Contoh Jawapan Novel SDL - Watak Penting/Utama

Watak adalah unsur penting yang menghidup dan menggerakkan cerita. Huraikan tiga perwatakan watak utama dalam novel yang anda baca.

Watak merupakan salah satu unsur penting dalam sesebuah novel yang bercorak kemasyarakatan. Cerita tidak akan wujud tanpa watak. Sebagaimana novel yang lain, novel Sutera Dalam Lukisan  juga mengandungi watak utama. Watak ini mempunyai ciri-ciri atau perwatakan tersendiri sesuai dengan peranannya dalam cerita.


Watak utama dalam novel Sutera Dalam Lukisan ialah Bujei. Nama penuhnya ialah Muhamad Hafiz. Dia hidup sebatang kara setelah ibu dan bapa serta neneknya meninggal. Perwatakannya berubah mengikut perkembangan cerita dan perkembangan dirinya. Pada awal cerita Bujei digambarkan sebagai seorang yang bodoh atau tidak matang berbanding dengan usianya. Pengarang menggambarkan bahawa kadang-kadang kebodohannya seakan dibuat-buat. Keadaan dirinya yang demikian menyebabkan masyarakat sering mempermainkannya. Orang kampung tidak mengambil peduli tentang kewujudannya. Alias selalu membulinya. Dia berkawan dengan orang yang jauh lebih muda daripadanya iaitu Samsul, Husin dan Kasim.

Selain daripada itu Bujei juga dilihat sebagai seorang yang berdikari dalam keadaan dirinya yang tidak matang itu. Dia tinggal seorang diri di rumah meninggalan neneknya. Walaupun makan dan minumnya tidak menentu, tetapi dia berusaha untuk mendapatkannya tanpa meminta-minta. Pengarang menggambarkan Bujei sering bangun awal pagi kemudian bersiap dan menunggu sesiapa sahaja yang pergi ke kebun getah. Dia akan menerima pelawaan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya dengan upah yang tidak pernah ditetapkan. Upah itu adalah untuk sarapan pada hari tersebut. Dia juga akan memancing dan membakar ikan di sungai. Selepas mendapat bimbingan daripada Adila, Bujei mulai yakin dan mula berkebun.

Apabila Bujei semakin yakin pada diri hasil daripada bimbingan Adila, sifatnya juga telah berubah. Dalam mengadapi Alias, Bujei telah menunjukkan sifatnya yang berani dalam mempertahankan maruah diri sebagaimana yang diajarkan oleh Adila. Bujei telah melawan Alias yang datang ke rumahnya untuk membuli. Bujei amat marah apabila Alias menjatuhkan radionya ke lantai. Dia telah menumbuk Alias dan menyerang Alias dengan parang menyebabkan Alias terjatuh. Dengan berani Bujei menuntut ganti rugi sebanyak lapan puluh ringgit untuk radionya. Lebih lanjut lagi, dia memerintahkan Alias pulang dengan berjalan kaki dan meninggalkan motorsikal di rumah Bujei. Bujei mengugut akan membakar motorsikal itu sekiranya Alias ingkar.

Kesimpulannya jelas menunjukkan perwakatan Bujei berubah mengikut perkembangan dirinya. Sesuai dengan watak utama yang mendapat kemenangan pada akhir cerita, perwatakan Bujei berubah ke arah yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment