Contoh Jawapan Novel SDL - Penyelesaian Konflik oleh Watak

Kebanyakan konflik dalam cerita sesebuah novel melibatkan watak utama. Jelaskan cara watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi berdasarkan novel yang telah anda baca.

Konflik merupakan unsur penting dalam sesebuah cerita. Ia akan menggerakkan plot cerita tersebut. Konflik juga akan melibatkan watak utama sama ada konflik luaran atau konflik dalaman. Watak utama dalam novel Sutera Dalam Lukisan juga mengalami konflik luaran. Namun cara watak tersebut menyelesaikan konflik itu bergantung kepada kreativiti pengarang.


Watak utama novel ini iaitu Bujei mengalami konflik sejak kecil. Dia menghadapi konflik dengan bapa tirinya iaitu Harun. Setelah berkahwin dengan  ibunya Harun telah menunjukkan sikap benci dan menganggap Bujei sebagai sampah yang menumpang. Setelah kematian ibunya, Bujei selalu didera oleh Harun. Setelah Harun kembali selepas menghilangkan diri untuk beberapa lama, Bujei cuba lari daripada berkonflik dengan Harun. Bujei mengelakkan diri daripada berjumpa dengan Harun. Perihal tanah yang cuba dikuasai oleh Harun diselesaikan oleh Bujei dengan merosakkan surat penyerahan kuasa terhadap tenah pusaka ibunya yang disediakan oleh Harun. Cara itu menyebabkan usaha Harun gagal untuk menjual tanah tersebut.

Konflik kedua yang dihadapi oleh Bujei adalah konflik dengan Alias. Alias juga suka membuli Bujei. Dia menganggap Bujei seorang yang bodoh. Walaupun hati Bujei tetap marah setiap kali Alias membulinya, namun dia akan mengikut segala arahan kerana dia takut dipukul jika membantah. Biasanya Alias mengarahkannya membasahkan diri dan melumurkan lumpur ke seluruh badan. Demikian juga dengan konflik yang berpunca daripada Adila. Bujei menyelesaikan konflik ini apabila dia bangkit dan menentang Alias setelah dia mendapat keyakinan diri. Semasa Alias datang ke rumahnya untuk membuli, dia telah menumbuk Alias dan menyerang Alias dengan parang. Sejak peristiwa itu Bujei rasa bahawa dia telah mendapat kemenangan. Alias tidak berani lagi untuk membulinya.

Konflik ketiga yang dihadapi oleh Bujei merupakan konflik dalaman yang berpunca daripada kehadiran Adila di kampung tersebut. Bujei mula berkenalan dengan Adila. Bujei telah menaruh hati kepada Adila. Namun dia menghadapi konflik setelah dia menyedari keadaan dirinya berbanding Adila. Keadaan itu membuatkan perasaan Bujei terus tertekan apatah lagi setelah dia mengetahui Alias merisik dan akan meminang Adila. Apa yang dilakukan oleh Bujei hanyalah berserah pada keadaan dan takdirnya. Namun di dalam hati tetap berharap agar dia dapat bersama dengan Adila. Malah dia tetap pergi ke rumah Sidang Saman untuk menemui Adila walaupun beberapa kali dia merajuk. Secara tidak langsung usaha itu berhasil apabila Adila juga menyukainya.

Jika diperhatikan daripada tidakan Bujei, pengarang menggunakan beberapa cara untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh watak utama. Penyelesaian itu bergantung pada perwatakan seseorang watak tersebut dalam cerita.

No comments:

Post a Comment