Cerita dalam novel menyelitkan
banyak nilai murni. Berdasarkan
novel yang telah anda pelajari, huraikan tiga contoh yang menunjukkan nilai
ketekunan.
Nilai murni
merupakan salah satu unsur pengajaran yang terdapat dalam karya-karya penulisan
kreatif termasuklah novel. Pengarang akan menyelitkan nilai-nilai tersebut di
dalam sesuatu peristiwa yang dipaparkan dalam novel tersebut. Dalam novel
Sutera Dalam Lukisan juga pengarang telah menyelitkan banyak nilai termasuklah
nilai ketekunan melalui beberapa peristiwa.
Contoh yang
menunjukkan nilai ketekunan dalam novel ini dapat diperhatikan pada watak utama
iaitu Bujei. Salah satu contoh nilai ketekunan yang digambarkan dalam novel ini
dapat diperhatikan daripada peristiwa Bujei mencuci motosikal Alias. Apabila
Alias memerintahkannya mencuci motosikal tersebut, dia berasa gembira selain
daripada takut kepada Alias. Dia gembira kerana Alias menjanjikan upah sebanyak
satu ringgit. Disebabkan upah yang dijanjikan itu, Bujei mencuci motosikal Alias dengan tekun. Dia mencuci dengan
tekun menggunakan berus dan sabun yang diminta daripada Mak Som. Motosikal
Alias yang berlumpur itu juga dicuci dengan cermat agar tidak terdapat kesan
lumpur. Jika tidak, Bujei tahu dia akan dibelasah oleh Alias.
Satu lagi nilai
ketekunan yang terdapat pada watak Bujei ialah ketekunan dalam menerima pelajaran dan bimbingan untuk mengubah
dirinya. Setelah berkenalan dengan Adila, Bujei mula sedar tentang potensi
dirinya. Adila yang ikhlas untuk mengajar dan membimbingnya merupakan satu
peluang yang tidak dilepaskan oleh Bujei. Walaupun dia dipengaruhi oleh
perasaan suka kepada Adila, tetapi Bujei tekun menerima dorongan dan pelajaran
daripada Adila. Bujei akan datang ke
rumah Sidang Saman untuk menemui Adila seperti yang dijanjikan terutamanya pada
waktu petang. Ketekunannya belajar membuatkan dia berjaya membaca dan menulis
perkataan-perkataan mudah. Ketekunannya menerima bimbingan daripada Adila
membuatkan dia yakin pada dirinya.
Nilai ketekunan
juga dapat diperhatikan melalui Adila. Dia tekun
mengajar dan memulihkan keyakinan diri Bujei. Adila telah mengatur
pertemuan demi pertemuan dengan Bujei. Walaupun pada awalnya dia diragui oleh
masyarakat terutamanya Sameāah dan Mak Lamah sendiri, Adila tetap meneruskan
usahanya. Dia berpendapat bahawa Bujei adalah manusia normal dan berhak hidup
sebagai manusia yang normal yang lain. Adila dengan tekun membimbing Bujei
memulihkan pemikiran dan kayakinan diri. Setelah difitnah oleh Alias, Adila
hanya pulang sementara ke Kuala Lumpur .
Dia kemudiannya datang kembali ke kampung semata-mata kerana untuk menyabung
usahanya sehingga Bujei boleh berdikari.
Pembaca dapat
mengesan nilai tersebut apabila membaca novel ini. Ia juga disampaikan oleh
pengarang secara tidak langsung melalui tindakan watak. Nilai ini dapat dijadikan
pengajaran kepada pembaca yang sensitif.
No comments:
Post a Comment