Contoh Jawapan Novel SDL - Peristiwa Menarik

Novel yang telah anda baca mengandungi banyak peristiwa menarik. Nyatakan tiga peristiwa menarik dalam novel tersebut.

Sesebuah cerita terdiri daripada rentetan peristiwa hasil daripada konflik yang wujud antara watak. Daripada rentetan peristiwa itu, terdapat beberapa peristiwa yang menarik bagi pembaca. Ia memberikan kesan kepada pembaca dan jalan cerita dalam novel tersebut.


Antara peristiwa yang menarik dalam novel ini ialah peristiwa pertemuan Bujei dengan Adila secara rasmi. Adila menyuruh Samsul menjemput Bujei ke rumah Sidang Saman. Bujei tidak percaya bahawa Adila ingin menemuinya. Bujei rasa malu dengan keadaan dirinya. Dia gugup sehingga tersepak bendul pintu lalu jatuh tersungkur. Dalam pertemuan itu pembaca dapat tahu nama sebenar Bujei iaitu Mohamad Hafiz. Bujei juga berasa takut dan hendak pulang tergesa-gesa apabila Adila ingin menulis ‘repot’ tentang dirinya. Pada pemahamannya, ‘repot’ adalah aduan di balai polis menyatakan dia gila dan akan ditangkap. Kemudian dia akan dibawa ke balai polis. Bermula daripada peristiwa itu juga konflik Alias dengan Bujei dan Adila semakin memuncak.

Peristiwa Bujei dengan Harun di tepi sungai juga merupakan peristiwa yang menarik. Harun telah mendapatkan Bujei ketika Bujei terlelap di tepi sungai tersebut. Harun memujuk Bujei supaya menurunkan cap jari pada sehelai surat penyerahan kuasa ke atas tanah pusaka peninggalan ibu Bujei. Akibat daripada kesilapan Bujei, Harun telah menampar Bujei. Harun telah mengejar Bujei yang lari hingga ke dalam sungai. Harun tersepak akar kayu dan tersungkur di tebing sungai yang berlumpur. Pakaian dan mukanya terpalit lumpur. Bujei ketawa. Namun apabila teringatkan pesan Adila, Bujei berhenti ketawa dan menolong Harun membersihkan lumpur. Walau bagaimanapun Harun telah mengambil kesempatan memukul Bujei hingga pengsan.

Satu lagi peristiwa yang menarik ialah peristiwa Bujei yang bangkit menentang Alias. Ia berlaku di rumah Bujei. Peristiwa ini menarik kerana pembaca berasa puas apabila Alias yang selalu membuli Bujei telah mendapat pembalasan daripada Bujei sendiri. Alias datang ke rumah Bujei untuk membuli. Alias mengambil radio yang baru dibeli oleh Bujei. Bujei melawan dan meminta Alias meletakkan kembali radio itu. Alias marah dan menghampaskan radio itu ke lantai. Bujei amat marah lalu menumbuk Alias. Dia mengambil sebilah parang dan melibas ke arah Alias. Bujei menuntut ganti rugi. Dengan bantuan Sidang Saman, Alias kalah dan membayar ganti rugi tersebut. Sidang Saman dan orang-orang kampung yang terpengaruh dengan kaka-kata Alias mulai sedar tentang kebenaran Bujei.

Terdapat beberapa peristiwa lain yang juga menarik dalam novel ini. Namun peristiwa yang dijelaskan di atas mempunyai pengaruh dalam perkembangan cerita. Selain daripada itu, kepentingan sesuatu peristiwa juga bergantung kepada perasaan dan pengalaman pembaca.

No comments:

Post a Comment