Contoh Jawapan Novel SDL - Pengajaran

Pembaca novel akan mendapat banyak pengajaran berguna yang boleh dijadikan panduan hidup. Huraikan tiga pengajaran utama yang dapat anda petik daripada novel yang telah anda kaji.

Selain daripada tema dan persoalan, pengarang juga menyelitkan beberapa pengajaran dalam cerita yang disampaikan. Ia disampaikan melalui sesuatu persitiwa dan tindakan watak. Setelah membaca novel Sutera Dalam Lukisan, pembaca akan dapat mengesan pengajaran dengan mudah melalui peristiwa dan tindakan wataknya.


Antara pengajaran utama dalam novel ini dapat diperhatikan melalui tindakan watak Alias yang selalu membuli Bujei. Perbuatan Alias tidak boleh diterima oleh pambaca. Daripada peristiwa dan tindakan watak Alias, pembaca dapat pengajaran bahawa kita tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Oleh kerana Bujei dianggap bodoh, Alias telah mengambil kesempatan untuk memuaskan hatinya. Dia suka melihat Bujei diperbodohkan olehnya. Dia selalu memaksa Bujei melumurkan pakaian dan badan dengan lumpur. Alias juga pernah menyuruh Bujei mencuci motosikalnya tanpa sebarang upah. Malah dia ingin menampar Bujei apabila Bujei berkeras meminta upah satu ringgit yang dijanjikan.

Pengajaran lain dapat diperhatikan melalui watak Harun. Dia sebagai bapa tiri telah menjual tanah pusaka milik ibu Bujei setelah ibu Bujei meninggal. Tidak lama selepas itu dia telah berusaha supaya Bujei menyerahkan kuasa ke atas tanah pusaka meninggalan ibu Bujei kepadanya. Keengganan Bujei menyerahkan kuasa menyebabkan Bujei dibelasah hingga pengsan. Perbuatan itu juga membuatkan pembaca berasa marah kepada Harun. Pembaca mendapat pengajaran bahawa kita janganlah memakan harta anak-anak yatim kerana perbuatan itu adalah haram di sisi agama Islam. Sebaliknya sifat Wak Senen sepatutnya dipuji. Dia ingin mengambalikan tanah pusaka ibu Bujei yang dibeli daripada Harun pada bila-bila masa sahaja tanpa apa-apa bayaran.

Tindakan Adila juga memberikan pengajaran kepada pembaca. Daripada apa yang dilakukan oleh Adila, pembaca dapat mengesan pengajaran bahawa kita janganlah membiarkan orang-orang yang lemah dan bodoh terbiar dalam masyarakat. Mereka berhak hidup sebagai seorang yang normal dalam masyarakat mereka. Demikian pandangan Adila terhadap Bujei. Sebahagian besar masyarakat kampung itu membiarkan Bujei hidup seorang diri dengan caranya sendiri. Malah terdapat antara mereka yang sengaja memperbodoh-bodohkan Bujei. Walaupun Bujei tidak menunjukkan kemarahan, tetapi jauh di sudut hati, dia bersedih dengan apa yang berlaku. Penyedari hakikat itulah Adila dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh membimbing dan memulihkan Bujei.

Selain daripada pengajaran di atas, novel ini juga mengungkapkan banyak pengajaran lain yang menarik. Ia perlu diterokai oleh pembaca untuk mendapat kesan pembacaan yang maksimum kerana karya sastera ditulis adalah bertujuan untuk mendidik.

No comments:

Post a Comment