Contoh Jawapan Novel SDL - Latar Masa

Setiap peristiwa dalam novel berlaku dalam latar masa tertentu. Berdasarkan novel kajian nada, jelaskan tiga latar masa yang penting.

Latar merupakan salah satu unsur dalam sesebuah novel. Ia juga merupakan aspek penting untuk menjadikan sesebuah cerita lebih realistik. Selain daripada latar tempat, latar masyarakat dan latar suasana, latar masa juga penting dalam mewujudkan satu ruang dalam cerita. Dalam novel Sutera Dalam Lukisan, terdapat beberapa latar masa yang penting.


Salah satu latar masa yang penting dalam mempengaruhi cerita dan mempengaruhi watak utama dalam novel ini adalah pada waktu senja di rumah Fatimah. Waktu awal malam begitu, suasana dalam rumah sudah gelap. Satu-satunya cara untuk menerangi suasana dalam rumah adalah dengan menyalakan pelita minyak. Peristiwa penting berlaku pada masa ini adalah peristiwa ibu Bujei, Fatimah pengsan setelah diterajang oleh Harun. Bujei cuba membela ibunya dengan menerkam ke arah Harun. Namun dengan sekali libas sahaja, Bujei sudah terperosok di tepi dinding. Pelita minyak terpelanting akibat disepak oleh Harun. Api menyambar setiap ruang dalam bilik. Waktu senja itulah rumah mereka hangus dan Bujei kehilangan ibu. Peristiwa itu membuatkan emosi Bujei terganggu.

Latar masa lain yang penting dalam novel ini adalah pada waktu pagi di rumah Bujei. Peristiwa penting yang berlaku pada waktu ini adalah peristiwa penentangan Bujei terhadap Alias yang datang untuk membulinya. Peristiwa ini membuktikan bahawa Bujei berupaya berubah dan yakin pada diri. Ia juga membuktikan kepada masyarakat kampung bahawa Alias sememangnya mempunyai sikap buruk dan suka membuli Bujei. Bujei telah menumbuk Alias dan menyerang Alias dengan parang. Bujei menuntut ganti rugi terhadap radionya yang telah dirosakkan oleh Alias. Bujei juga memberitahu punca sebenar dia bertindak demikian apabila orang kampung salah faham dengan kata-kata Alias. Dengan bantuan Sidang Saman, Bujei mendapat kemenangan dang anti rugi yang dituntut.

Selain daripada itu, latar masa yang penting juga adalah pada waktu petang di sungai. Peristiwa penting yang berlaku pada waktu ini adalah peristiwa Bujei dibelasah oleh bapa tirinya, Harun sehingga pengsan. Setelah dihalau dari rumah Sidang Saman oleh Alias ketika dia berbual dengan Adila, Bujei membawa dirinya ke tepi sungai, tempat biasa baginya. Harun berjaya menangkapnya ketika dia terlelap di situ. Harun marah kerana  surat penyerahan kuasa hak milik tanah pusaka ibu Bujei telah rosak semasa Bujei menurunkan cap jari. Harun telah membelasah Bujei hingga pengsan. Bujei tidak sedarkan diri hingga malam. Akibat daripada kesakitan itu, dia terlantar di rumahnya selama sehari semalam. Bujei tidak dapat datang ke rumah Sidang Saman untuk bertemu dengan Adila seperti yang dijanjikan.

Berdasarkan huraian di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa peristiwa penting yang digambarkan dalam sesebuah novel berlaku dalam satu ruang masa yang jelas. Ia membolehkan pembaca menggambarkan peristiwa dan suasana dengan lebih realistik.

No comments:

Post a Comment