Contoh Jawapan Vovel SDL - Nilai Kasih Sayang

Nilai kasih sayang terdapat dalam kebanyakan novel yang bercorak kemasyarakatan. Nyatakan tiga nilai tersebut berdasarkan novel kajian anda.

Kasih sayang adalah satu nilai yang bersifat universal. Nilai ini terkandung dalam novel-novel yang bercorak kemasyarakatan. Ia diselitkan melalui beberapa watak dalam novel tersebut termasuklah  novel Sutera Dalam Lukisan. Nilai ini wujud dalam beberapa bentuk bergantung kepada hubungan seseorang watak dengan watak yang lain dalam cerita tersebut.


Nilai kasih sayang utama dalam novel ini ialah kasih sayang antara gadis dan jejaka. Kasih sayang ini dapat diperhatikan melalui watak Adila. Melalui imbas kembali Adila, dia pernah bercinta dengan Faizal dan pernah mengikat tali pertunangan. Jelas bahawa dia telah berkasih sayang dengan Faizal sebelum dia melarikan diri ke kampung dan tinggal di rumah Sidang Saman. Walau bagaimanapun hubungan kasih sayang itu putus setelah Faizal tidak menepati janji dan berkahwin dengan gadis lain. Semasa di kampung pembaca akan mendapati kasih sayang Adila kepada Bujei telah wujud sedikit demi sedikit. Ia amat jelas pada akhir cerita apabila Adila menyatakan hasrat hatinya kepada Sidang Saman dan Mak Lamah. Hubungan kasih sayang itu adalah hasil daripada usaha Adila membimbing Bujei.

Nilai kasih sayang antara saudara terdekat dalam keluarga dapat diperhatikan melalui watak keluarga Sidang Saman. Ia wujud antara Sidang Saman dan Mak Lamah dengan Adila yang nerupakan anak saudara Sidang Saman. Adila yang datang ke kampung itu mendapat layanan yang baik daripada Sidang Saman sekeluarga. Malah Mak Lamah menganggap Adila sebagai anak kandungnya sendiri. Mak Lamah lebih suka sekiranya Adila berada lebih lama di rumah mereka. Mak Lamah juga menunjukkan kasih sayang dengan menasihati Adila dalam hubungan dengan Bujei. Mak Lamah takut perbuatan Adila mendatangkan firnah. Mak Lamah juga menasihati Adila tentang perasaan Adila terhadap Bujei memandangkan Adila seorang yang terpelajar.

Satu lagi unsur kasih sayang dalam novel ini ialah kasih sayang antara nenek dan cucu.  Ia dapat diperhatikan melalui watak Opah Arah dan Alias. Kasih sayang Opah Arah terhadap Alias menyebabkan dia sentiasa menyebelahi Alias dalam segala hal. Opah Arah seolah-olah suka apabila Alias membuli Bujei. Ibu Alias sendiri iaitu Mak Som tidak dapat berbuat apa-apa. Dia sebaliknya menasihati Bujei supaya tidak menurut perintah Alias. Sikap Opah Arah jelas semasa peristiwa Bujei menetang Alias dan menuntut ganti rugi untuk radionya yang dirosakkan oleh Alias. Opah Arah juga turut datang ke rumah Bujei dan memaki-maki Bujei. Dia juga menuduh Bujei ingin membunuh Alias apabila Bujei membalas sepakan Alias menyebabkan Alias terjatuh dan ditindih oleh motosikalnya.

Huraian di atas jelas menunjukkan nilai kasih sayang wujud dalam beberapa bentuk di antara watak-watak dalam cerita. Nilai ini dapat dikesan melalui tindakan dan pemikiran seseorang watak terhadap watak lain dalam cerita tersebut.

No comments:

Post a Comment