Contoh Jawapan Novel SDL - Persoalan Kegigihan

Novel yang telah anda kaji mengandungi beberapa persoalan utama. Huraikan tiga peristiwa yang mendokong persoalan kegigihan dalam novel tersebut.

Setiap cerita dalam novel diselitkan dengan beberapa persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang. Pembaca dapat mengesan setiap persoalan daripada sesuatu peristiwa yang berlaku. Setelah membaca novel Sutera Dalam Lukisan, pembaca akan dapat mengesan beberapa peristiwa yang mendokong persoalan kegigihan yang cuba dikongsi oleh pengarang.


Lambang kegigihan yang utama dapat diperhatikan daripada peristiwa Adila memulihkan keyakinan diri Bujei. Adila telah mengatur pertemuan demi pertemuan dengan Bujei. Walaupun pada awalnya dia diragui oleh masyarakat terutamanya Same’ah dan Mak Lamah sendiri, Adila tetap meneruskan usahanya. Dia berpendapat bahawa Bujei adalah manusia normal dan berhak hidup sebagai manusia yang normal. Adila dengan gigih membimbing Bujei memulihkan pemikiran dan kayakinan diri. Perjumpaan diadakan setiap hari sehingga menimbulkan perasaan cemburu Alias. Setelah difitnah oleh Alias, Adila hanya pulang sementara ke Kuala Lumpur. Dia kemudiannya datang kembali ke kampung semata-mata untuk menyabung usahanya sehingga Bujei boleh berdikari.

Peristiwa yang melibatkan watak Alias juga mencerminkan persoalan kegigihan dalam novel ini. Alias yang tertarik kepada Adila telah berusaha dengan gigih untuk memenangi hati Adila. Tambahan lagi dia berasa Bujei adalah saingan utamanya. Malihatkan Bujei semakin dekat dengan Adila, Alias semakin gigih berusaha. Dia cuba mendekati Adila dan dengan berani mengajak Adila keluar ke bandar. Apabila usaha itu tidak berjaya, dia terus menghantar wakil untuk merisik Adila dan akan menghantar rombongan meminang. Rancangan itu juga gagal setelah Adila menolak. Alias tetap mengatakan bahawa Adila adalah miliknya. Dia menghasut Bujei agar Bujei menjauhi Adila. Dia memberitahu Bujei bahawa Adila menghidap AIDS. Akhirnya dia menggunakan ilmu pengasih hingga dia sendiri menjadi tidak siuman.

Satu lagi peristiwa yang mencerminkan persoalan kegigihan dalam novel Sutera Dalam Lukisan ialah peristiwa kedatangan Wan Senen ke rumah Bujei pada waktu malam. Wak Senen menjelaskan kepada Bujei tentang kedudukan sebenar tanah pusaka ibu Bujei yang dibelinya daripada Harun dengan harga empat ribu ringgit. Melalui cerita Wak Senen, dia telah  mengusahakan tanah tersebut dan telah mendapat kembali wang empat ribu ringgit, sama dengan nilai harga tanah yang dibelinya daripada Harun dahulu. Ia menggambarkan kegigihan Wan Senen dalam mengerjakan tanah tersebut. Ekoran daripada itu, dia tidak akan meminta bayaran daripada Bujei sekiranya Bujei inginkan tanah itu kembali.

Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa persoalan kegigihan dapat dikesan melalui peristiwa yang berlaku dalam novel ini. Selain daripada itu, sesuatu persoalan juga dapat dikesan melalui gambaran keadaan daripada pengarang sendiri.

1 comment:

  1. trima kasih tapi boleh tak tolong postkan jawapan kegigihan watak utama pula?

    ReplyDelete