Contoh Jawapan Novel SDL - Permulaan Novel

Permulaan yang menarik dalam sesebuah novel akan mempengaruhi pembaca untuk meneruskan pembacaan hingga akhir. Huraikan pernyataan tersebut berdasarkan novel kajian anda.

Permulaan sesebuah cerita sememangnya penting bagi seseorang penulis. Ia akan mempengaruhi pembaca sama ada pembaca akan terus membaca cerita mereka atau sebaliknya. Oleh itu penulis sedaya upaya akan memulakan cerita dengan perlbagai teknik untuk menarik pembaca. Demikian halnya dengan novel Sutera Dalam Lukisan.


Permulaan cerita dalam novel ini menarik dan pembaca terangsang untuk membaca bab demi bab hingga akhir cerita. Pernulis menggambarkan watak utama iaitu Bujei dengan rutin hariannya di sungai. Daripada gambaran dan penjelasan pengarang, pembaca dapat merasakan bahawa watak Bujei menghadapi tekanan perasaan. Gambaran itu membuatkan pembaca terasa ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan watak tersebut. Bujei tidak sebagaimana rakan-rakan yang lain. Pembaca terangsang untuk mengetahui punca yang menyebabkan Bujei berkelakuan demikian. Secara tidak langsung pembaca juga rasa simpati terhadap watak berkenaan. Oleh yang demikian, pembaca akan membaca untuk mencari jawapan kepada masalah tersebut.

Perkara kedua yang menarik pada bahagian permulaan cerita novel ini adalah penjelasan pengarang tentang punca Bujei berkelakuan demikian. Dia digambarkan mengalami tekanan perasaan apabila ibunya meninggal semasa dia masih kanak-kanak akibat daripada konflik dengan Harun. Neneknya juga meninggal tidak lama kemudian. Keadaan ini membuatkan pembaca terdorong untuk mengetahui perkembangan pada diri Bujei selepas itu. Pembaca terasa ingin tahu keadaan, tindakan dan perasaan Bujei dalam  menghadapi hari-hari yang akan mendatang dalam hidupnya. Setelah mengetahui Bujei telah kehilangan semua ahli keluarga, pembaca rasa tambah simpati terhadapnya. Pembaca terus membaca untuk mengikuti perkembangannya.

Unsur menarik yang penting pada bahagian permulaan sesebuah cerita dalam novel adalah konflik. Pengarang novel ini telah memasukkan konflik seawal bab pertama. Dia menggambarkan watak utamanya iaitu Bujei mengalami konflik dalam diri iaitu tekanan perasaannya sendiri. Melalui imbas kembali Bujei, pengarang juga menggambarkan konflik yang berlaku antara Bujei dan ibunya dengan Harun hingga ibunya meninggal. Pada bab kedua pula pengarang menggambarkan konflik Bujei dengan masyarakat kampung iaitu Alias. Bunyi motorsikal sahaja membuatkan Bujei berasa takut. Gambaran ini menyebabkan pembaca ingin mencari jawapan dan ingin mengetahui cara Bujei menghadapi konflik berkenaan. Pembaca akan membeca bab ke bab hingga akhir cerita.

Jelas bahawa tiga unsur yang dibincangkan di atas merupakan unsur penting pada bahagian permulaan sesebuah cerita. Pengarang yang kreatif akan dapat menerapkan ketiga-tiga unsur bekenaan dengan baik sehingga dapat menarik perhatian pembaca.

No comments:

Post a Comment