Tajuk sesebuah novel amat berkaitan
dengan cerita dalam novel tersebut. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan
kesesuaian tajuk novel dan isinya.
Tajuk sesebuah
novel amat penting bagi pengarang dan penerbit. Ia merupakan aspek penilaian
pertama pembaca sama ada mahu membeli novel tersebut atau tidak. Tajuk novel
Sutera Dalam Lukisan merupakan tajuk yang simbolik. Ia menjadi simbol kepada
cerita yang terdapat dalam novel ini secara keseluruhannya.
Sutera melambangkan
kelembutan dan kecantikan. Namun ia berada dalam lukisan yang tidak dapat
disentuh oleh sesiapa. Hanya orang yang sensitif terhadap seni sahaja dapat
menulai keindahan lukisan tersebut. Sutera yang dimaksudkan dalam tajuk
tersebut merujuk kepada watak utama dalam novel ini iaitu Bujei. Walaupun dia
dianggap bodoh oleh sebahagian besar orang kampung, tetapi hati dan fikirannya
cantik bagaikan sutera. Bujei seorang yang jujur. Walaupun dia hidup sebatang
kara, tetapi dia tidak meminta-minta daripada orang lain. Dia masih ada maruah
dan menjaga harga dirinya. Dia juga suka menolong orang dengan upah yang tidak
pernah dinilainya. Hati dan perasaan Bujei yang sedemikian tidak dilihat oleh
masyarakat setempat. Keadaan dirinya
demikian adalah akibat daripada tekanan masyarakat sekelilingnya termasuklah
Harun dan Alias. Sejak kematian neneknya, Bujei seakan tidak wujud bagi
masyarakat kampung itu kecuali Mak Som dan Sidang Saman sekeluarga.
Orang yang dapat
menilai sutera dalam lukisan itu hanyalah Adila. Sejak dia bertemu dengan
Bujei, dia merasakan bahawa Bujei tidak sebagaimana yang dilihat oleh
masyarakat kampung. Daripada cerita Sameāah, Adila telah dapat membuat
kesimpulan bahawa Bujei adalah manusia normal. Adila dapat mengesan keikhlasan
dan kejujuran Bujei. Adila telah berusaha untuk memulihkan diri dan keyakinan
Bujei. Daripada usahanya itu, Bujei telah yakin pada diri, dapat membaca
perkataan mudah dan boleh berdikari. Dari situlah Adila dapat melihat keindahan
dan kelembutan sutera yang tidak dapat dinilai oleh orang lain. Dibandingkan
dengan Faizal, Adila telah memilih Bujei kerana Bujei mempunyai hati yang
ikhlas dan jujur. Segala kisah itu terangkul dalam tajuk novel yang simbolik
untuk difikirkan oleh pembaca.
Jelas bahawa tajuk
novel ini adalah bersesuaian dengan isi cerita secara keseluruhannya. Tajuknya
yang simbolik telah menambahkan lagi unsur kesenian dalam sastera. Ia menuntut
daya sensitiviti pembaca untuk memahaminya.
No comments:
Post a Comment