Contoh Jawapan Novel SDL - Nilai Kemasyarakatan

Latar masyarakat yang dipaparkan dalam sesebuah novel mempunyai nilai tersendiri. Huraikan tiga nilai kemasyarakatan dalam novel yang anda kaji.

Latar merupakan salah satu unsur penting dalam sesebuah novel. Jika sesebuah novel itu menceritakan kisah masyarakat, sudah sememangnya latar masyarakat dalam novel itu lebih jelas. Nilai-nilai kemasyarakatan juga digambarkan di dalam cerita itu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dalam novel Sutera Dalam Lukisan juga terdapat nilai-nilai berkenaan.


Pembaca dapat mengesan masyarakat yang rasional melalui watak Mak Som iaitu ibu kepada Alias. Mak Som lebih rasional dalam melayan Alias. Dia tidak menyebelahi Alias kerana telah sedia faham akan sikap anaknya itu. Selepas mencuci motosikal Alias, Bujei meminta upah yang dijanjikan oleh Alias. Alias enggan malah memaki dan ingin menampar Bujei. Mak Som menghalang telah memaksa Alias memberikan upah satu ringgit yang dijanjikan kepada Bujei.  Mak Som juga marah apabila Alias memberikan lima puluh sen sahaja kepada Bujei. Mak Som kemudiannya mengajak Bujei masuk ke rumah dan diberi sarapan. Bujei kemudiannya diberi satu ringgit oleh Mak Som. Mak Som juga menasihati Bujei supaya tidak mengikut apa yang disuruh oleh Alias.

Selain dariada itu, novel ini juga menyelitkan masyarakat yang prihatin. Nilai ini ditunjukkan oleh watak Sidang Saman sekeluarga. Mereka prihatin terhadap Bujei. Mak Lamah selalu memberi Bujei makan apabila Bujei datang ke rumah mereka. Mereka tidak melayan Bujei sebagaimana orang lain yang menganggap Bujei seorang yang bodoh. Same’ah selalu menasihati Bujei sebelum dia bertunang. Semasa Bujei sakit dan terlantar di rumahnya akibat dibelasah oleh Harun, Samsul telah mencari Bujei. Sidang Saman telah ke rumah Bujei pada waktu malam dan membawa Bujei pulang. Bujei kemudiannya diberi pakaian dan makanan. Adila, Same’ah dan Samsul telah membawa Bujei ke bandar untuk membeli-belah. Bujei membeli radio dan pakaian.

Watak Wak Senen juga mencerminkan masyarakat yang ikhlas. Dia menunjukkan keikhlasan terhadap Bujei dalam soal tanah pusaka milik ibu Bujei. Dia telah membeli tanah tersebut daripada Harun sebelum itu dengan harga empat ribu ringgit. Lama selepas itu, Wak Senen telah pergi berjumpa Bujei pada waktu malam. Dia memberitahu Bujei bahawa dia akan mengembalikan tanah itu pada bila-bila masa sahaja apabila Bujei inginkan. Wak Senen tidak akan menuntut apa-apa bayaran daripada Bujei kerana dia telah mendapatkan kembali wang itu hasil daripada mengerjakan tanah tersebut. Dia memberitahu secara jujur kepada Bujei bahawa dia telah melakukan kesilapan kerana membeli tanah tersebut daripada Harun  sebelum itu.

Berdasarkan huraian tersebut jelas bahawa novel ini mempunyai nilai kemasyarakatan yang penting. Nilai ini adalah gambaran nilai yang masih wujud dalam masyarakat sebenar  di luar novel. Ia merupakan pengajaran secara tidak langsung daripada pengarang. 

No comments:

Post a Comment