Contoh Jawapan Novel SDL - Cabaran Watak Utama

Watak utama dalam sesebuah novel banyak menghadapai cabaran. Nyatakan cabaran watak utama dalam novel yang anda baca.

Watak utama dalam sesebuah novel biasanya akan bergerak mengikut cerita. Oleh itu dia melalui pelbagai konflik dan cabaran untuk mendapatkan kemenangan pada akhir cerita. Demikian juga dengan watak Bujei dalam novel Sutera Dalam Lukisan. Sebagai watak utama dia menghadapi beberapa cabaran sehingga dia mendapat kemenangan pada akhir cerita.


Cabaran pertama yang terpaksa Bujei lalui ialah kematian ahli keluarga terdekat ketika usianya masih mentah. Dia telah kehilangan ayah akibat kemalangan jalan raya. Dia dan ibunya pulang ke kampung. Ibunya telah berkahwin dengan Harun, seorang yang telah diketahui sikapnya yang tidak baik oleh mesyarakat kampung. Ibu Bujei telah didera. Kemuncak daripada perbuatan itu, ibunya diterajang oleh Harun hingga pengsan. Pelita minyak jatuh ke lantai dan api menyambar ruang bilik. Ibunya meninggal dalam kebakaran rumah itu. Peristiwa itu meninggalkan kesan perasaan yang mendalam pada diri Bujei. Bujei tinggal pula dengan neneknya. Namun tidak lama kemudian neneknya pula meninggal dunia. Kematian neneknya menyebabkan dia terpaksa mengharungi hidup seorang diri.

Alias dan Harun juga merupakan cabaran kepada Bujei. Pada peringkat awalnya dia cuba sedaya upaya untuk mengatasi cabaran itu. Namun dia tidak mampu untuk melawan. Alias selalu membulinya. Dia menganggap dirinya lemah dan berasa takut kepada Alias. Bujei melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Alias walaupun hatinya memberontak. Sekiranya dia ingkar, dia akan menerima sepak terajang daripada Alias. Keadaan itu menyebabkan hidupnya terus tertekan. Harun juga selalu memukul Bujei. Harun juga telah mengambil kesempatan untuk membolot harga pusaka peninggalan ibu Bujei. Namun setelah keyakinan dirinya pulih, Bujei dapat mengatasi cabaran itu. Alias telah kalah dan Harun tidak berjaya membolot harta pusaka ibunya.

Manakala cabaran ketiga ialah cabaran untuk memenangi hati Adila. Dalam hal ini Bujei berhadapan dengan dua masalah iaitu Alias dan keadaan dirinya yang begitu daif. Alias juga menyukai Adila menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Adila. Kemuncak daripada keinginan itu, Alias telah menghantar wakil untuk merisik dan akan meminang Adila. Bujei yang menyedari dirinya serba kekurangan hanya memendam rasa. Dia berserah pada keadaan. Setelah pinangannya tidak diterima, Alias semakin menekan Bujei. Dia menghasut Bujei supaya membenci Adila dengan mengatakan Adila penghidap AIDS. Perasaan Bujei semakin bercelaru apabila dia mempercayai kata-kata Alias.

Nyata bahawa watak utama sesebuah cerita dalam novel mengadapi beberapa cabaran. Cabaran tersebut merupakan konflik dan akan  menggerakkan cerita berkenaan. Tanpa cabaran dan konflik, cerita dalam sesebuah novel menjadi hambar.

No comments:

Post a Comment