Contoh Jawapan Novel SDL - Watak Sampingan

Watak sampingan dalam sesebuah novel juga penting dalam menggerakkan cerita. Nyatakan peranan satu watak  sampingan berdasarkan novel yang telah anda baca.

Selain daripada watak utama, sesebuah cerita terutamanya novel juga menampilkan watak-watak lain iaitu watak sampingan. Watak-watak ini membantu mewujudkan konflik dan mengembangkan jalan cerita. Dalam novel Sutera Dalam Lukisan, terdapat beberapa orang watak pembantu yang memainkan peranan tertentu dalam mengambangkan dan menggerakkan cerita.


Watak pembantu yang penting dalam novel ini ialah Adila. Peranan utama Adila dalam novel ini ialah sebagai pembimbing kepada watak utama iaitu Bujei. Adila mula mengenali Bujei setelah dua minggu berada di kampung. Adila mendapati Bujei tidak sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang kampung. Daripada pemerhatiannya, Bujei seorang yang normal. Bujei jadi demikian kerana pengaruh persekitaran iaitu pandangan masyarakat. Adila dengan ikhlas cuba memulihkan keyakinan diri Bujei. Adila memberi semangat, bimbingan dan mengajar Bujei pada waktu petang di rumah Sidang Saman. Adila membimbing Bujei belajar membaca dan menulis. Akhirnya Bujei menjadi yakin pada diri. Dia sudah berani membela maruah dirinya sendiri. Bujei juga sudah dapat membaca dan menulis perkataan-perkataan mudah. Bujei jadi seorang yang normal dan diterima oleh masyarakat. Perubahan sifat Bujei membuatkan Adila sendiri telah jatuh hati kepada Bujei.

Adila juga memainkan peranan dalam menyelesaikan konflik antara watak utama iaitu Bujei dengan Alias. Tanpa usaha yang dilakukan oleh Adila, Bujei tidak akan mendapat kesedaran dan keyakinan diri. Bujei akan  sentiasa mengalami tekanan akibat daripada perbuatan Alias. Kehadiran Adila akhirnya menjadi penyelamat keadaan. Bimbingan dan pelajaran yang diberikan oleh Adila telah merubah keadaan diri Bujei. Keyakinan yang diperolehinya membolehkan dia dapat mempertahan maruah diri. Dia telah bangkit dan menentang Alias yang cuba membulinya. Semasa Alias datang ke rumahnya dan menjatuhkan radio, Bujei amat marah dan bertindak balas. Alias sudah kalah. Sejak dari itu, Alias tidak lagi membuli Bujei. Alias cuba memperdaya Bujei dengan memfitnah Adila. Namun kematangan Bujei dalam melihat situasi sebenar membuatkan Bujei tidak terus mempercayai fitnah Alias. Alias terus kalah dan menggunakan cara lain untuk mendapatkan Adila. Konflik Bujei dengan Alias sudah berakhir.

Kesimpulannya, watak sampingan juga penting dalam mencipta konflik. Akoran daripada itu, jalan cerita sesebuah novel akan berkembang. Tanpa watak sampingan, tidak akan ada konflik dalam cerita dan plot tidak berkembang.

No comments:

Post a Comment