penghuni rumah itu berdasarkan keadaan ruang hadapan rumah yang dihias kemas sebagaimana dalam petikan di atas? ( 3m )
iii.                 Jelaskan latar tempat berdasarkan  petikan drama di atas. ( 4m )


Cadangan jawapan


i.                     Penghuni rumah itu digambarkan sebagai seorang guru silat  kerana terpamer beberapa bilah keris, lembing dan pelbagai senjata lama pada dinding beranda rumah tersebut.
ii.                   Berdasarkan ruang hadapan rumah yang dihias kemas dan selesa, saya berpendapat bahawa penghuni rumah itu mempunyai sifat yang berdisiplin. Selain daripada itu mereka juga mementingkan kebersihan selain daripada suka menjaga menampilan diri.
iii.                 Latar tempat dalam petikan drama tersebut ialah sebuah rumah yang kecil. Terdapat beranda rendah yang luas dan selesa di bahagian hadapan rumah itu. Di halaman rumah itu terdapat sebuah gelanggang silat. Dalam gelanggang itu tergantung guni pasir dan bangku buluh panjang tempat pesilat berehat.









Forum Remaja 2020


2) Baca petikan drama di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

.
MU I : Tidakkah saudara menbaca, mendengar radio atau menonton televisyen? Tiap-tiap hari tersiar berita keruntuhan moral generasi muda.

MU II : Generasi mudah sudah tidak tahu dan tidak mahu menghormati lagi. Tidak menghormati orang tua, tidak menghormati guru, tidak menghormati sesama manusia dan tidak menghormati diri sendiri.

CHONG : ( Nada peril ) Lagi?

MU II : Dan lagi, atas segala-galanya ialah kepercayaan keagamaan dan ketuhanan. Generasi muda masa kini amat longgar kepercayaan keagamaannya. Inilah punca utama yang menyebabkan berlakunya kemerosotan moral dalam kalangan belia.

(Dipetik daripada cerpen Forum Remaja 2020 oleh Sharif Shaary, dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


i.                     Kenapa golongan muda pada hari ini  dikatakan mengalami masalah kemerosotan moral? ( 2m )
ii.                   Nyatakan masalah kemerosotan  moral golongan muda pada hari ini berdasarkan pengetahuan anda. ( 3m )
iii.                 Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam petikan drama di atas. ( 4m )


Cadangan jawapan

i.                     Golongan muda pada hari ini dikatakan mengalami masalah  kemerosotan moral kerana pegangan kepercayaan yang longgar.
ii.                   Berdasarkankan pengetahuan saya, masalah moral utama dalamkalangan golongan muda adalah masalah pergaulan bebas sehingga berlakunya perbuatan maksiat dan seks bebas. Masalah moral kedua adalah masalah gengsterisme sehingga berlakunya jenayah dalam kalangan remaja. Di samping itu golongan mudan juga menghadapi masalah ketagihan rokok dan dadah selain daripada masalah rempit.
iii.                 Persoalan pertama dalam petikan drama tersebut adalah persoalan kemerosotan dan keruntuhan moral dalam kalangan belia sehingga mereka tidak menghormati ibu bapa, guru, orang tua dan diri mereka sendiri. Persoalan ke dua adalah persoalan pegangan kepercayaan yang longgar dalam kalangan belia sehingga mereka mudah terpengaruh dan mengalami keruntuhan moral yang teruk.

2 comments: