Contoh Jawapan Novel SDL - Peristiwa Teladan

Sesebuah novel banyak memaparkan peristiwa yang dapat dijadikan teladan. Berdasarkan novel kajian anda, jelaskan peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca.

Selain daripada nilai, sesebuah cerita juga mengandungi pengajaran atau teladan yang berguna untuk disampaikan kepada pembaca. Ia diselitkan melalui sesuatu peristiwa yang berlaku dalam cerita tersebut. Melalui novel Sutera Dalam Lukisan juga pembaca akan mendapat pengajaran atau teladan daripada beberapa pristiwa yang berlaku.


Salah satu peristiwa yang memberikan teladan kepada pembaca ialah peristiwa selepas Bujei mencuci motosikal Alias. Alias tidak mahu memberikan upah satu ringgit yang dijanjikan. Malah Bujei telah dimaki hamun. Bujei berkeras dan menunggu. Marah dengan kedegilan Bujei, Alias cuba menampar Bujei. Mak Som menghalang Alias. Mak Som mengarahkan Alias memberikan upah yang dijanjikan. Alias memberikan lima puluh sen kepada Bujei. Sekali lagi Alias hendak menampar Bujei. Mak Som menghalang dan memanggil Bujei ke rumahnya. Mak Som memberikan Bujei sarapan dan wang satu ringgit. Pembaca mendapat teladan bahawa walaupun Mak Som adalah ibu Alias, tetapi dia tidak menyebelahi anaknya kerana dia menyedari kelakuan Alias.

Persitiwa Bujei dengan Harun di sungai juga memberikan teladan kepada pembaca. Harun memujuk Bujei supaya menurunkan cap jari ke atas surat menurunan kuasa tanah pusaka peninggalan ibu Bujei kepada Harun. Harun marah apabila cap jari itu tidak jelas. Dia mengejar Bujei. Bujei melarikan diri ke dalam sungai. Semasa menuruni tebing sungai, kaki Harun tersepak akar kayu menyebabkan dia jatuh tersungkur di tebing sungai yang berlumpur. Muka dan pakaian Harun terpalit lumpur. Bujei berhenti ketawa apabila teringatkan nasihat Adila bahawa menolong orang dalam kesusahan adalah lebih baik daripada mentertawakannya. Dia mendapatkan Harun dan membuang lumpur pada pakaian Harun. Namun Harun telah memukulnya hingga pengsan.

Peristiwa Bujei mempertahankan maruah diri juga dapat dijadikan teladan oleh pembaca novel ini. Peristiwa ini berlaku di rumah Bujei sendiri. Alias datang ke rumah Bujei dan menuduh Bujei mencuri radio. Alias mengambil radio dan melambung-lambung radio tersebut. Bujei mengarahkan Alias supaya mengembalikan radio miliknya. Apabila Bujei melawan, Alias menjatuhkan radio tersebut ke lantai menyebabkan radio itu rosak. Bujei menumbuk dan melibas Alias dengan parang. Alias terjatuh. Bujei menuntut ganti rugi sebanyak lapan puluh ringgit daripada Alias. Bujei mendapat wang ganti rugi itu dengan bantuan daripada Sidang Saman. Pembaca mendapat teladan yang berguna daripada sifat Bujei supaya menjaga dan mempertahankan maruah diri.

Peristiwa yang dibincangkan di atas adalah contoh daripada banyak peristiwa yang memberikan teladan kepada pembaca. Pembaca perlu peka dalam mengesan teladan yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui peristiwa-peristiwa tersebut.

No comments:

Post a Comment