Contoh Jawapan Novel SDL - Pertentangan Watak

Watak-watak dalam sesebuah novel akan bertentangan dengan sebahagian watak yang lain. Berdasarkan novel yang telah anda baca, nyatakan tiga peristiwa menunjukkan penentangan watak.

Penentang antara watak dalam sesebuah cerita merupakan aspek penting kerana ia akan mewwjudkan konflik dan menggerakkan cerita. Watak yang menentang watak lain biasanya watak antagonis. Dalam novel Sutera Dalam Lukisan juga terdapat beberapa watak yang menentang watak lain termasuklah watak utama.


Watak yang banyak menggambarkan penentangan dalam novel ialah watak Alias. Watak yang ditentang dengan jelas ialah watak Bujei. Ia bermula daripada hubungan rapat antara Bujei dengan Adila. Alias cemburu kerana dia juga meminati Adila. Alias mula menunjukkan penentangan untuk bersaing dengan Bujei. Alias telah pergi ke rumah Sidang Saman apabila mendapat tahu Bujei sedang berbual dengan Adila. Dengan isyarat mata yang tajam dia menghalau Bujei dari situ. Dia berbual dengan Adila. Apabila mendapati usahanya tidak berkesan, Alias telah datang ke rumah Bujei untuk mengugut dan membuli Bujei. Setelah usaha itu juga gagal, Alias cuba menghasut Bujei dengan memfitnah Adila mengatakan Adila dijangkiti AIDS. Usaha itu juga gagal.

Watak Bujei dalam novel ini merupakan watak yang lemah dan sentiasa ditindas oleh Alias. Namun setelah beberapa lama dibimbing oleh Adila, Bujei telah yakin pada diri dan bangkit menentang Alias. Semasa Alias datang ke rumahnya, dia sedang mengemas bahagian dapur rumahnya. Alias masuk dan cuba membuli Bujei dengan malambung-lambung radio Bujei yang baru dibeli. Apabila mendapati Bujei melawan, Alias marah dan menjatuhkan radio tersebut. Bujei amat marah dan menumbuk Alias. Dia terus mencapai parang dan melibas ke arah Alias menyebabkan Alias terjatuh. Bujei telah menuntut ganti rugi sebanyak lapan puluh ringgit. Dengan bantuan Sidang Saman, Alias membayar wang tersebut. Penentangan tersebut berjaya kerana selepas itu Alias tidak lagi membuli Bujei.

Watak Alias juga menentang Adila. Namun penentangan itu dilakukan secara senyap. Alias menentang apabila hasratnya untuk meminang Adila tidak diterima oleh Adila sendiri. Sejak dari hari itu dia menunjukkan sikap menentang dengan berusaha untuk menjauhkan Bujei daripada Adila. Dia menghasut Bujei dengan memfitnah bahawa Adila dijangkiti AIDS. Bujei hampir terpengaruh dengan fitnah itu sehingga dia tidak datang menemui Adila selama beberapa hari. Setelah usaha itu gagal, Alias telah menulis surat layang kepada Adila tanpa nama dan alamat. Dia membuat dakwaan bahawa Adila adalah seorang yang tidak bermoral. Fitnah itu menyebabkan Adila menangis dan pulang ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu. Alias juga pernah mengarahkan kawannya untuk menculik Adila.

Kesimpulannya, jelas bahawa penentangan yang dilakukan oleh seseorang watak akan mengembangkan cerita dan plot novel. Tanpa penentangan konflik tidak wujud dan plot tidak akan berkembang. Pembaca akan berasa hambar.

No comments:

Post a Comment