Contoh Jawapan Novel SDL - Latar Tempat

Latar tempat yang terdapat dalan sesebuah novel menjadikan cerita lebih realistik. Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan tiga latar tempat utama.

Latar tempat amat penting dalam sesebuah cerita terutamanya novel. Ia menjadikan cerita dalam novel tersebut lebih realistik dan berjejak di bumi nyata. Dalam novel Sutera Dalam Lukisan, terdapat beberapa latar tempat utama yang difokuskan dalam cerita.  Sebahagian besar perkembangan cerita berlaku di tempat-tempat tersebut.


Salah satu latar tempat utama yang menjadi sebahagian daripada hidup Bujei ialah rumah Bujei  sendiri. Sebenarnya rumah tersebut adalah rumah neneknya. Setelah ibunya Fatimah meninggal, Bujei tinggal di rumah tersebut bersama neneknya. Setelah neneknya meninggal dunia, Bujei tinggal di situ seorang diri. Rumah itu agak jauh dari rumah penduduk kampung yang lain. Sejak neneknya meninggal, rumah itu tidak terjaga. Terdapat semak-samun di sekeliling rumah. Keadaan di dalam rumah pula tidak tersusun sesuai dengan kehidupan Bujei yang dikatakan tidak normal. Di rumah itulah Bujei tidur seorang diri. Dia pernah terbaring selama sehari semalam kerana sakit akibat daripada dibelasah oleh Harun. Di situ juga Bujei berubah menjadi berani dan menyerang Alias kembali apabila Alias hendak membulinya.

Latar tempat lain yang menjadi sebahagian daripada hidup Bujei ialah di sungai yang terletak di sawah. Terdapat sebuah jambatan yang merentangi sungai tersebut.  Bujei digambarkan banyak menghabiskan masa di sungai itu. Airnya tidak dalam dan tebingnya berlumpur. Bujei selalu membasahkan pakaian dan melumurkan lumpur ke badannya apabila diperintahkan oleh Alias. Jika tidak Bujei akan dibelasah oleh Alias. Di sungai juga dia banyak menghabiskan masa dengan termenung dan mengingatkan tragedi yang menimpa ibunya. Kadang-kadang dia akan memancing dan membakar ikan tersebut di tepi sungai itu. Di sungai itu Bujei pengsan sampai malam akibat dibelasah oleh Harun. Harun amat marah kerana Bujei telah merosakkan surat penyerahan kuasa yang dibuat oleh Harun untuk mengambil alih tanah pusaka milik  ibu Bujei.

Satu lagu latar tempat yang utama dalam novel ini ialah rumah Sidang Saman. Rumah Sidang Saman sebenarnya menjadi pusat cerita kerana banyak konflik dalam cerita berpunca dari rumah tersebut. Manakala sebahagian besar konflik juga diselesaikan di rumah tersebut. Rumah itu sentiasa dikunjungi oleh orang kampung untuk mengadu masalah. Antara watak penting yang terdapat di rumah tersebut ialah Adila yang menjadi kegilaan Alias. Di luar rumah Sidang Saman terdapat sebuah pangkin. Di pangkin itulah Adila selalu berjumpa dengan Bujei dalam usahanya untuk memulihkan Bujei. Layanan Adila yang ikhlas membuatkan Bujei juga menaruh hati kepada Adila. Pertemuan itulah yang membuatkan Alias berasa cemburu dan semakin marah kepada Bujei. Perasaan cemburu itu membuatkan Alias mencari pelbagai alasan untuk menjauhkan Bujei daripada Adila.

Jelas bahawa tiga tempat tersebut merupakan latar tempat utama dalam novel Sutera Dalam Lukisan. Di tempat itu berlaku banyak peristiwa yang menggerakkan cerita dalam novel ini. Di tempat itu juga telah wujud beberapa konflik utama dalam novel.

No comments:

Post a Comment