Contoh Jawapan Novel SDL - Pengakhiran Cerita

Pengakhiran sesebuah cerita dalam novel biasanya akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Huraikan pendapat tersebut berdasarkan novel yang telah anda kaji.

Pengakhiran sesebuah cerita adalah merupakan salah satu daripada unsur plot dalam sesebuah novel. Terdapat beberapa jenis pengakhiran cerita yang dipraktikkan oleh pengarang. Walau bagaimanapun kebiasaannya pengarang memilih untuk mengakhiri cerita mereka dengan memberikan kepuasan kepada pembaca. Demikian juga dengan pengakhiran cerita dalam novel Sutera Dalam Lulisan.


Pada akhir cerita dalam novel tersebut, pengarang memberi kemenangan kepada Bujei. Sebelum itu Bujei sentiasa menjadi objek buli oleh Alias. Dia juga menjadi objek dera kepada bapa tirinya Harun. Pembaca berasa marah kepada watak Alias dan Harun. Walau bagaimanapun dengan usaha bersungguh-sungguh daripada Adila, Bujei beransur pulih dan yakin pada dirinya. Keadaan itu menyebabkan Bujei bangkit dan menentang Alias semasa Alias datang ke rumah Bujei untuk terus membuli. Bujei telah menumbuk Alias dan menyerang Alias dengan parang setelah Alias menjatuhkan radionya. Bujei telah menuntut ganti rugi. Bujei juga menang dalam persaingan dengan Alias untuk memenangi hati Adila walaupun dia tidak mengetahui.

Pembaca juga berpuas hati dengan pembalasan yang diterima oleh Alias pada akhir cerita tersebut. Pembaca berasa puas kerana perbuatan tidak bermoral yang dilakukan olehnya mendapat pembalasan setimpal. Alias menjadi tidak siuman akibat tindakannya sendiri. Dia tertekan kerana segala usahanya menemui kegagalan. Dia tidak lagi berjaya membuli Bujei. Seterusnya dia cuba menyaingi Bujei dalam usaha memenangi hati Adila. Namun pinangannya telah ditolak oleh Adila. Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Alias cuba menghasut Bujei supaya membenci Adila dengan mengatakan Adila seorang penghidap AIDS. Lebih buruk daripada itu, Alias cuba menggunakan ilmu pengasih. Tetapi akhirnya ilmu tersebut menyebabkan dia menjadi tidak siuman.

Pengakhiran konflik pada watak Adila juga membuatkan pembaca berasa puas. Adila menghadapi tekanan perasaan akibat daripada kekecewaan kerana Faizal tidak menepati janji. Dia telah membawa diri ke kampung itu. Di kampung itu Adila menghadapi konflik dengan Alias. Adila telah menolak pinangan Alias menyebabkan Alias berdendam. Konflik semakin hebat apabila Alias telah memfitnahnya dengan menghantar surat layang. Alias menyebarkan fitnah mengatakan Adila menghidap AIDS. Tekanan perasaan itu menyebabkan Adila menangis dan pulang ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu. Namun pada akhir cerita ini, hati Adila telah terubat oleh Bujei. Adila juga mendapat kemenangan apabila Alias menjadi tidak siuman.

Kesimpulannya watak yang selalu mewujudkan ketegangan telah mendapat balasan manakala watak yang tertindas telah mendapat kemenangan. Sememangnya pengakhiran seperti ini membuatkan pembaca berasa puas kerana semua konflik telah diselesaikan.

No comments:

Post a Comment